Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mampukah Gyokeres gegar Liga Perdana England

Penyerang Sporting Lisbon telah jaringkan 97 gol dalam 102 penampilan; kini dapat perhatian Manchester United, Arsenal
Jun 15, 2025 | 5:30 AM
Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres
Pada usia 27 tahun, penyerang Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres masih belum bermain dalam mana-mana lima liga utama Eropah. - Foto REUTERS

LISBON: Penyerang Sporting Lisbon, Victor Gyokeres mencuri tumpuan selepas mencatat 97 gol dalam 102 penampilan bersama Sporting, selain menyumbang 26 bantuan gol untuk kelab dari Portugal itu.

Penyerang Sweden itu mencatat secara purata lebih satu gol dalam setiap perlawanan musim lalu, dengan 54 gol dalam 52 perlawanan — satu pencapaian luar biasa.

Namun, bekas kapten Manchester United, Rio Ferdinand, masih belum yakin bahawa Gyokeres — yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford — merupakan pilihan tepat bagi bekas kelabnya.

Kelab-kelab besar Eropah kini mula menunjukkan minat terhadap bekas penyerang Brighton itu, selepas dua musim cemerlang bersama Sporting, di bawah bimbingan Ruben Amorim, yang kini mengurus Manchester United.

Sepanjang musim 2024-25, Gyokeres menjaringkan 39 gol dalam saingan liga utama Portugal, Liga Primeira, serta enam lagi dalam Liga Juara-Juara — termasuk hatrik ketika menentang Manchester City.

Namun begitu, masih wujud persoalan sama ada beliau mampu mengekalkan prestasi luar biasa itu dalam saingan lebih mencabar seperti di Liga Perdana England (EPL).

Daripada seorang pemain yang tidak pernah beraksi walau seminit pun di EPL bersama Brighton, Gyokeres kini menjadi antara penyerang paling prolifik di Eropah.

Justeru, bagaimana seorang pemain yang dilepaskan Brighton pada usia 23 tahun tanpa sebarang penampilan EPL, kini menjadi rebutan kelab-kelab utama Eropah?

Selepas gagal menyerlah ketika dipinjamkan ke Coventry , di mana beliau hanya menjaringkan tiga gol dalam 19 perlawanan, Brighton menjualnya pada Julai 2021 dengan bayaran kecil.

Dua tahun kemudian, beliau berpindah ke Sporting dengan harga 20.5 juta euro ($35 juta) selepas menjaringkan 38 gol dalam 91 perlawanan sepanjang musim 2021-22 dan 2022-23.

Di Lisbon, Gyokeres melonjak ke tahap baru dan kini dilaporkan bernilai sekitar 67 juta euro oleh juara Portugal itu.

Di peringkat antarabangsa, beliau turut menjadi sebahagian daripada barisan serangan mantap Sweden, bersama Alexander Isak dari Newcastle dan Dejan Kulusevski dari Tottenham.

Untuk Sweden, Gyokeres menjaringkan sembilan gol dalam enam perlawanan Liga Negara-Negara 2024-25 — termasuk empat gol dalam satu perlawanan menentang Azerbaijan.

Namun, perhatian terhadap beliau bukan hanya kerana jumlah gol yang beliau jaringkan.

Gyokeres dikenali dengan pergerakan bijaknya, etika kerja tinggi, kekuatan fizikal, kemahiran teknikal dan kecerdasan taktikal.

Beliau bukan sahaja penjaring gol, tetapi juga pencipta peluang — sering mencetuskan serangan melalui kehebatan menggeleceknya.

Bekas rakan sepasukan dan jurulatihnya masih mengingati seorang remaja yang mudah menangis apabila mengalami kekalahan.

Mereka sifatkan Gyokeres sebagai individu yang “keras kepala, agresif” dan kadangkala bergaduh dengan rakan sepasukan.

“Saya masih ingat pemain senior pernah menasihatinya supaya lebih tenang kerana beliau selalu bermain habis-habisan,” kata Magni Fannberg, jurulatih yang memberinya penampilan sulung di pasukan utama Brommapojkarna pada 2015.

Banyak kisah menceritakan ketekunan dan semangat Gyokeres.

“Gyokeres memang ada mentaliti kuat, tapi beliau juga seorang yang baik. Beliau selalu bekerja keras dan sentiasa mahu membuktikan dirinya kepada orang lain,” kata pencari bakat di akademi Brommapojkarna, David Eklund.

Segalanya bermula di padang kecil kelab akar umbi di Stockholm, IFK Aspudden-Tellus.

Gyokeres baru berusia lima tahun ketika itu, dan beliau sangat menghargai peranan bapanya, Stefan Gyokeres, dalam perkembangan kerjayanya.

“Perjalanan itu sangat membantu. Kami kongsi detik suka dan duka,” kata Gyokeres — yang kini mendatangkan impak besar di dalam dan luar padang.

Namun bagaimana beliau berbanding penyerang lain? Bagaimanakah beliau jika dibandingkan dengan penyerang elit lain?

Kylian Mbappé menjaringkan 31 gol dalam musim pertamanya di, Liga utama Sepanyol, La Liga, bersama Real Madrid.

Mohamed Salah menyumbang 29 gol ketika Liverpool menjuarai EPL, manakala Robert Lewandowski mengakhiri musim dengan 27 gol untuk Barcelona — satu lebih daripada kapten England, Harry Kane, yang menjaringkan 26 untuk Bayern Munich.

Gyokeres, yang mempunyai ketinggian 6 kaki 2 inci (1.89m), menjaringkan 39 gol — walaupun Liga Primeira tidak dianggap sebagai antara lima liga teratas di Eropah.

Persoalannya sekarang - bolehkah beliau mengekalkan ketajaman itu dalam liga yang lebih kompetitif?

Pada usia 27 tahun, Gyokeres masih belum bermain dalam mana-mana lima liga utama Eropah — justeru timbul keraguan seperti yang dilontarkan oleh Ferdinand.

Terdapat fakta menarik: 35 peratus daripada jumlah gol beliau musim lalu datang dari sepakan penalti — dan beliau berjaya menyempurnakan kesemua 19 sepakan.

Tiada siapa menafikan bahawa Gyokeres adalah penjaring berbisa — tetapi mampukah beliau melakukan perkara yang sama apabila berdepan barisan pertahanan tahap elit? – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg