Amar Hassan Mohamad Kamal meluangkan banyak masa mempelajari dan merawat haiwan.
Di sebalik kuliah, seragam klinik dan sarung tangan, Amar juga seorang atlet sukan memanjat Singapura.
Menjelang Oktober, mahasiswa jurusan Sains Veterinar di Universiti Murdoch di Perth, Australia, itu akan menukar alat stetoskopnya dengan tali dan kapur apabila membuat penampilan keduanya di Sukan Asia.
Amar, 24 tahun, akan bersaing dalam acara panjat laju berganti-ganti di edisi temasya sukan Hangzhou, yang berlangsung pada 4 Oktober.
Namun, persiapannya ke temasya sukan empat tahun sekali itu sedikit berbeza kali ini.
Oleh kerana terpaksa berjauhan bagi memburu cita-citanya menjadi seorang doktor haiwan, Amar banyak menjalani latihan bersendirian di luar negara.
“Ia berbeza berbanding empat tahun lalu – saya dapat berlatih hampir setiap hari bersama pasukan. Cabaran ketika itu ialah saya sedang menjalani Perkhidmatan Negara.
“Kini, cabaran saya adalah berada jauh daripada pasukan… Saya harus mengekalkan motivasi dalam diri saya sendiri kerana tiada siapa yang melakukan sukan panjat laju di sini,” kata Amar dari Perth, ketika dihubungi Berita Minggu (BM) baru-baru ini.
Malah, beliau berkongsi bahawa satu lagi cabaran yang dihadapinya di Perth adalah kekurangan akses untuk berlatih pada tembok setinggi 15 meter.
Acara panjat laju adalah saingan penyingkiran antara dua lawan yang dapat memanjat tembok setinggi 15 meter paling pantas.
Menurut Amar, tembok memanjat yang ada di Perth hanya setinggi 10 meter.
Justeru, minggu lalu, beliau mengambil peluang pulang ke tanah air untuk berlatih bersama pasukan nasional selepas program bekerja sambil belajarnya di sebuah klinik haiwan telah dibatalkan.
“Jadual kursus saya agak padat. Walaupun pada cuti sekolah, kami perlu bekerja di sebuah klinik haiwan.
“Klinik yang saya sepatutnya ditempatkan telah membatalkan program pada saat-saat akhir. Jadi, saya segera semak tiket penerbangan yang ada untuk pulang ke Singapura,” kata Amar, yang sudah tiga setengah tahun di Perth.
Kursus ijazahnya mengambil masa lima tahun untuk diselesaikan.
Sepanjang lima hari di tanah air, Amar meluangkan masa setiap hari berlatih di tembok memanjat setinggi 15 meter di samping mencuri masa untuk bersama keluarga dan rakan-rakan.
Di Hangzhou, Amar menyasar untuk memperbaiki persembahannya pada Sukan Asia yang lalu.
Pada 2018, beliau tergelincir ketika beraksi dalam acara panjat laju berganti-ganti, yang menjejas kedudukan pasukan Singapura untuk layak ke pusingan akhir.
Singapura meraih tempat ke-11 daripada 14 pasukan.
Amar juga bertanding dalam acara panjat laju perseorangan dan menduduki tempat ke-15 daripada 27 pesaing.
Dengan hanya satu acara yang disertainya kali ini, Amar fokus untuk memaparkan konsistensi dalam prestasinya.
Ini termasuk berlatih berdasarkan pada bahagian tertentu tembok memanjat, berbanding menggunakan seluruh ketinggiannya.
Pada tembok setinggi 15 meter, Amar akan membahagikan ketinggiannya kepada tiga bahagian – iaitu setiap lima meter – dan fokus memperbaiki tekniknya pada setiap bahagian.
“Saya berlatih untuk menjadi konsisten berbanding mendapat masa terpantas. Saya mungkin boleh menjadi yang terpantas, tetapi tiada gunanya jika tidak konsisten.
“Saya kini lebih fokus dalam memastikan saya dapat bersaing pada masa yang terbaik tanpa tergelincir,” kata Amar, yang bergiat dalam sukan memanjat sejak usia 17 tahun ketika di Maktab Rendah Meridian.
Sukan Asia Hangzhou merupakan pertandingan besar pertamanya pada 2023 dan Amar ingin memulakannya pada langkah kanan.
“Saya mementingkan persembahan daripada keputusan.
“Saya mahu beraksi secara konsisten dan tidak tergelincir dalam pusingan kelayakan. Jika saya dapat berbuat demikian, kami ada peluang baik untuk ke pusingan akhir,” tambah beliau.
Singapura akan diwakili empat lagi atlet dalam acara sukan memanjat. Mereka ialah Denzel Chua, Luke Goh, Tan Bing Qian dan Dennis Chua.
“
Saya berlatih untuk menjadi konsisten berbanding mendapat masa terpantas. Saya mungkin boleh menjadi yang terpantas, tetapi tiada gunanya jika tidak konsisten. Saya kini lebih fokus dalam memastikan saya dapat bersaing pada masa yang terbaik tanpa tergelincir.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg