Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Loh Kean Yew, Yeo Jia Min azam buru pingat emas Sukan SEA

Nov 7, 2025 | 12:26 PM
badminton, Yeo Jia Min, Loh Kean Yew, Sukan SEA 2025
Pemain badminton Singapura, Yeo Jia Min, 26 tahun (kiri), dan Loh Kean Yew, 28 tahun, tekad berlatih dan meningkatkan prestasi untuk meraih pingat emas perseorangan pada Sukan SEA 2025 yang bakal diadakan pada Disember di Bangkok, Thailand. - Foto ZAOBAO

Pengalaman daripada penyertaan di pelbagai temasya besar dan ratusan perlawanan di Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah mendewasakan Loh Kean Yew dan Yeo Jia Min, menjadikan mereka bukan lagi pemain muda pemalu seperti ketika masing-masing membuat penampilan sulung di Sukan SEA – 2015 bagi Loh dan 2017 bagi Yeo.

Yeo merupakan sebahagian pasukan yang mewakili Singapura pada 2015, namun tidak berpeluang beraksi di gelanggang ketika itu.

Kini, dua pemain badminton utama Singapura itu tampil sebagai atlet profesional yang yakin, baik dari segi permainan mahupun percakapan.

Meskipun prestasi mereka agak merosot kebelakangan ini, dengan penyingkiran awal sepanjang siri kejohanan di Eropah pada Oktober, Loh dan Yeo tetap menegaskan azam mereka untuk memburu pingat emas individu pada Sukan SEA di Thailand pada Disember ini.

Dalam sesi media Persatuan Badminton Singapura (SBA) di pejabat persatuan itu di OCBC Arena pada 6 November, pemain perseorangan wanita Nombor 19 dunia, Yeo, kelihatan bersemangat meskipun menghadapi musim yang penuh turun naik.

Beliau berjaya memenangi Terbuka Jerman pada Mac, namun kemudian bergelut dengan kecederaan di lutut dan tendon Achilles yang berulang, lapor The Straits Times (ST).

Pemain berusia 26 tahun yang masih memburu pingat individu pertamanya di Sukan SEA itu berkata: 

“Beberapa bulan kebelakangan ini mencabar bagi saya dari segi mengekalkan prestasi.

“Oleh itu, saya membuat keputusan bersama pasukan untuk tidak menyertai perlawanan Kumamoto Masters dan Terbuka Australia yang akan datang kerana matlamatnya jelas – saya ingin tumpukan 100 peratus perhatian untuk kembali ke prestasi terbaik saya dan beraksi cemerlang di Sukan SEA. Ia mencabar, tetapi saya bersedia menghadapi cabaran itu.

“Sasaran saya sudah pasti adalah untuk mendapat pingat emas, tanpa mengira sama ada negara lain menghantar pemain utama mereka atau sebaliknya.”

Begitu juga, pemain perseorangan lelaki Nombor 9 dunia, Loh, memulakan 2025 dengan cemerlang apabila menjuarai Terbuka Taipei pada Mei, namun kemudian mengalami masalah jangkitan bakteria.

Pemain berusia 28 tahun itu – yang meraih pingat perak perseorangan lelaki di Sukan SEA 2019 dan 2022 – mengakui harapan terhadapnya kini lebih tinggi menyusuli dua penampilan di final dan gelaran juara Kejohanan Dunia 2021.

“Perasaan bertanding di Sukan SEA memang berbeza kerana kami berjuang untuk negara. Pada 2015, saya masih muda dan banyak perkara telah berlaku sepanjang 10 tahun ini.

“Saya telah menyertai lebih banyak kejohanan, dan sudah pasti kini mentaliti saya berbeza (berbanding dahulu) hasil pengalaman yang dikumpul serta harapan berbeza.

“Ia adalah satu keistimewaan untuk mendapat harapan sebegini, kerana ia menunjukkan tahap prestasi kami,” kata Loh.

Di rantau yang penuh dengan bakat badminton bertaraf dunia dari Indonesia, Malaysia dan Thailand, Singapura hanya pernah memenangi tiga pingat emas badminton di Sukan SEA, iaitu melalui Wong Shoon Keat (perseorangan lelaki, 1983), pasukan wanita (2003) dan Fu Mingtian (perseorangan wanita, 2011).

Namun, peluang masih terbuka bagi Loh dan Yeo untuk meraih pingat emas di Sukan SEA, memandangkan Indonesia diwakili ramai pemain simpanan dan bakat muda.

Malaysia pula menghadapi cabaran dalam acara perseorangan, dan hanya tuan rumah Thailand dijangka menampilkan barisan utama pemain mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg