Topik diikuti
Pergi ke BHkuMaguire, Palmer, Foden tidak terpilih ke Piala Dunia
Maguire, Palmer, Foden tidak terpilih ke Piala Dunia
Pengurus England umum secara rasmi senarai 26 pemain England untuk kejohanan di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico
Maguire, Palmer, Foden tidak terpilih ke Piala Dunia
LONDON: Phil Foden dan Cole Palmer terlepas peluang apabila Thomas Tuchel mengumumkan skuad 26 pemain England pada Jumaat, 22 Mei, untuk Piala Dunia Fifa musim panas ini.
Pemain pertahanan Manchester United, Harry Maguire, juga diketepikan, dengan pemain berusia 33 tahun itu menyatakan beliau “terkejut dan kecewa” dengan keputusan tersebut.
Penyerang Aston Villa, Ollie Watkins, disenaraikan selepas membantu pasukannya menjuarai Liga Europa pada 20 Mei, bersama penyerang Al-Ahli Saudi FC, Ivan Toney, yang telah menjaringkan 32 gol dalam 32 perlawanan Liga Pro Saudi musim ini.
Pemain tengah Nottingham Forest, Morgan Gibbs-White, juga tercicir walaupun merupakan pemain England paling banyak menjaringkan gol dalam Liga Perdana England (EPL) musim ini bersama Watkins dan Dominic Calvert-Lewin, dengan 14 gol.
Foden daripada Manchester City dan Palmer daripada Chelsea, kededuanya pemain tengah yang juga boleh beraksi sebagai penyerang, mengalami musim yang tidak konsisten bersama kelab masing-masing.
Dalam satu hantaran dalam Instagram, Maguire mengesahkan:
“Saya yakin saya mampu memainkan peranan besar untuk negara saya musim panas ini berdasarkan prestasi saya musim ini.
“Saya benar-benar terkejut dan kecewa dengan keputusan itu. Saya ucapkan yang terbaik buat semua pemain.”
Ibu Maguire, Zoe, turut meluahkan kekecewaannya di media sosial dengan menyatakan beliau “jengkel” dengan keputusan tersebut.
Rakan sepasukan Maguire di United, Luke Shaw, juga tidak dipilih walaupun mempamerkan musim yang mengagumkan.
Shaw telah dinamakan dalam skuad sementara Tuchel seramai 55 pemain dan terdapat desakan kuat agar beliau disertakan.
Namun, dengan prestasi baik Dan Burn daripada Newcastle United dan Nico O’Reilly daripada City, Shaw telah digugurkan.
Pemain pertahanan Chelsea, Levi Colwill, dan pemain pertahanan AC Milan, Fikayo Tomori, turut tidak dipilih, manakala pemain sayap Arsenal, Noni Madueke, berjaya tersenarai.
Beliau menyertai rakan sepasukan juara EPL iaitu Bukayo Saka, Declan Rice dan Eberechi Eze, yang diberi ganjaran atas prestasi cemerlangnya dengan tempat dalam skuad 26 pemain.
Ketiadaan Maguire, Tomori dan Colwill bermakna pertahanan City, John Stones, dipilih walaupun kempen musimnya terganggu akibat kecederaan.
Tuchel melihat Stones sebagai pemain penting tetapi bimbang mengenai tahap kecergasan pemain City itu.
Pemain tengah Crystal Palace, Adam Wharton, juga tercicir, tetapi pemain tengah United, Kobbie Mainoo, mengekalkan tempatnya selepas dipanggil semula untuk aksi persahabatan sebelum ini.
Pemain tengah Brentford, Jordan Henderson, yang menjadi tonggak utama di bawah Tuchel, akan terus dikekalkan dalam skuad.
Piala Dunia Fifa yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Canada akan bermula pada 11 Jun. – Agensi berita.
