Topik diikuti
Pergi ke BHkuMan U tanggung kos tinggi untuk lantik Pochettino pengurus baru
Pertukaran kerap kakitangan pengurusan kelab Old Trafford lonjak kos lepasi £100j
Man U tanggung kos tinggi untuk lantik Pochettino pengurus baru
LONDON: Pelantikan Mauricio Pochettino sebagai pengurus baru dianggar telah melonjakkan perbelanjaan Manchester United dalam urusan pelantikan dan pemecatan pengurus serta barisan kejurulatihan kanan lain melepasi £100 juta ($170 juta) sejak Sir Alex Ferguson bersara pada 2013, menurut perkiraan media Britain.
United akan membayar kira-kira £7.4 juta bagi mendapatkan pelepasan kontrak Pochettino daripada skuad kebangsaan Amerika Syarikat, lapor Sky Sports pada 13 November.
Manakala media Britain menganggarkan pemecatan bekas pengurus, Michael Carrick, dan barisan kejurulatihannya akan menelan kos sekurang-kurangnya £5 juta lagi.
Usaha mendapatkan pelepasan penolong-penolong Pochettino daripada kontrak mereka berkemungkinan meningkatkan lagi jumlah perbelanjaan berkenaan.
Carrick dipecat pada 12 November, kurang enam bulan selepas menandatangani kontrak dua tahun pada Mei lalu, dengan Pochettino menggantikannya.
Angka £100 juta itu adalah nilai anggaran berbanding jumlah rasmi yang disahkan kelab, dan ia turut merangkumi perbelanjaan melibatkan pengarah sukan dan juga pengurus.
Menurut perkiraan The Telegraph, pelantikan Pochettino dan pemergian Carrick akan membawa jumlah perbelanjaan United untuk melantik serta memecat kakitangan kanan bola sepak mereka kepada lebih £108 juta.
Bekas pengurus, Ruben Amorim, merupakan satu lagi pelantikan yang menelan perbelanjaan besar.
United membayar Sporting 11 juta pound ($15.6 juta) bagi melepaskannya daripada kontrak, lapor Reuters ketika itu, sebelum memecatnya pada Januari 2026 selepas hanya 14 bulan mengendalikan pasukan.
The Red Devils kemudian merekodkan kos sekali bayar berjumlah £8.2 juta yang berkait rapat dengan pemergiannya serta proses penstrukturan semula kelab.
Akaun United turut menunjukkan bahawa pemecatan Erik ten Hag dan barisan kejurulatihannya menelan kos £10.4 juta, manakala pemergian Ole Gunnar Solskjaer melibatkan perbelanjaan £9.1 juta, menurut laporan The Telegraph.
Manakala, kos yang melibatkan pemergian Ralf Rangnick pada 2022, barisan kejurulatihannya serta perubahan lain dalam operasi bola sepak kelab berjumlah £14.7 juta.
Pemecatan Jose Mourinho pada 2018 menelan belanja £19.6 juta, manakala pemergian Louis van Gaal pada 2016 berjumlah £8.4 juta dan pemergian David Moyes pada 2014 menelan kos £4.9 juta, menurut perkiraan The Telegraph.
Kehadiran Pochettino menambah lagi jumlah perbelanjaan besar sepanjang 13 tahun tempoh bergolak itu sedang United terus memburu kestabilan yang pernah dikecapi semasa era kendalian Ferguson. – Reuters.