WROCLAW, Poland: Peminat Chelsea meraikan kemenangan Liga Persidangan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) pada 28 Mei, dengan pelbagai pandangan berbeza mengenai tahap prestij kejuaraan tersebut, namun mereka semua sepakat dalam satu perkara — masa depan kelab London itu kelihatan cerah.
Selepas ketinggalan satu gol, Chelsea bangkit dan membuktikan keunggulan mereka pada wisel penamat, dengan mengakhiri perlawanan di Wroclaw dengan kemenangan 4-1 ke atas pasukan Sepanyol, Real Betis.
Chelsea kini menjadi kelab England pertama yang berjaya memenangi kesemua empat piala utama Eropah — selepas dua kali menjulang Liga Juara-Juara, dan Liga Europa, serta pernah memenangi Piala Pemenang Piala Eropah, yang kini tidak lagi dianjurkan.
Pasukan itu juga pernah memenangi dua Piala Super Uefa.
“Memenangi piala sentiasa terasa indah,” kata peminat seumur hidup Chelsea, Martin, ketika meraikan kemenangan pasukan itu di bandar lama Wroclaw di Poland.
“Sudah tentu ini piala sebenar... kami sudah menang semua piala Eropah yang ada,” kata James, seorang lagi penyokong.
Namun, kedengaran juga rungutan dalam kalangan penyokong Chelsea bahawa kejohanan tersebut kurang berprestij dan kurang berdaya saing.
“Sepanjang kejohanan ini, saya tidak merasakan ia satu pertandingan. Jelas sekali Chelsea akan menang,” kata peminat Chelsea, Marip.
“Mudah-mudahan tahun depan kami dapat bertemu pasukan yang lebih kuat.”
Walaupun pandangan mereka berbeza, semua penyokong bersetuju bahawa kelab itu sedang menuju masa depan yang lebih cerah.
Kebangkitan pasukan anak didik Enzo Maresca itu menyaksikan empat gol berhasil dijaringkan menerusi empat pemain berbeza, bagi memastikan mereka menewaskan Betis.
Pasukan Betis bermula garang dengan jaringan awal daripada Abde Ezzalzouli pada minit kesembilan.
Namun, Chelsea bangkit dan mencuri beberapa peluang terbaik pada separuh masa kedua.
Dua gol dalam tempoh lima minit mengubah arus permainan, dengan pemain terbaik perlawanan Cole Palmer mencipta kedua-dua gol pertama buat Enzo Fernandez dan Nicolas Jackson.
Pemain gantian Jadon Sancho memastikan mereka berada dalam kedudukan selesa dengan gol ketiga pada minit ke-83, menyudahkannya dari sudut sukar, sebelum Moises Caicedo menambah gol keempat. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg