Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Loh Kean Yew atasi Jan Louda, raih kemenangan pembukaan di Olimpik

Jul 29, 2024 | 8:22 PM
Pemain negara, Loh Kean Yew, beraksi menentang pemain Republik Czech, Jan Louda, di Arena Porte de la Chapelle, di Paris, pada 28 Julai.
Pemain negara, Loh Kean Yew, beraksi menentang pemain Republik Czech, Jan Louda, di Arena Porte de la Chapelle, di Paris, pada 28 Julai. - Foto ST

PARIS (Perancis): Sambil menayangkan rambutnya yang baru dikeriting, pemain badminton terkemuka Singapura, Loh Kean Yew, menikmati permulaan yang agak mudah untuk kempen Kumpulan M Sukan Olimpik Paris 2024 dengan kemenangan 21-13, 21-10 ke atas pemain Republik Czech, Jan Louda, pada 28 Julai, menurut akhbar The Straits Times.

Sebagai salah seorang pemain terpantas dalam jelajah dunia, Loh yang berada di kedudukan ke-13 dunia mengambil masa singkat untuk mengatasi lawannya yang menduduki tangga ke-63 di Arena Porte de la Chapelle, di Paris, di depan penonton yang penuh sesak, dengan tiket habis dijual.

Pada awalnya, Loh ketinggalan empat mata dan berada di kedudukan 9-11 sewaktu permainan pembukaan rehat seketika.

Tetapi sebaik sahaja Loh lebih stabil, beliau mula menemui rentak permainan dan dengan mudah memperoleh 11 mata berturut-turut untuk memenangi perlawanan pertama.

Kisah serupa berlaku dalam permainan kedua, di mana beliau melakukan pelbagai pendekatan untuk menjarakkan kedudukannya dengan Louda sebelum memenangi perlawanan menerusi pukulan keras dan sentuhan lebih strategik dekat jaring.

Pemain berusia 27 tahun itu akan menentang pemain ranking ke-50 dari El Salvador, Uriel Canjura, pada 31 Julai. Jika menang, ini akan mengesahkan penampilan pertama Loh dalam pusingan kalah mati Sukan Olimpik, di mana beliau berkemungkinan akan menentang pemain nombor 6 dunia daripada China, Li Shifeng, dalam pusingan 16 pemain itu.

Terdahulu, pasangan beregu campuran Terry Hee dan Jessica Tan tersingkir selepas tewas 21-13, 21-17 dalam perlawanan Kumpulan D menentang pemain nombor dua dunia dari China, Feng Yanzhe dan Huang Dongping, yang mara ke suku akhir.

Pada 28 Julai, pasangan ranking ke-17 itu tewas kepada pemain Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, yang turut mara ke peringkat lapan terakhir.

Disebabkan itu, mereka tidak lagi boleh mara dengan menamatkan saingan di dua tempat teratas, dan akan menentang pemain nombor 30 dunia, Vinson Gai dan Jennie Chiu dari Amerika Syarikat, pada 29 Julai.

Dalam perseorangan wanita, pemain nombor 20 dunia, Yeo Jia Min, juga akan menentang pemain Mauritius yang menduduki ranking ke-94, Kate Foo Kune, pada 30 Julai untuk mendapatkan tempat dalam 16 terakhir selepas menewaskan pemain pelarian, Dorsa Yavarivafa, pada 27 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg