MUNICH: Penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer, yang telah bersara di peringkat antarabangsa, sedia beraksi semula selepas dinamakan dalam skuad Jerman bagi Piala Dunia 2026.

Ini dengan pengurus skuad kebangsaan Jerman, Julian Nagelsmann, mengesahkan pemain berusia 40 tahun itu akan menjadi penjaga gol nombor satu pasukannya sepanjang kejohanan tersebut.

Neuer, yang membantu Bayern merangkul kejuaraan Bundesliga dan melangkah ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara musim ini, kali terakhir beraksi untuk negaranya ketika tewas kepada Sepanyol dalam suku akhir Euro 2024, yang juga merupakan penampilan ke-124 beliau.

Beliau kemudian mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa, selepas sebelum ini pernah membantu Jerman menjuarai Piala Dunia 2014 di Brazil.

“Semua orang tahu tentang aura dan kualiti yang ada pada Manu (Manuel Neuer), serta apa yang mampu disumbangkannya kepada pasukan,” kata Nagelsmann.

“Perancangan kami adalah untuk meletakkan beliau sebagai (penjaga gol) nombor satu.”

Neuer telah beraksi dalam empat edisi Piala Dunia sebelum ini dan menjadi antara pemain berusia 40 tahun dan ke atas yang baru-baru ini dipilih untuk kejohanan musim panas yang bakal berlangsung di Canada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Antara pemain dalam kelompok umur tersebut yang turut tersenarai dalam skuad negara masing-masing ialah penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo, 41 tahun; pemain tengah Croatia, Luka Modric, 40 tahun; penjaga gol Scotland, Craig Gordon, 43 tahun; dan pemain Bosnia-Herzegovina, Edin Dzeko, 40 tahun.

Nagelsmann menyenaraikan lima pemain Liga Perdana England (EPL) dalam skuad 26 pemainnya – termasuk bintang Arsenal, Kai Havertz; pemain Brighton, Pascal Gross; pemain Liverpool, Florian Wirtz; serta duo Newcastle United, Malick Thiaw dan Nick Woltemade.

Pemain muda Bayern, Lennart Karl, 18 tahun, dan pemain sayap Galatasaray, Leroy Sane, 30 tahun, turut disenaraikan dalam skuad berkenaan.

Jerman, yang telah memenangi Piala Dunia sebanyak empat kali, akan memulakan kempen mereka menentang Curacao pada 14 Jun sebelum bertemu Ivory Coast dan Ecuador dalam aksi Kumpulan E yang lain.

Sejak menjuarai kejohanan edisi 2014, Jerman tersingkir awal di peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2018 dan 2022.

“Kenyataan ini tetap sama. Kami mahu bergelar juara dunia. Setiap pemain yang dicalonkan perlu membuktikannya sekarang pada setiap hari,” kata Nagelsmann.

SKUAD PIALA DUNIA JERMAN

Penjaga Gol: Oliver Baumann (Hoffenheim), Manuel Neuer (Bayern Munich), Alexander Nubel (Stuttgart)

Pemain pertahanan: Waldemar Anton (Borussia Dortmund), Nathaniel Brown (Eintracht Frankfurt), Joshua Kimmich (Bayern Munich), David Raum (RB Leipzig), Antonio Rudiger (Real Madrid), Nico Schlotterbeck (Borussia Dortmund), Jonathan Tah (Bayern Munich), Malick Thiaw (Newcastle United).

Pemain Tengah: Nadiem Amiri (Mainz), Leon Goretzka (Bayern Munich), Pascal Gross (Brighton and Hove Albion), Jamie Leweling (Stuttgart), Jamal Musiala (Bayern Munich), Felix Nmecha (Borussia Dortmund), Aleksandar Pavlovic (Bayern Munich), Angelo Stiller (Stuttgart), Florian Wirtz (Liverpool).

Penyerang: Maximilian Beier (Borussia Dortmund), Kai Havertz (Arsenal), Lennart Karl (Bayern Munich), Leroy Sane (Galatasaray), Deniz Undav (Stuttgart), Nick Woltemade (Newcastle United)  – Agensi berita.