Walaupun Singapura tewas tipis 1-2 kepada China, skuad Singa boleh berbangga dengan semangat juang dan keberanian yang dipamerkan sepanjang perlawanan di Stadium Jalan Besar pada 5 Jun.

Lebih menggalakkan, setiap pemain yang diturunkan, sama ada dalam kesebelasan utama mahupun dari bangku simpanan, memainkan peranan masing-masing dengan baik menentang China – yang berada lebih 50 anak tangga di atas mereka dalam ranking dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Penyerang Singa, Ilhan Fandi, meraikan jaringan gol tunggal Singa pada minit ke-76 yang berjaya merapatkan jurang kedudukan selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.
Penyerang Singa, Ilhan Fandi, meraikan jaringan gol tunggal Singa pada minit ke-76 yang berjaya merapatkan jurang kedudukan selepas dimasukkan sebagai pemain gantian. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Antara pemain paling menyerlah termasuk Ilhan Fandi, yang memberi impak besar selepas dimasukkan pada separuh masa kedua dan berjaya merapatkan jurang menerusi gol pada minit ke-76.

Namun, perlawanan itu juga menjadi peringatan bahawa cabaran lebih besar menanti Singapura.

Selepas kejayaan yang diraih sepanjang 2025, skuad kendalian Gavin Lee kini bakal berdepan lawan yang lebih bermutu, terutama dalam kempen Piala Asia akan datang.

Bezanya kali ini, mereka bukan sahaja membawa keyakinan terhadap kemampuan sendiri, malah harapan negara yang kembali percaya kepada potensi pasukan kebangsaan.

Walaupun kalah, prestasi yang dipamerkan oleh pasukan mendapat pujian daripada Lee.

Menurut beliau, perubahan terbesar yang berlaku dalam skuad Singapura bukanlah dari sudut taktikal semata-mata, bahkan mentaliti.

“Kami cuba mengubah mentaliti daripada sekadar mahu bertahan dalam perlawanan kepada mahu menguasai dan memenangi perlawanan.

“Apabila berdepan pasukan yang lebih kuat dan mempunyai ranking lebih tinggi, selalunya mereka akan membuatkan anda berasa tidak selesa.

“Dahulu, kami membiarkan perkara itu menguasai kami.

“Kali ini, kami mahu mengawal rasa tidak selesa itu dan terus bermain mengikut identiti kami,” kata Lee selepas perlawanan.

Lee mengakui pasukannya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan rentak permainan China pada awal perlawanan, namun berjaya bangkit selepas 15 minit pertama dan mula menguasai bola dengan lebih baik.

Walaupun berpuas hati dengan semangat yang ditunjukkan pemain, beliau menegaskan bahawa sasaran pasukan adalah untuk menang.

“Saya jarang memuji Ryhan (Stewart), tetapi hari ini statistik fizikalnya memang luar biasa. Begitu juga pemain lain yang diturunkan.

““Tetapi akhirnya, (meskipun) kami mahu menang, tetapi kami tidak menang. Itulah mentaliti yang dimahukan dalam pasukan ini,” katanya.

Beliau turut memuji pemain gantian yang berjaya mengubah rentak permainan, sambil menegaskan persaingan sihat dalam skuad kini menjadi satu kelebihan buat pasukan.

“Ia bukan sesuatu yang merunsingkan saya, tetapi satu keistimewaan.

“Jika peranan anda adalah mengubah permainan apabila masuk sebagai pemain gantian, lakukan yang terbaik,” katanya lagi.

“Jika anda pemain skuad, jadilah pemain skuad terbaik yang anda boleh jadi,” tambahnya.

Bek kanan Singa, Ryhan Stewart (kanan), dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan kerana tenaga dan semangat juang yang dipamernya semasa bukan sahaja tempoh bertahan, bahkan ketika membantu pasukan menyerang juga.
Bek kanan Singa, Ryhan Stewart (kanan), dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan kerana tenaga dan semangat juang yang dipamernya semasa bukan sahaja tempoh bertahan, bahkan ketika membantu pasukan menyerang juga. - Foto FAS

Pemain terbaik perlawanan, Ryhan Stewart, percaya kemajuan yang ditunjukkan pasukan Singa berpunca daripada perubahan cara berfikir seluruh pasukan.

“Salah satu perkara utama yang kami cuba ubah ialah mentaliti.

“Kami tidak mahu sekadar bertahan dalam perlawanan, tetapi mahu mendominasi dan menang.

“Apabila keadaan menjadi sukar, kami tidak mahu mengalah. Kami mahu terus mencari jalan untuk mengatasi cabaran itu,” kata bek kanan itu.

Penyokong Singa tiba awal dan bersemangat di Stadium Jalan Besar untuk memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada skuad kebangsaan dalam perlawanan persahabatan mereka menentang China pada 5 Jun.
Penyokong Singa tiba awal dan bersemangat di Stadium Jalan Besar untuk memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada skuad kebangsaan dalam perlawanan persahabatan mereka menentang China pada 5 Jun. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Ryhan turut berterima kasih kepada para penyokong yang memenuhi stadium dan terus memberikan sokongan padu sehingga wisel penamat.

Bagi kededua perlawanan persahabatan menentang Mongolia, yang berlangsung pada 31 Mei, dan China, para penyokong mempamerkan sokongan padu, dengan jumlah kehadiran mencecah lebih 4,000 orang di stadium yang berkapasiti 6,000 penonton itu.

“Ia sangat bermakna buat kami. Apabila melihat stadium yang penuh, ia memberi motivasi tambahan kepada kami.

“Kami mahu terus memberikan sesuatu yang boleh dibanggakan penyokong,” tambah Ryhan.