Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Man U selangkah lebih dekat ke final selepas tundukkan Bilbao

May 2, 2025 | 3:39 PM
bola sepak, Liga Europa, Man United
Pemain tengah dan kapten Manchester United, Bruno Fernandes (tiga dari kiri), meraikan jaringan penaltinya untuk menggandakan kelebihan United ketika menentang Athletic Bilbao di perlawanan pertama peringkat separuh akhir Liga Europa. Beliau juga menjaringkan gol ketiga United, memberi United kelebihan yang selesa untuk perlawanan kedua mereka pada 8 Mei. - Foto EPA-EFE

BILBAO (Sepanyol): Tiga jaringan dalam separuh masa pertama meletakkan Manchester United di ambang final Liga Europa selepas mereka menundukkan Athletic Bilbao 3-0 dalam perlawanan pertama separuh akhir pada 1 Mei (2 Mei waktu Singapura).

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir pertama, Tottenham Hotspur mengetepikan kebimbangan prestasi hambar mereka dalam saingan Liga Perdana England (EPL) apabila menewaskan kelab Norway, Bodo/Glimt, 3-1 di padang sendiri.

Suasana hangat menanti United di padang Bilbao, Stadium San Mames, di mana penyokong tuan rumah mengimpikan kejuaraan Eropah pertama mereka.

Namun, United yang membuka tirai perlawanan pada minit ke-30 apabila pemain tengah berpengalaman Casemiro menjaringkan gol hasil hantaran Manuel Ugarte.

United, yang turut mengalami musim EPL yang mencabar, menggandakan kelebihan lima minit kemudian apabila pemain pertahanan Bilbao, Daniel Vivian, dilayangkan kad merah selepas mengasari Rasmus Hojlund dalam kotak penalti.

Kapten Bruno Fernandes kemudian dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Penyokong United yang memenuhi stadium terus bersorak apabila Fernandes menambah gol ketiga sebelum separuh masa pertama berakhir hasil gerakan hebat yang menyempurnakan kemenangan United.

Bilbao, yang mempunyai motivasi tambahan kerana final Liga Europa bakal berlangsung di stadium mereka pada 21 Mei, gagal bangkit selepas kehilangan seorang pemain.

United pula berjaya memperoleh kelebihan yang besar menjelang perlawanan separuh akhir kedua antara kededua pasukan pada 8 Mei.

“Sudah tentu ini permulaan yang sangat baik – menang di sini, jaringkan tiga gol dan gawang kami tidak dibolosi,” kata pemain pertahanan United, Harry Maguire, kepada media.

“Sekarang tekanan beralih kepada kami. Ramai akan menganggap kami sudah layak ke final. Tetapi kami perlu bersedia sepenuhnya... (Kami) sudah selangkah lebih dekat ke final, tapi (tugas) masih belum selesai.”

Liga Europa menjadi ‘pengubat luka’ bagi United musim ini, setelah mempamerkan prestasi hambar dalam EPL, yang menyaksikan mereka mencatat jumlah mata terendah dalam sejarah kelab.

United ke Bilbao sebagai satu-satunya pasukan yang belum tewas dalam mana-mana pertandingan di Eropah, tetapi berdepan cabaran besar, kerana Bilbao kini di tangga keempat La Liga, liga utama Sepanyol, dan memiliki benteng pertahanan paling kukuh dalam liga tersebut.

Bilbao memulakan perlawanan dengan penuh semangat, didorong sorakan penyokong, dan mencipta beberapa peluang awal.

Inaki Williams hampir mendapatkan jaringan menerusi tandukan jarak dekat, manakala Victor Lindelof menyelamatkan United dengan menyepak keluar satu percubaan di garisan gol.

Namun, Casemiro muncul tepat pada waktunya untuk mengubah rentak perlawanan dengan jaringannya.

Lima minit kemudian, pengadil dari Norway, Espen Eskas, selepas menilai rakaman video penolong pengadil (VAR), memutuskan Vivian menghalang peluang menjaringkan gol ketika mengasari Hojlund dalam kotak penalti, bagi membolehkan Fernandes menggandakan kelebihan United.

Tidak lama selepas itu, Fernandes menyambut hantaran Ugarte untuk menambah gol ketiga untuk menyempurnakan kemenangan United.

Kemenangan itu jelas menggambarkan perbezaan ketara prestasi United dalam EPL berbanding di pentas Eropah. Anak didik pengurus Ruben Amorim telah menjaringkan lebih banyak gol dalam tujuh perlawanan Liga Europa 2025 berbanding 15 perlawanan EPL dalam tempoh yang sama.

Sejak Amorim mengambil alih, United juga menang lebih banyak perlawanan dalam Liga Europa berbanding di EPL.

Jikalau kededua United dan Tottenham berjaya mempertahankan kelebihan mereka, kededua pasukan EPL itu bakal berentap dalam final Liga Europa pada 21 Mei. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg