Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain pertahanan Tampines sedia uji diri di Liga Super Malaysia

BG Tampines Rovers umum Amirul Adli dipinjamkan 6 bulan kepada Negeri Sembilan
Jan 15, 2026 | 5:41 PM
Amirul, dipinjamkan, Negeri Sembilan
Pemain pertahanan Tampines, Amirul Adli, (kiri) akan menyertai pasukan Liga Super Malaysia (MSL), Negeri Sembilan secara pinjaman selama enam bulan. - Foto INSTAGRAM TAMPINESROVERS

Selepas lebih sedekad membina kerjaya dalam arena bola sepak tempatan, pemain pertahanan BG Tampines Rovers, Amirul Adli, akhirnya merealisasikan impian untuk bermain di luar negara..

Cabaran baru menantinya dalam Liga Super Malaysia (MSL) bersama Negeri Sembilan.

Tampines mengumumkan perpindahan pinjaman enam bulan ini di Instagram mereka, tepat pada ulang tahun ke-30 pemain pertahanan itu pada 13 Januari.

“Kami mengumumkan bahawa Amirul Adli akan menyertai Negeri Sembilan FC di Liga Super Malaysia secara pinjaman untuk baki musim 2025/26. Semoga maju jaya, Amirul Adli,” tulis Tampines di Instagram rasmi mereka.

Walaupun tempoh pinjaman singkat, Amirul melihat ini sebagai peluang keemasan untuk melonjakkan dan mematangkan permainannya, menjelang kejohanan penting seperti Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) tahun ini dan Piala Asia 2027.

“Enam bulan bukan masa yang lama. Jadi saya melihat ini sebagai satu peluang yang sangat baik untuk mencuba sesuatu yang berbeza,” kata Amirul.

“Saya tidak pernah bermain di luar Singapura sebelum ini, dan ini memang sesuatu yang saya impikan.”

Beliau juga teruja dengan kejayaan beberapa tonggak negara seperti Safuwan Baharudin, Hariss Harun, dan rakan sepasukannya di Tampines, Faris Ramli, yang pernah beraksi di Malaysia.

“Saya selalu dengar perkara positif tentang pemain Singapura yang bermain di Malaysia,” jelasnya.

“Mereka telah mengalami perjalanan ini. Jadi saya melihat mereka sebagai rujukan dan sumber nasihat,” ujarnya.

Sebagai pemain yang sarat dengan kejayaan domestik dalam Liga Perdana Singapura (SPL), Amirul percaya masanya telah tiba untuk menguji diri dalam suasana baru.

Beliau memulakan kerjaya bola sepaknya pada usia 18 tahun di Young Lions, kemudian beliau sertai kelab-kelab tempatan seperti Geylang International (2023), Lion City Sailors (2021) dan Tampines (2018, 2024 hingga sekarang).

Pemain pertahanan berpengalaman itu memenangi beberapa trofi tempatan utama, termasuk Piala Singapura (Tampines, musim 2018-19), Trofi SPL (Sailors, musim 2020-21) dan Perisai Masyarakat (Tampines, musim 2019/20, 2025/26 dan Sailors 2021/22).

Amirul telah merasai saingan MSL apabila diturunkan sebagai pemain gantian menentang Selangor, pasukan Safuwan, pada 14 Januari dalam penampilan sulungnya bersama Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan akhirnya tewas 1-0 kepada Selangor.

“Suasana perlawanan dan sokongan penyokong sangat berbeza berbanding apa yang saya alami di Singapura,” katanya. “Ia benar-benar membuka mata saya.”

Dari sudut permainan, Amirul menyifatkan MSL sebagai liga yang lebih fizikal, sekali gus menawarkan cabaran berbeza berbanding pendekatan teknikal di Singapura.

“Kededua liga ada kekuatan masing-masing. Di sini, aspek fizikal lebih menonjol dan itu sesuatu yang saya boleh pelajari,” tambahnya.

Amirul optimis pengalamannya mampu menambah nilai dan memperkukuhkan Negeri Sembilan yang menduduki tangga keenam MSL itu.

“Saya harap dapat membantu dari segi kestabilan dan organisasi di bahagian pertahanan,” katanya.

“Dengan pengalaman yang saya ada, saya mahu membantu pasukan bermain dengan lebih tersusun sebagai satu unit.”

Lebih daripada sekadar membantu pasukan, Amirul melihat tempoh pinjaman ini sebagai langkah yang penting bagi kerjayanya.

“Saya mahu membawa pulang pengalaman daripada Liga Malaysia, terutamanya dari segi fizikal, dan menggabungkannya dengan aspek teknikal bola sepak Singapura,” jelasnya.

“Jika itu boleh membantu saya menjadi pemain yang lebih baik untuk kelab dan pasukan kebangsaan, itu cukup bermakna.”

Dengan kejohanan besar seperti Piala Asia 2027 semakin hampir, Amirul mengakui pemindahan ini juga sebahagian daripada usahanya untuk kekal relevan dalam perancangan pasukan kebangsaan.

“Saya sudah lama bermain di Singapura. Ia selesa, tetapi untuk terus maju, saya perlu cabaran baru,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg