Antara pemain terbaik dalam generasinya, Cristiano Ronaldo, mempunyai satu kekosongan ketara dalam kabinet trofinya yang begitu mengagumkan – trofi Piala Dunia.

Walaupun menjadi satu-satunya pemain yang menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia yang berlainan, trofi paling berprestij dalam bola sepak dunia itu masih gagal dimilikinya.

Dengan hampir semua kejuaraan utama dalam bola sepak dunia sudah berjaya diraih, Piala Dunia kekal menjadi impian sebagai pelengkap terakhir untuk mengukuhkan legasinya.

Kejohanan Piala Dunia 2026 mungkin merupakan peluang terakhir yang realistik buat Ronaldo untuk menyamai pencapaian pesaing lamanya, Lionel Messi, dengan menjulang trofi paling berprestij dalam bola sepak.

Ronaldo sentiasa percaya beliau berada di tahap tersendiri apabila mengulas mengenai perbandingannya dengan bintang Argentina itu.

“Adakah Messi lebih baik daripada saya? Saya tidak setuju. Saya tidak mahu bersikap rendah hati,” katanya sambil tersenyum lebar.

Walaupun semua perhatian tertumpu kepada Ronaldo, ia adalah satu kesilapan untuk melihat Portugal sebagai pasukan yang bergantung kepada seorang pemain sahaja.

Jauh daripada bergantung sepenuhnya kepada kapten ikonik mereka, Portugal memiliki antara skuad paling berbakat dalam kejohanan ini.

Tonggak pemain bahagian tengah (midfield) kini ialah Bruno Fernandes, yang melalui musim cemerlang dan menyaksikannya diiktiraf sebagai antara pemain paling menyerlah dalam Liga Perdana England (EPL), manakala Nuno Mendes, Joao Neves, Goncalo Ramos dan Vitinha membawa keyakinan hasil kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah bersama PSG.

Digabungkan dengan skuad yang sarat dengan pemain handal di setiap posisi, Portugal memiliki pengalaman dan kekuatan sebagai pasukan yang sudah sedia untuk muncul sebagai pencabar serius bagi merebut kejuaraan.

Namun, pada usia 41 tahun, edisi kali ini berkemungkinan besar bakal menjadi aksi terakhir Ronaldo di pentas Piala Dunia.

Menyedari hakikat itu, beliau kini tidak lagi mampu berjuang bersendirian dan perlu bersandar kepada mutu rakan sepasukan di sekelilingnya.

Bintang ‘midfield’ Manchester United, Bruno Fernandes, memikul tanggungjawab besar selaku perancang kreatif utama skuad kendalian Roberto Martinez.
Bintang ‘midfield’ Manchester United, Bruno Fernandes, memikul tanggungjawab besar selaku perancang kreatif utama skuad kendalian Roberto Martinez. - Foto REUTERS

Antaranya adalah Fernandes yang memikul tugas utama selaku perancang kreatif untuk membekalkan hantaran-hantaran bahaya.

Selain itu, tumpuan peminat juga terarah kepada pemain ‘midfield’ muda, Joao Neves.

Pemain ‘midfield’ PSG itu membawa elemen penting yang amat diperlukan oleh mana-mana pasukan yang memburu kejuaraan.

Beliau bukan sahaja tangkas, malah sentiasa tenang mengawal bola di bawah tekanan, selain memiliki stamina tinggi untuk bekerja keras mengekang asakan lawan tanpa bola.

Neves juga bijak menghubungkan jentera ‘midfield’ menerusi hantaran pendek yang tepat, berbanding mengambil risiko melakukan hantaran jauh berbahaya seperti yang biasa dilakukan Fernandes.

Beliau bijak membaca ancaman awal, menutup ruang kosong, serta memastikan struktur pasukan kekal kompak.

Perkara itu menjadikan beliau pelengkap kepada Fernandes, sekali gus menjadi pelengkap pasukan.

Portugal sebenarnya amat memerlukan profil pemain ‘midfield’ yang boleh dipercayai, bertanggungjawab, berdisiplin, dan sukar ditembusi seperti Neves.

Dengan keupayaannya menetapkan rentak permainan, menjaga keseimbangan, serta memberikan kelebihan persaingan, Neves kini menjadi faktor yang semakin penting bagi skuad Portugal.

Jika Portugal berjaya melangkah jauh dalam pertandingan ini, bukan sekadar kesebelasan utama yang bakal dicabar, malah keseluruhan skuad.

Edisi 2026 menyaksikan penyertaan julung kali 48 pasukan negara berbanding 32 sebelum ini.

Sebanyak 104 perlawanan yang memecah rekod bakal berlangsung di 16 bandar di seluruh Amerika Syarikat, Canada, dan Mexico.

Format kejohanan yang diperluas telah mewujudkan cabaran baharu bagi setiap pasukan yang terlibat.

Perjalanan jauh antara padang di Amerika Syarikat, Canada, dan Mexico bermakna pemulihan dan persiapan boleh menjadi sama pentingnya dengan taktik.

Untuk menghadapi cabaran tersebut, jurulatih Portugal, Roberto Martinez, merupakan satu-satunya jurulatih yang menamakan 27 pemain berbanding skuad Piala Dunia biasa 26 pemain.

Martinez memilih untuk menyertakan penjaga gol pilihan keempat, Ricardo Velho, sebagai pemain tambahan yang dibawa untuk sokongan latihan dan perlindungan kecemasan bagi kecederaan.

Menurut beliau, membawa seorang penjaga gol tambahan membolehkan Portugal mengekalkan sesi latihan berintensiti tinggi tanpa mengambil risiko keletihan atau membebankan tiga penjaga gol utama.

“Kerumitan pertandingan kali ini amat penting untuk dipertimbangkan.

“Tuntutan cuaca, zon masa, segala cabaran yang telah kami alami pada Mac (semasa tempoh perlawanan persahabatan antarabangsa),” kata Martinez ketika membincangkan struktur skuad itu.

Namun, Velho tidak boleh diturunkan secara rasmi melainkan salah seorang daripada tiga penjaga gol Portugal yang berdaftar mengalami kecederaan.

Peraturan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) membenarkan penggantian dalam keadaan tersebut, yang membuka peluang kepada Martinez untuk membuat keputusan luar biasa itu.

Pendekatan dan perancangan sebegitu mungkin bakal menjadi penentu dalam kejohanan dunia yang paling sengit itu.

Namun, Portugal masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.

Di bawah bimbingan Martinez, biarpun aspek pertahanan dan ‘midfield’ menunjukkan peningkatan, sistem taktikalnya yang ketat kadangkala menyekat kreativiti dan improvisasi spontan pemain.

Martinez juga tidak terlepas daripada kritikan khususnya dalam aspek pemilihan pemain yang sering mengutamakan bintang veteran berbanding pemain muda yang sedang meningkat, selain keputusan taktikalnya yang agak pasif serta lambat membuat pertukaran penting dalam perlawanan kalah mati.

Dalam pertandingan sengit ini, untuk berjaya, mungkin Martinez akan menghadapi keadaan di mana beliau perlu membuat keputusan berani untuk mengubah perlawanan.

Ramalan wartawan: Portugal akan ke final Piala Dunia

Pasukan di Kumpulan K: Portugal, DR Congo, Uzbekistan, Columbia

Jadual Perlawanan Portugal (waktu Singapura):

18 Jun: Portugal lawan DR Congo (1 pagi)

24 Jun: Portugal lawan Uzbekistan (1 pagi)

28 Jun: Columbia lawan Portugal (7.30 pagi)