Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan beregu lelaki satu-satunya wakil suku akhir badminton S’pura di Hangzhou

Oct 4, 2023 | 5:28 PM
PASUKAN ‘UNDERDOG’: Pasangan beregu lelaki Singapura, Johann Prajogo (kiri) dan Nge Joo Jie ketika beraksi menentang pasukan Nepal, Jivan Acharya dan Bishnu Katuwal, dalam pusingan 16 pasukan terakhir di Gimnasium Binjiang pada Rabu.
PASUKAN ‘UNDERDOG’: Pasangan beregu lelaki Singapura, Johann Prajogo (kiri) dan Nge Joo Jie ketika beraksi menentang pasukan Nepal, Jivan Acharya dan Bishnu Katuwal, dalam pusingan 16 pasukan terakhir di Gimnasium Binjiang pada Rabu. - Foto ST

Singapura akan hanya mempunyai seorang wakil pada peringkat suku akhir badminton di Sukan Asia Hangzhou selepas perjuangan pemain lain negara terbantut pada pusingan awal.

Di Gimnasium Binjiang pada Rabu, pasukan beregu lelaki Singapura, yang terdiri daripada Johann Prajogo dan Nge Joo Jie, satu-satunya yang berjaya ke suku akhir.

Pasukan nombor 106 dunia itu dengan mudah mengatasi pasangan Nepal, Jivan Acharya dan Bishnu Katuwal, yang tidak mempunyai ranking, 21-11, 21-4.

Nge, 19 tahun, ketika ditemui media Singapura selepas perlawanannya, berkata:

“Matlamat kami di Sukan Asia adalah untuk datang ke sini dan buat yang terbaik. Harapannya untuk meraih pengalaman bermain dengan pasukan terbaik.”

Nge dan Prajogo adalah bekas pasukan junior nombor satu dunia. Prajogo, yang juga 19 tahun, pula menambah:

“Tiada tekanan sebab kami sememangnya adalah pasukan ‘underdog’ (bukan pilihan). Jadi, kami harus lihat bagaimana kami bermain esok menentang sama ada Indonesia atau India. Kami akan hanya membuat yang terbaik dan lihat bagaimana keputusannya.”

Prajogo dan Nge akan berdepan ujian sukar seterusnya menentang pasukan nombor tiga dunia, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty, dari India dalam suku akhir pada Khamis.

Sementara itu, pemain lain Singapura terkandas dalam pusingan 16 pesaing terbaik pada Rabu.

Pemain nombor 22 dunia dari Singapura, Yeo Jia Min, memberi saingan sengit kepada harapan tuan rumah China, Chen Yu Fei, dalam acara perseorangan wanita.

Tetapi, pemain ketiga terbaik dunia itu terbukti terlalu kuat bagi Yeo, yang kalah 21-19, 7-21, 9-21.

Perjalanan rakan senegara Jason Teh, yang menduduki ranking yang ke-83, dalam acara perseorangan lelaki juga terkandas selepas tewas 14-21, 18-21 kepada pemain kedua terbaik dunia dari Indonesia, Anthony Ginting.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 dari Singapura, Terry Hee dan Jessica Tan, juga tunduk kepada lawan mereka dalam acara beregu campuran.

Pasangan nombor 30 dunia itu dikalahkan Tang Chun Man dan Tse Ying Suet dari Hong Kong, yang berada 10 anak tangga di atas dalam ranking, 7-21, 11-21.

Pemain nombor sembilan dunia dari Singapura, Loh Kean Yew, terkandas lebih awal pada Selasa setelah dikalahkan Ng Tze Yong dari Malaysia pada pusingan 32 pemain terbaik.

Kali terakhir Singapura memenangi pingat badminton di Sukan Asia adalah pada 2006. Semasa itu, pasukan wanita negara meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan di Doha, Qatar,

Gangsa itu kekal menjadi satu-satunya pingat negara dalam temasya sukan Asia tersebut.

Sehingga Rabu, pungutan pingat Singapura di Hangzhou adalah tiga emas, enam perak dan empat gangsa.

Matlamat kami di Sukan Asia adalah untuk datang ke sini dan buat yang terbaik. Harapannya untuk meraih pengalaman bermain dengan pasukan terbaik... Tiada tekanan sebab kami sememangnya adalah pasukan ‘underdog’ (bukan pilihan). Jadi, kami harus lihat bagaimana kami bermain esok menentang sama ada Indonesia atau India. Kami akan hanya membuat yang terbaik dan lihat bagaimana keputusannya.
Johann Prajogo dan Nge Joo Jie, atlet pasukan beregu lelaki Singapura.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg