Selepas dimaklumkan bahawa kontraknya bersama Hougang United tidak akan disambung, Ryaan Sanizal telah menerima beberapa tawaran daripada kelab di Singapura.

Namun, pemain berusia 24 tahun itu memilih untuk keluar daripada zon selesanya dengan menolak semua tawaran tersebut demi mengejar pengalaman baharu di luar negara.

Bagi Ryaan, terus kekal dalam persekitaran sama bukanlah apa yang diimpikannya.

Beliau mahu mencabar diri, berkembang sebagai pemain, dan tidak sekadar mengharungi satu lagi musim tanpa sebarang peningkatan.

Lebih-lebih lagi dengan Piala Asia yang semakin hampir, Ryaan berharap dapat membuktikan kemampuannya di tahap lebih tinggi sekali gus meningkatkan peluang untuk menarik perhatian barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.

“Walaupun saya mempunyai beberapa pilihan untuk kekal di Singapura, saya tidak mahu terlalu selesa,” kata pemain pertahanan itu.

“Saya mahu cuba sesuatu yang baharu, sesuatu yang boleh letakkan saya di luar zon selesa, terutama sekali dengan Piala Asia yang semakin dekat.”

Walaupun terpaksa menanti tawaran dari luar negara untuk tiba, Ryaan memilih untuk menolak tawaran kelab tempatan.

Biarpun Malaysia mungkin kelihatan seperti destinasi yang tidak terlalu asing buat pemain Singapura, Ryaan melihatnya sebagai peluang penting untuk berkembang sebagai seorang pemain dan individu.

“Saya memang sudah lama mahu bermain di luar negara. Apabila peluang ini datang, saya rasa ia sesuatu yang saya tidak boleh lepaskan,” katanya.

“Tambahan, ia di Malaysia. Dari segi budaya, makanan dan kehidupan harian, banyak perkara yang tidak terlalu berbeza. Jadi keputusan itu menjadi lebih mudah.”

Namun, Ryaan sedar penghijrahannya ke Liga Super Malaysia (MSL) datang bersama tanggungjawab lebih besar.

Sebagai pemain import, beliau sedar piawaian yang diletakkan terhadapnya berbeza berbanding ketika beraksi di Singapura.

Beliau tidak datang ke Negeri Sembilan hanya untuk memenuhi kuota pemain asing. Sebaliknya mahu memainkan peranan penting dalam membantu pasukan itu mencapai sasaran mereka.

“Saya bukan datang untuk isi tempat sahaja. Saya datang untuk membantu pasukan pergi ke tahap yang lebih baik,” ujarnya.

“Sebagai pemain asing, kalau prestasi tidak cukup baik, saya akan duduk di bangku simpanan. Tiada siapa akan beri saya peluang hanya kerana saya perlu bermain.”

Negeri Sembilan menamatkan musim lalu di tempat ketujuh MSL dan kini berada dalam fasa pembinaan semula dengan kehadiran jurulatih serta ramai pemain baharu.

Sasaran realistik pasukan itu adalah untuk memperbaiki kedudukan tersebut, dengan cabaran untuk menjadi antara enam pasukan terbaik.

Secara peribadi, selain mahu membantu Negeri Sembilan, Ryaan turut meletakkan sasaran untuk kembali mendapat perhatian skuad kebangsaan Singapura.

Dengan Piala Asia semakin hampir, tempoh beberapa bulan akan datang menjadi penting buatnya untuk membuktikan bahawa beliau masih berada dalam radar jurulatih negara, Gavin Lee.

“Saya mahu bermain sebanyak mungkin, membantu pasukan dan Insya-Allah mendapat panggilan semula untuk skuad kebangsaan,” katanya yang kali terakhir dipanggil untuk mewakili skuad negara pada 2024.

Bagi Ryaan, kejayaan di Negeri Sembilan bukan hanya diukur melalui jumlah penampilan atau keputusan di atas padang. Pemindahan ini juga adalah tentang membentuk dirinya di luar bola sepak.

Buat kali pertama dalam kerjayanya, beliau perlu hidup sendiri jauh daripada keluarga. Beliau perlu belajar memasak, mengurus kehidupan harian dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

“Saya melihat pemindahan ini bukan hanya dari sudut bola sepak. Ini adalah fasa membina perwatakan saya,” katanya.

“Saya mahu menjadi seorang yang lebih baik, sebagai individu, sebagai Muslim, sebagai anak, sebagai abang dan sebagai rakan sepasukan.”