Topik diikuti
Pergi ke BHkuMan United pecat Carrick susuli prestasi hambar berlarutan pasukan
Man United pecat Carrick susuli prestasi hambar berlarutan pasukan
LONDON: Pengurus Manchester United, Michael Carrick, telah dipecat pada 12 November menyusuli prestasi hambar berlarutan pasukan itu dalam Liga Perdana England (EPL).
United seri 4-4 menentang Aston Villa di gelanggang sendiri pada 9 November, sekali gus menyaksikan pasukan berada di zon relegasi setelah menduduki tangga ke-18 liga.
United hanya mencatat tiga kemenangan daripada 15 perlawanan dalam semua pertandingan di bawah kendalian Carrick musim ini – hanya satu kemenangan dicatatkan dalam EPL.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman rasmi pada 12 November, United berkata:
“Selepas permulaan musim yang mengecewakan, kelab telah membuat keputusan yang amat sukar bahawa perubahan perlu dilakukan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.”
United menambah ia memuji sikap profesionalisme Carrick sepanjang tempoh beliau mengendalikan pasukan dan usaha sedang dipergiatkan untuk melantik penggantinya dalam masa terdekat.
Tekanan semakin berat buat Carrick selepas United tewas 0-3 kepada Bournemouth di padang sendiri, dengan kapten pasukan, Bruno Fernandes, tidak diturunkan dalam kesebelasan utama.
Ini meskipun United memerlukan suntikan kreativiti di jentera midfield pasukan. Namun pihak pengurusan kelab masih memberikan Carrick peluang untuk menyelamatkan pasukan itu.
Carrick kemudian mengetengahkan pemain kreatif itu dalam kesebelasan utama menentang Chelsea, selepas kedua-duanya mengadakan perbincangan bagi meredakan ketegangan.
Beliau turut menyuarakan tekad bagi memperbaiki keadaan pasukan. Sungguhpun demikian, perubahan yang diharapkan ternyata meleset apabila United sekali lagi mempamerkan aksi hambar dan tewas 0-2.
Kemenangan 3-2 ke atas AS Roma dalam peringkat saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) memberikan sedikit kelegaan kepada Carrick.
Namun kelemahan pertahanan United yang sekian lama menjadi masalah kembali terserlah apabila United seri dengan Aston Villa.
Carrick dilantik sebagai pengurus sementara pada Januari selepas pengurus sebelum itu, Ruben Amorim, dipecat.
Beliau kemudian diberikan kontrak sehingga 2028 selepas berjaya mengubah prestasi pasukan.
United memenangi 11 daripada 16 perlawanan apabila Carrick mengambil alih sebagai pengurus sementara – ini termasuk kemenangan ke atas Arsenal, Manchester City, Liverpool dan Chelsea.
Keputusan itu membantu pasukan yang dikenali sebagai The Red Devils itu melonjak ke tangga ketiga EPL, sekali gus menjamin tempat untuk UCL.
Bagaimanapun, beliau gagal meneruskan momentum kemenangan berkenaan apabila memasuki musim baharu.
United hanya meraih kemenangan ke atas dua pasukan, Ipswich Town dan Sabah FK, sebelum melalui sembilan perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan.
Carrick mengikuti jejak nasib pengurus United sebelum ini termasuk David Moyes, Louis van Gaal, Jose Mourinho, Ole Gunnar Solskjaer, Erik ten Hag dan Amorim, yang digantikan dek prestasi pasukan yang kurang memberangsangkan.
Terdapat desas-desus bahawa Mauricio Pochettino bakal menggantikan tempat beliau, dengan laporan media Britain menyatakan Pochettino dikatakan telah bersetuju untuk mengambil alih jawatan tersebut. – REUTERS