Menjelang Piala Dunia 2026, bintang Argentina, Lionel Messi, mengakui dibelenggu rasa ragu-ragu sama ada zaman gemilangnya sudah berakhir.

Pemain veteran berusia 38 tahun itu pada awalnya berhasrat melabuhkan tirai kempen Piala Dunia setelah menjulang piala edisi 2022 di Qatar, sekali gus mencapai “segala-galanya” dalam kerjayanya.

Ramai pengkritik dan peminat juga menganggap keputusan beliau untuk bermain dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS) sebagai tanda beliau ingin memperlahankan rentak kerjayanya.

Namun, Messi menepis segala keraguan tersebut dengan membuktikan kemahiran luar biasanya belum pudar di depan lebih 69,000 penonton pada 16 Jun (17 Jun waktu Singapura).

Beliau bukan sahaja muncul sebagai wira Argentina ketika menewaskan Algeria 3-0 dalam aksi pembuka tirai Piala Dunia 2026 mereka.

Malah, beliau menjaringkan hatrik pertamanya di pentas tertinggi bola sepak itu, sekali gus menyamai rekod penyerang Jerman, Miroslav Klose, sebagai penjaring gol tertinggi dengan 16 gol secara keseluruhannya di Piala Dunia.

Di tengah-tengah kemanisan detik bersejarah itu, Messi juga meraikan penampilan ke-200 bersama Argentina.

Peminat di Stadium Kansas City disemarakkan oleh aksi yang mendebarkan dalam 10 minit pertama, yang menyaksikan dua gol awal dibatalkan akibat ofsaid.

Messi terlebih dahulu menonjolkan ketajamannya di depan gawang pada minit kelima, meskipun gol beliau itu akhirnya tidak disahkan.

Tiga minit kemudian, penyerang Algeria, Fares Chaibi, pula mencemaskan juara bertahan buat seketika, namun gol beliau juga akhirnya dibatalkan.

Argentina menghela nafas lega, lalu mula menemui rentak permainan seperti juara bertahan yang dikenali ramai.

Gol pemain Algeria, Fares Chaibi, pada awal perlawanan  tidak disahkan kerana beliau didapati ofsaid.
Gol pemain Algeria, Fares Chaibi, pada awal perlawanan tidak disahkan kerana beliau didapati ofsaid. - Foto REUTERS

Juara bertahan itu memukau lawan mereka dengan gerakan lincah serta rentak hantaran yang lancar.

Benteng pasukan Argentina juga gagal ditembusi, hasil disiplin setiap pemain yang menyumbang kepada pertahanan yang kebal.

Ternyata, Argentina boleh bergantung kepada Messi – pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak lapan kali – untuk menjadi arkitek jentera serangan.

Messi membuka tirai dengan rembatan hebat dari luar kotak penalti pada minit ke-17, setelah menggelecek bola dari bahagian tengah.

Pada minit ke-60, Messi membuktikan pengalaman luas dan ketajamannya apabila mengutip bola setelah percubaan Alexis Mac Allister gagal ditangkap penjaga gawang Algeria, Luca Zidane, sekali gus menjaringkan gol mudah.

Messi menyelesaikan hatrik dengan satu lagi sepakan sempurna yang menembusi sudut rendah gawang.

Sumbangan luar biasa itu sudah lebih daripada mencukupi buat skuad Argentina, sebelum Messi akhirnya dikeluarkan bagi memberikan laluan kepada pemain lain.

Beliau diberikan penghormatan tepukan gemuruh yang bergema di seluruh stadium ketika berjalan keluar meninggalkan padang.

Bercakap kepada media selepas perlawanan, Messi menyatakan hasratnya untuk meraikan pencapaian itu bersama keluarga dan rakan sepasukannya.

“Saya rasa semakin yakin selepas kemenangan ini, ia sangat penting untuk bermula dengan langkah kanan.

“Saya tidak mungkin dapat memulakan (kejohanan) dengan lebih baik daripada ini, jadi saya sangat gembira. Saya tidak memerlukan apa-apa lagi selain berada bersama mereka di dalam bilik persalinan.”

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, hanya memuji prestasi Messi.

“Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kehebatan Messi. Sepanjang dua dekad lalu, beliau sudah biasa menyajikan kita dengan keajaiban seperti ini, malah terus memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang menyaksikan beliau beraksi,” katanya.

Lionel Messi meraikan gol pertama Argentina bersama Cristian Romero dalam kemenangan 3-0 ke atas Algeria dalam perlawanan Kumpulan J Piala Dunia 2026 di Stadium Kansas City pada 16 Jun.
Lionel Messi meraikan gol pertama Argentina bersama Cristian Romero dalam kemenangan 3-0 ke atas Algeria dalam perlawanan Kumpulan J Piala Dunia 2026 di Stadium Kansas City pada 16 Jun. - Foto AFP

Mbappe dan Haaland turut bersinar

Sebelum perlawanan itu, Perancis dan Norway juga masing-masing meraih kemenangan.

Seperti yang dijangka, pemain tonggak Perancis, Kylian Mbappe, bersinar dalam kemenangan 3-1 ke atas Senegal di Stadium New York/New Jersey pada 16 Jun.

Beliau menyumbang dua gol, termasuk rembatan hebat dari luar kotak penalti pada minit ke-96.

Bradley Barcola juga berjaya meledak satu gol.

Bintang sensasi, Michael Olise, yang dinobatkan pemain terbaik, setelah memberi sentuhan kreatif yang penting dalam kemenangan itu.

Visi hebat beliau menyaksikan dua hantaran tepatnya berjaya disempurnakan oleh Mbappe.

Penyerang utama Perancis, Kylian Mbappe, menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Senegal dalam perlawanan Kumpulan I Piala Dunia 2026 di Stadium New York/New Jersey pada 16 Jun.
Penyerang utama Perancis, Kylian Mbappe, menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Senegal dalam perlawanan Kumpulan I Piala Dunia 2026 di Stadium New York/New Jersey pada 16 Jun. - Foto AFP

Di Stadium Boston pula, Erling Haaland juga memberikan aksi hebat dengan menjaringkan dua gol dalam kemenangan besar 4-1 ke atas Iraq.

Kehadiran fizikal, kelajuan dan ketajamannya dalam menepati sasaran ternyata menjadi senjata penting bagi jentera serangan Norway.

Bintang Norway, Erling Haaland, menyumbang dua gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Iraq dalam perlawanan Kumpulan I Piala Dunia di Stadium Boston pada 16 Jun.
Bintang Norway, Erling Haaland, menyumbang dua gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Iraq dalam perlawanan Kumpulan I Piala Dunia di Stadium Boston pada 16 Jun. - Foto AFP

Sekilas keputusan perlawanan pada 16 Jun

Kumpulan I:

Perancis lwn Senegal 3-1

Iraq lwn Norway 1-4

Kumpulan J:

Argentina lwn Algeria 3-0

Austria lwn Jordan 3-1