Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Loh Kean Yew tewaskan pemain nombor tiga dunia, Kodai Naraoka

Oct 18, 2023 | 11:48 AM
TEBUS KEKECEWAAN: Loh Kean Yew mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pembukaannya bagi Terbuka Denmark pada Selasa.
TEBUS KEKECEWAAN: Loh Kean Yew mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pembukaannya bagi Terbuka Denmark pada Selasa. - Foto REUTERS

Pemain badminton Singapura, Loh Kean Yew, membuka tirai perlawanannya bagi acara perseorangan Terbuka Denmark dengan menewaskan pemain nombor tiga dunia Kodai Naraoka dengan keputusan 19-21, 21-6, 21-19.

Ini sekali gus menebus kekecewaan kempen Sukan Asia yang menyaksikan beliau tewas dalam perlawanan pembukaannya bagi acara perseorangan dan berpasukan.

Pemain berusia 26 tahun itu akan berhadapan dengan pemain Denmark, Anders Antonsen, yang berada di tangga ke-10 dunia, di pusingan 16 terakhir seterusnya pada Khamis bagi merebut kejuaraan bernilai AS$850,000 ($1.16 juta).

Menurut laporan The Straits Times (ST), Antonsen mengatasi Loh dalam final Terbuka Korea pada Julai manakala Loh tewaskan seteru dari Denmark itu dalam pusingan kedua Terbuka China pada September.

Bercakap kepada ST selepas kemenangan ke atas Naraoka, Loh berkata:

“Kemenangan ini penting untuk keyakinan dan semangat saya, dan apa-apa kemenangan adalah satu pencapaian susulan prestasi semasa saya.”

Sungguhpun berjaya menebus kekecewaan daripada Sukan Asia, ini bukanlah saat bagi Loh, yang menduduki tangga kesembilan dunia, untuk meraikan kemenangan baru-baru ini.

Mentelah terdapat persoalan mengenai prestasinya berikutan gelaran dunia yang dikecapi pada 2021.

Naraoka memberi tentangan hebat terhadap Loh tetapi pemain kebangsaan Singapura itu kekal pada strateginya untuk ‘mengumpan’ Naraoka di luar posisi sebelum membalas serangan.

“Saya cuba untuk mengekalkan fikiran yang jelas dan fokus pada rancangan permainan saya sendiri dan bukannya catatan mata dan saya gembira saya dapat lakukannya dan meraih kemenangan,” tambah Loh.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain nombor 21 dunia dari Singapura, Yeo Jia Min, tewas di tangan pemain nombor empat dunia asal Taiwan, Tai Tzu-ying, dengan catatan mata 21-11, 22-20.

Ketua jurulatih perseorangan Singapura, Kelvin Ho berkata: “Kean Yew bermain dengan tenang dan mengawal pilihan pukulan dan rentaknya dengan baik.

“Kami hanya ada satu minggu untuk berlatih selepas pulang dari Sukan Asia, dan kami cuba bantu Loh menjadi lebih jelas dan proaktif serta kurang diramal dalam permainannya.”

Jurulatih itu menambah, Jia Min bermain dengan baik untuk menandingi lawan yang kuat tetapi beliau “masih boleh menyesuaikan diri dengan lebih pantas”.

“Terdapat beberapa bahagian yang beliau lakukan dengan baik untuk mengambil inisiatif dan mengubah rentak bagi memberi tekanan kepada pihak lawan, dan kami akan berusaha mencapai (rentak) lebih konsisten dengan kekuatan-kekuatan ini,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg