Topik diikuti
Pergi ke BHkuMampukah Belgium padam rekod silam dibaham Mesir?
Mampukah Belgium padam rekod silam dibaham Mesir?
Jurulatih Belgium tidak pandang rendah keupayaan gergasi Afrika Utara itu yang miliki skuad berbakat, rekod prestasi lebih baik pertemuan lalu kededua pasukan
Mampukah Belgium padam rekod silam dibaham Mesir?
Belgium akan memulakan kempen Piala Dunia 2026 mereka dengan menentang Mesir pada 16 Jun (3 pagi) di Stadium Lumen Field, Seattle.
Di atas lembaran kertas, Belgium merupakan pasukan pilihan untuk meraih tiga mata pertama dalam Kumpulan G.
Namun, hakikatnya perlawanan ini mungkin jauh lebih seimbang daripada yang dijangkakan.
Sebabnya, ini bukan lagi skuad Belgium yang pernah dianggotai sepenuhnya oleh generasi emas yang digeruni dunia sekitar sedekad lalu.
Walaupun masih memiliki nama besar seperti Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku dan Thibaut Courtois, skuad kendalian Rudi Garcia itu sedang melalui fasa peralihan sambil cuba membuktikan mereka masih mampu bersaing di pentas tertinggi.
Piala Dunia kali ini hadir sebagai peluang untuk Belgium menutup naratif bahawa mereka gagal memanfaatkan sepenuhnya bakat generasi terbaik dalam sejarah bola sepak negara itu.
Selepas menamatkan saingan di tempat ketiga pada 2018, prestasi mereka tidak lagi mencapai tahap yang sama dalam kejohanan utama.
Namun, pengalaman masih menjadi aset terbesar Belgium.
Courtois, 34 tahun, kekal antara penjaga gol terbaik dunia, manakala De Bruyne, terus menjadi penentu rentak permainan pasukan.
Walaupun usianya semakin meningkat mencecah 34 tahun, kemampuan pemain tengah itu mencipta peluang keemasan untuk pasukan Belgium masih sukar ditandingi.
Di bahagian hadapan pula, perhatian terarah kepada Lukaku.
Penyerang berusia 33 tahun itu masih merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Belgium, namun tahap kecergasannya menjadi tanda tanya selepas kembali daripada kecederaan dan tempoh sukar di peringkat kelab.
Malah, Garcia, 62 tahun, sendiri meminta penyokong supaya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadapnya pada peringkat awal kejohanan.
“Mari kita mulakan dengan menghormati pihak lawan di peringkat kumpulan.
“Mari kita tewaskan mereka, tamatkan saingan sebagai juara kumpulan, dan selepas itu baru kita lihat sejauh manakah kita boleh melangkah.
“Kita tidak sepatutnya gentar dengan sesiapa pun, itu pasti,” katanya.
Mesir pula tiba di Seattle dengan ‘nasib’ berbeza.
Jika Belgium sedang berusaha mempertahankan status mereka sebagai kuasa bola sepak dunia, Mesir melihat Piala Dunia sebagai peluang terbaik untuk mencipta sejarah baharu.
Negara Afrika Utara itu belum pernah melepasi peringkat kumpulan dalam mana-mana penampilan Piala Dunia mereka sebelum ini.
Namun kali ini, mereka hadir dengan keyakinan generasi pemain berbakat yang mampu mengubah sejarah tersebut.
Prestasi Mesir membuat Garcia berwaspada.
“Kami mengenali Mesir dengan baik, mereka adalah antara pasukan terbaik di Afrika. Saya tahu segala-galanya tentang Mo Salah kerana saya pernah melatihnya di Roma,” kata Garcia.
Segala-galanya bermula dengan Mohamed Salah.
Bekas bintang Liverpool itu mungkin tidak mempunyai banyak peluang lagi untuk beraksi di pentas Piala Dunia.
Pada usia 34 tahun, kejohanan ini berpotensi menjadi peluang terakhirnya untuk meninggalkan legasi terbesar bersama skuad kebangsaan Mesir.
Jurulatih Hossam Hassan, 59 tahun, mengakui Belgium merupakan lawan paling sukar dalam kumpulan, tetapi kehadiran Salah dan pemain lincah Manchester City, Omar Marmoush, 27 tahun, memberi Mesir senjata yang mampu mengubah keputusan perlawanan dalam sekelip mata.
“Kehadiran Salah dan Marmoush bersama kelab-kelab terbesar di dunia, merupakan sesuatu yang hebat dan memberikan kekuatan lebih besar kepada pasukan kami,” katanya.
Berbeza dengan Belgium yang lebih selesa mengawal penguasaan bola, Mesir dijangka menunggu peluang menyerang balas menerusi kepantasan Marmoush dan kreativiti Salah di bahagian sayap.
Satu fakta menarik yang mungkin mengejutkan ramai adalah Belgium sebenarnya tidak mempunyai rekod yang baik menentang Mesir.
Daripada empat pertemuan terdahulu, Mesir memenangi tiga daripadanya termasuk kemenangan 2-1 dalam aksi persahabatan terakhir antara kededua negara pada 2022.
Walaupun rekod tersebut tidak membawa sebarang kelebihan apabila perlawanan berlangsung di Seattle, ia cukup untuk menunjukkan Mesir bukan lawan yang mudah digugat.
Dengan Iran dan New Zealand turut menunggu dalam baki aksi kumpulan, kededua pasukan sedar kemenangan awal mampu mengurangkan tekanan untuk perlawanan seterusnya.
Belgium mungkin memiliki lebih banyak mutu pemain individu, tetapi Mesir mempunyai pemain yang mampu mengubah perlawanan dalam sekelip mata.
Atas sebab itu, perlawanan pembukaan Kumpulan G berpotensi menjadi antara aksi paling menarik pada hari pertama saingan kumpulan.
Ramalan wartawan: Belgium 2-1 Mesir
Perlawanan lain pada 16 Jun
Iran lawan New Zealand (9 pagi)
