MANCHESTER: Pep Guardiola tidak pernah melalui tempoh sukar sebegini sepanjang kerjaya sebagai pengurus bola sepak.
Sebelum perlawanan dengan Everton pada 26 Disember, Manchester City telah tewas sembilan daripada 12 perlawanan – sama dengan jumlah kekalahan dalam 106 perlawanan sebelum ini.
Pada akhir Oktober, City masih belum tewas dan terus bertakhta di puncak Liga Perdana England (EPL).
Malah, kelab itu masih menjadi pilihan popular untuk memenangi kejuaraan EPL.
Namun, buat masa ini, City telah jatuh tersungkur ke tangga ketujuh, 12 mata di belakang pendahulu Liverpool, yang telah beraksi lebih satu perlawanan.
Keadaan itu mengundang spekulasi dan tanda tanya daripada pelbagai pihak, terutama sama ada Guardiola mampu memperbetulkan keadaan.
Beberapa pihak terdekat dengan Guardiola baru-baru ini memberitahu BBC pengurus dari Sepanyol itu kini amat tertekan dan kurang tidur.
Seperti ramai penyokong City, Guardiola juga sedang garu kepala mencari huraian menyeluruh bagi masalah yang kini menimpa City.
Guardiola kelihatan yakin, tetapi dalam kalangan rakan terdekat, beliau juga diketahui sebagai seseorang yang sering mempersoal keupayaan diri sendiri.
Tanda cakar di kepalanya selepas City diikat seri 3-3 dengan Feyenoord dalam Liga Juara-Juara Eropah beberapa bulan lalu adalah cerminan keadaan ini, iaitu perbuatan seseorang yang amat gementar.
Baru-baru ini, Guardiola menjawab soalan wartawan di sidang media perlawanan derby Manchester – di mana City tewas kepada United – dengan kata-kata:
“Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan.”
Pengakuan itu membimbangkan, tetapi ia juga menunjukkan skala masalah besar yang kini dihadapi Guardiola dan City.
Satu punca kelemahan City pada masa ini adalah beberapa pemain tonggak yang cedera jangka panjang.
Kehilangan Rodri, yang sekian lama menjadi pemain midfield tonggak City, belum lagi dapat diganti.
Ada pemain seperti John Stones, Manuel Akanji dan Nathan Ake, tetapi mereka juga dibelenggu kecederaan masing-masing.
Namun, perkara yang paling merisaukan Guardiola ialah trend kesilapan peribadi yang timbul dalam setiap perlawanan – menunjukkan barisan pemain yang kurang keyakinan diri.
Ini termasuk cara Matheus Nunes menerkam Amad Diallo dalam perlawanan dengan Manchester United yang memberikan penalti kepada lawan dan cara Jack Grealish gagal menyimpan dan melindungi bola daripada dirampas lawan yang membolehkan lawan memburu gol.
Tidak lupa juga dengan kesilapan yang dilakukan Des Walker dan pemain lain yang dianggap antara pemain terbaik di dunia.
‘Form’ beberapa pemain juga kini menjadi tanda tanya. Walker tidak lagi sepantas dahulu.
Kevin de Bruyne – yang pernah dianggap sebagai pemain kreatif terbaik di dunia – tidak lagi boleh mempengaruhi perlawanan.
Dua pemain kreatif lain, Bernardo Silva dan Ilkay Gundogan, juga tidak lagi seperti dulu.
Kesan ini boleh dilihat di barisan penyerang. Erling Haaland, yang dianggap sebagai penjaring gol terbaik generasinya, masih kekal sebagai penjaring utama City musim ini dengan 13 gol.
Tetapi, beliau sukar hendak menambah kepada statistik itu kerana tidak mendapat hantaran atau ‘assist’ yang baik.
Penjaring gol kedua tertinggi di City pada musim ini ialah pemain pertahanan, Josko Gvardiol, dengan empat gol.
Buat masa ini, pemilik kelab difahami masih memberikan sepenuh sokongan kepada Guardiola.
Form pasukan telah dianalisis, dan difahami, barisan jurulatih bersepakat berkata mereka hanya layak tewas kepada Liverpool, Bournemouth dan Aston Villa.
Namun semua akur keadaan perlu diubah pantas dan Guardiola adalah orang yang boleh membuat perubahan itu.
Jika di Real Madrid, Barcelona atau Juventus, Guardiola mungkin telah lama dipecat.
Matlamat hujung musim bagi City telah diubah daripada memenangi EPL kepada meraih empat tangga teratas untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.
Pemain City telah diberitahu hakikat ini.
Lebih daripada itu, Guardiola tahu era lama telah berakhir dan era baru perlu dimulakan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg