POISSY (Perancis): Luis Enrique telah dilantik sebagai pengurus terbaru Paris Saint-Germain (PSG) selama dua tahun, dengan persoalan tentang masa depan Kylian Mbappe membayangi hari perlantikannya.
Bekas pengendali Barcelona berusia 53 tahun itu, yang menjadi ejen bebas sejak dipecat Sepanyol pada Disember, menggantikan Christophe Galtier.
Enrique diperkenalkan dalam satu majlis bersama presiden kelab, Nasser al-Khelaifi di kompleks latihan baru kelab itu di Poissy pada Rabu.
“Saya gembira dapat menyertai Paris untuk menikmati pengalaman baru.
“Saya amat teruja untuk bertemu orang baru, tinggal di kota ini, mempelajari bahasa baru dan paling penting, membimbing PSG,” kata Enrique.
Bagaimanapun pengendali itu cuba mengelak daripada menjawab persoalan berkenaan masa depan Mbappe.
Khelaifi sebaliknya menegaskan, Mbappe, 24 tahun, perlu menandatangani kontrak baru sekiranya pemain itu mahu terus kekal di PSG musim depan.
Situasinya amat jelas. Jika Kylian mahu kekal, beliau perlu tandatangan kontrak baharu. Kami tidak boleh biarkan pemain terbaik di dunia pergi secara percuma. Ia mustahil,” kata Khelaifi. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg