Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasihkah ada harapan bagi Man U elak zon penyingkiran?
Carrick akur pasukan terdesak kembali ke landasan kemenangan tetapi jika keputusan terus mengecewakan tidak mustahil ‘The Red Devils’ terus bergelut dalam zon relegasi
Masihkah ada harapan bagi Man U elak zon penyingkiran?
LONDON: Pasukan perlu segera bangkit dan mencatat kemenangan bagi memperbaiki kedudukan.
“Kami perlu terus melangkah ke depan dan memenangi perlawanan, semudah itu sahaja,” kata Pengurus Manchester United, Michael Carrick, dengan tenang selepas pasukannya tewas 0-2 kepada Chelsea pada 31 Oktober, dan kini menduduki tangga ke-17 Liga Perdana England (EPL).
Carrick pernah sekali merasai kekecewaan tersingkir ke divisyen bawah bersama West Ham United pada awal kerjayanya sebagai pemain.
Skuad The Hammers ketika itu dianggap sebuah pasukan yang terlalu berbakat untuk berdepan penyingkiran pada musim 2002-03.
Selain Carrick, skuad berkenaan ketika itu turut diperkukuhkan dengan penjaga gol England, David James, Joe Cole, Jermain Defoe dan Trevor Sinclair.
Namun, mereka akhirnya tetap tersingkir selepas menamatkan saingan di tangga ketiga dari bawah dengan 42 mata.
Ia kekal sebagai jumlah mata tertinggi pernah diraih oleh mana-mana pasukan yang tersingkir sepanjang 38 aksi kempen EPL.
Sebagai perbandingan, kutipan mata terkini United iaitu hanya tujuh mata daripada sembilan perlawanan, tidak akan mencecah 30 mata sekiranya prestasi buruk ini berterusan sepanjang musim.
Dengan prestasi United yang semakin merosot sejak permulaan musim baharu EPL, timbul persoalan sama ada The Red Devils benar-benar tersurat untuk bergelut di zon relegasi.
United tidak pernah bergelut di zon penyingkiran selepas sembilan perlawanan atau lebih sejak November 1986, iaitu ketika mereka hanya mengutip satu mata dalam dua perlawanan pertama di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson, susulan pemecatan Ron Atkinson.
Kedudukan terendah mereka selepas mengharungi sekurang-kurangnya sembilan perlawanan sejak musim tersebut adalah di tangga ke-17 pada kempen 1989-90.
Kini, mereka kembali ‘terjatuh’ di tangga berkenaan, sebahagian besarnya didorong oleh keputusan perlawanan pasukan lain pada 31 Oktober yang tidak memihak kepada mereka.
Skuad kendalian Carrick kini melalui sembilan perlawanan tanpa kemenangan merentasi semua kejohanan – rekod terburuk mereka sejak musim 1988-89.
Satu-satunya kemenangan mereka dalam saingan EPL musim ini ialah ketika mereka bangkit menewaskan Ipswich 5-2 di padang sendiri pada akhir Ogos.
Sudah tentu penyokong United masih ingat pengalaman menyaksikan pasukan mereka bergelut di kelompok bawah liga.
Pasukan Old Trafford itu pernah menduduki tangga ke-16 di bawah kendalian Ruben Amorim, selepas 37 perlawanan pada musim 2024-25.
Namun, bezanya ketika itu mereka mempunyai kelebihan 14 mata di hadapan Leicester yang berada di tangga ketiga tercorot, dan tidak pernah berada dalam ancaman penyingkiran sepanjang kempen yang sukar tersebut.
Satu lagi kelab yang pernah berdepan bahaya sebenar sejak beberapa musim lalu ialah Tottenham Hotspur yang berada di tangga ketiga terbawah dan ketinggalan dua mata di belakang West Ham, dengan baki empat perlawanan pada musim lalu.
Maka, pergelutan United di zon penyingkiran tidak mustahil akan berlaku, meskipun agak sukar untuk membayangkan kelab yang dijangka menjana pendapatan melebihi £700 juta ($1.2 bilion) bagi kempen musim ini akan menamatkan saingan dalam kelompok tiga pasukan tercorot.
“Anda boleh melihatnya dari sudut itu, atau anda boleh melihat sejauh manakah kedudukan dalam liga mampu diperbaiki dengan pantas jika (kami) berjaya memenangi perlawanan,” kata Carrick, apabila ditanya sama ada barisan pemainnya bersedia dari segi mental untuk menghadapi keadaan semasa.
“Itulah pendekatan yang sepatutnya diambil.”
Namun, seperti yang ditegaskan Carrick, United perlu mula melakar kemenangan untuk menyelamatkan diri.
United bakal menerima kunjungan Aston Villa di Old Trafford pada 8 November.
Antara tujuh perlawanan berikutnya termasuk pertembungan sukar di tempat lawan menentang Liverpool, Newcastle dan Arsenal.
Setakat ini, belum ada sebarang perkembangan mengenai masa depan Carrick bersama The Red Devils, meskipun sebelum kekalahan pada 31 Oktober, beliau dijangka terus membimbing pasukan bagi aksi Liga Juara-Juara menentang kelab Italy, Roma, pada 2 November.
Namun, ini merupakan situasi luar biasa yang belum pernah dialami sebelum ini, dan tiada sesiapa yang benar-benar pasti apakah yang bakal berlaku seterusnya.
Apa yang jelas, ramai pemain United perlu segera meningkatkan prestasi permainan bagi mengelak pasukan terus jatuh ke zon penyingkiran.
United juga bakal beraksi menentang Aston Villa tanpa pemain pertahanan, Lisandro Martinez, yang digantung perlawanan susulan kad merah yang diterimanya ketika menentang Chelsea.
Selepas hanya sembilan perlawanan, mungkin terlalu awal untuk memperincikan kesan sebenar penyingkiran ke atas United, namun angka-angka yang terlibat mungkin dapat memberi sedikit bayangan.
Sebagai salah sebuah penerima hak penyiaran televisyen tertinggi dalam liga, suntikan dana sokongan penyingkiran atau parachute payments yang diperuntukkan kepada kelab tersingkir langsung tidak memadai untuk menampung kerugian United.
Selain itu, hampir mustahil kebanyakan pemain dalam skuad mereka – jika wujud sekalipun – mempunyai klausa pemotongan gaji susulan penyingkiran.
Walaupun United menikmati pendapatan komersial yang amat besar, sejauh manakah pendapatan itu terjejas menerusi klausa khas penyingkiran masih belum dapat dipastikan.
United turut menanggung beban hutang berjumlah £1.15 bilion, merangkumi bon yang dirunding semula pada Jun lalu dengan kadar faedah lebih tinggi, kemudahan kredit pusingan, serta bayaran kos pemindahan pemain yang masih tertunggak.
Hakikatnya, keadaan yang membelenggu United kini amat rumit dan membimbangkan.
Biarpun sukar dipercayai kelab gergasi seperti United boleh tersingkir, hakikat bahawa Red Devils kini berada di zon bahaya sudah cukup membuktikan betapa buruknya kemerosotan prestasi mereka setakat ini. – Agensi berita.