MANCHESTER: Beberapa pemain Manchester United “tidak cukup baik” dengan ada yang “dibeli dengan harga yang terlalu tinggi”, kata pemilik bersama kelab itu, Jim Ratcliffe.
Beliau menyebut beberapa nama seperti pemain tengah Casemiro, penyerang Rasmus Hojlund, penjaga gawang Andre Onana, dan pemain sayap Antony serta Jadon Sancho yang kini dipinjamkan ke kelab lain, dalam satu wawancara media sebagai pemain yang beliau “warisi” daripada pemilik sebelumnya.
Ratcliffe, peminat Manchester United, merupakan pengerusi syarikat petrokimia Ineos, yang memiliki cabang pelaburan sukan yang kukuh.
Beliau membelanjakan £1.3 bilion ($2.2 bilion) untuk memperoleh 28.94 peratus pegangan Manchester United dalam satu perjanjian yang menyaksikan Ineos mengambil alih operasi bola sepak kelab tersebut.
Dalam wawancara itu, Ratcliffe membincangkan prestasi mengecewakan pasukannya di padang. Mereka kini berada di tempat ke-14 dalam Liga Perdana England (EPL).
Bercakap sehari selepas penyokong United memprotes terhadap pemilikan United pada 10 Mac, beliau turut membincangkan masalah kewangan kelab, dengan mengatakan kelab itu dijangka kehabisan wang menjelang akhir 2025 jika ia tidak mengambil tindakan yang beliau akui sebagai “tidak popular”.
Ratcliffe meluahkan rasa kecewa kerana kelab itu masih mempunyai bayaran yang belum dilaksanakan bagi pemain yang ditandatangani sebelum beliau mengambil alih.
Antaranya, beliau mendedahkan bayaran £17 juta yang masih perlu dibuat kepada Dortmund bagi Sancho pada musim panas nanti.
Pemain sayap England itu dibeli pada harga £73 juta daripada Borussia Dortmund pada 2021 tetapi kembali ke kelab Jerman tersebut secara pinjaman selepas berselisih faham dengan pengurus ketika itu, Erik Ten Hag.
Beliau kemudian dipinjamkan pula ke Chelsea pada permulaan musim ini.
“Jika anda lihat, ada pemain-pemain yang kami masih perlu bayar – Antony, Casemiro, Onana, Hojlund, dan Sancho. Ini semua perkara dari masa lalu. Sama ada suka atau tidak, kita telah mewarisi dan perlu menyelesaikannya.”
Pemain sayap Brazil, Antony, juga ke kelab Sepanyol Real Betis secara pinjaman, selepas mendapati sukar bermain di Old Trafford selepas perpindahan £81.5 juta dari Ajax.
Rakan senegara Casemiro itu tiba pada 2022 dengan nilai £70 juta, manakala penyerang Denmark Hojlund tiba pada tahun berikutnya dengan harga £72 juta.
Pemain antarabangsa Cameroon, Onana, menyertai kelab pada 2023 dengan harga £47.2 juta.
Kesemua pemain ini telah menerima kritikan sepanjang tempoh mereka di kelab.
Ketika ditanya sama ada itu bermakna pemain berkenaan tidak cukup baik untuk Manchester United, Ratcliffe berkata: “Sesetengahnya tidak cukup baik dan sesetengahnya mungkin dibayar lebih daripada nilai sebenar mereka, tetapi untuk membentuk skuad yang baik, kami harus mengambil tanggungjawab dan akui bahawa ia akan mengambil masa.”
Pengurus United kini, Ruben Amorim, dilantik pada bulan November 2024 selepas Ten Hag dipecat.
Namun perubahan itu tidak mendatangkan kesan yang diinginkan dari segi prestasi dalam EPL. United telah kalah sembilan daripada 26 perlawanan di bawah bimbingannya dan ketinggalan 36 mata di belakang pendahulu EPL, Liverpool.
Namun, jikalau United berjaya mengalahkan Real Sociedad pada 14 Mac, mereka akan mara ke peringkat suku akhir Liga Europa – satu langkah lebih dekat untuk mendapatkan kelayakan Liga Juara-Juara musim depan.
Ratcliffe telah memberi sokongan sepenuhnya kepada pengurus berusia 40 tahun itu.
Beliau berkata “senarai panjang kecederaan” telah menjejas kejayaan seorang pengurus yang tiba semasa pertengahan musim dalam liga yang mencabar.
“Secara jujur, jika saya benar-benar melihat skuad yang sedia ada untuk Ruben, saya rasa beliau telah melakukan tugas yang sangat baik,” kata Ratcliffe. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg