Pemain bek kiri berusia 18 tahun, Luth Harith, telah menerima panggilan pertama menyertai skuad kebangsaan senior menjelang Piala Asean Hyundai yang akan membuka tirai pada 24 Julai.

Pemain Young Lions itu akan menyertai kem latihan skuad kebangsaan yang bakal bermula di Singapura pada 23 Jun.

Skuad itu kemudiannya akan berlepas ke Okinawa, Jepun, pada 6 Julai bagi kem latihan luar negara selama 11 hari bagi mempergiat persiapan menjelang kejohanan serantau yang dijadualkan berlangsung akhir 2026.

Luth sebelum ini mewakili Singapura di peringkat Bawah 19 Tahun dan Bawah 22 Tahun, dan sebahagian daripada pasukan yang beraksi dalam Kejohanan Asean Bawah 19 yang berlangsung dari 1 Jun hingga 13 Jun di Indonesia.

Menurut jurulatih negara Gavin Lee, pemilihan Luth dibuat berdasarkan perkembangan positif yang ditunjukkan pemain itu sepanjang 12 bulan lalu.

“Luth adalah seorang pemain yang menunjukkan perkembangan yang baik sepanjang tahun lalu dan jelas beliau mempunyai potensi yang besar,” kata Lee.

“Apabila beliau berlatih bersama kumpulan sebelum ini, beliau tidak kelihatan kekok dan ini merupakan peluang yang baik untuknya menimba pengalaman sambil menyumbang kepada pasukan.”

Jurulatih berusia 35 tahun itu turut memuji sikap serta mentaliti pemain muda tersebut.

“Apa yang kami suka tentang dirinya ialah kesediaannya untuk belajar dan bersaing, dan beliau tidak pernah mengambil apa-apa kesempatan begitu sahaja. Kami tidak sabar untuk melihat perkembangannya dalam persekitaran ini,” katanya.

Di Jepun, Singapura dijadualkan menghadapi tiga kelab profesional iaitu FC Ryukyu dari Liga J3, Okinawa SV dari Liga J4 dan Albirex Niigata yang beraksi dalam Liga J2.

Lee menjelaskan bahawa pemilihan lawan-lawan tersebut dibuat dengan teliti, meniru cabaran yang bakal dihadapi pasukannya dalam Piala Asean Hyundai.

“Lawan yang kami pilih untuk kem ini dibuat dengan tujuan yang sangat jelas. Sebagai sebahagian daripada fasa terakhir persiapan kami, kami akan berdepan tiga lawan yang kuat dalam tempoh yang singkat.

“Jadual ini direka untuk menguji pasukan dari segi fizikal, mental dan taktikal, di samping mencabar kami untuk pulih dan membuat persediaan dengan cepat antara perlawanan.

“Itulah tuntutan yang kami jangka akan dihadapi dalam Piala Hyundai, jadi kem ini merupakan peluang penting untuk kami menyesuaikan diri dan terus berkembang sebagai satu kumpulan,” kongsi Lee.

Singapura berada dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Timor-Leste yang layak selepas menewaskan Brunei Darussalam dengan agregat 6-1.