LONDON: Pemain tengah, Declan Rice, berkata beliau mahu dinilai berdasarkan piala yang dimenanginya selepas menyertai Arsenal dengan bayaran pemindahan £100 juta ($172 juta).
Bekas kapten West Ham itu telah membantu pasukan Liga Perdana England (EPL) memenangi pingat pertama mereka dalam tempoh 43 tahun apabila menjulang Liga Persidangan Europa musim lalu.
Arsenal hanya mampu duduk di tangga kedua musim lalu di belakang Manchester City, meskipun mendahului liga bagi sebahagian besar kempen 2022/23.
Apabila ditanya apakah matlamat beliau menyertai The Gunners, pemain berusia 24 tahun itu, yang perjanjian bayaran pemindahannya boleh meningkat kepada £105 juta termasuk kos tambahan, menjelaskan: “Untuk memenangi trofi.”
Rice yang menyertai Arsenal awal Julai menambah: “Itulah sebabnya pemain yang kami ada berada di sini.”
Pemain tengah itu merupakan pemain ketiga yang menyertai Arsenal menyusuli tanda tangan penyerang, Kai Havertz, yang menyertai Arsenal dari Chelsea dengan bayaran pemindahan £65 juta serta pemain pertahanan, Jurien Timber, dari Ajax dengan bayaran £34 juta.
Rice, yang juga merupakan pemain antarabangsa England berkata: “Anda hanya mendapat satu kerjaya dan di akhirnya anda mahu dinilai oleh berapa banyak trofi yang anda telah menangi.
“Saya tahu skuad ini sangat mahu memenangi sesuatu. Kami masih muda dan ‘lapar’ dan mempunyai banyak tenaga.
“Selepas saingan musim lalu, mereka telah banyak belajar, jadi tahun ini, dengan semua pertandingan yang bakal kami hadapi, kami mempunyai satu matlamat dan ia adalah untuk menang, dan bukan sekadar mengambil bahagian.”
Juara musim lalu, City menarik diri daripada cuba mendapatkan tandatangan Rice selepas tawaran £90 juta ditolak, manakala juara Jerman, Bayern Munich turut meluahkan minat untuk mendapatkan tenaga pemain itu.
Rice turut mendapat perhatian dua kelab gergasi EPL, Manchester United serta bekas kelabnya, Chelsea.
Rice telah dibebaskan kelab London barat itu ketika berusia 14 tahun.
Namun begitu, Rice sudah pun membuat keputusan dan visi yang digariskan oleh pengurus Arsenal, Mikel Arteta, berjaya menambat hatinya.
“Ia merupakan perasaan yang saya dapat, satu perasaan yang sangat baik,” katanya.
“Saya baru sahaja berada bersama pasukan ini tetapi rasanya pilihan itu sudah membuahkan hasil.
“Secara individu, terdapat beberapa perkara yang ingin saya tambahkan kepada permainan saya.
“Saya mahu mempertingkat persembahan saya, untuk menjadi lebih baik dan mempelajari perkara yang berbeza. Saya rasa Mikel mampu membantu mengeluarkan yang terbaik dalam diri saya.”
Arsenal akan kembali bersaing di Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak musim 2016-17, pertandingan di mana mereka gagal melepasi pusingan 16 pasukan terakhir sejak 2010.
“Ia akan menjadi (pertandingan) yang terbaik,” kata Rice.
“Ia adalah kemuncak dalam bola sepak. Tidak ramai pemain yang dapat beraksi dalam Liga Juara-Juara. Mendapat peluang itu tahun ini, dan menyarung jersi pasukan ini serta mendengar lagu pertandingan dimainkan akan menjadi satu perkara yang sangat istimewa.
“Dalam bola sepak, anda hanya mendapat satu peluang untuk melakukan perkara yang hebat dan menyertai kelab yang hebat.
“Bagi saya, kelab ini layak untuk berada dalam Liga Juara-Juara dan layak untuk menikmati malam-malam yang hebat – saya tidak sabar untuk mengalaminya sendiri.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg