Di kompleks kerajaan Chaeng Watthana, Bangkok, lebih ramai orang beratur di pejabat imigresen bersebelahan berbanding penonton yang hadir di dewan pertandingan wushu dan karate sempena Sukan SEA yang sedang berlangsung di negara ‘Seribu Senyuman’ itu.
Di stadium lain pula, ramai yang datang membanjiri lokasi sukan berkenaan terdiri daripada jawatankuasa pasukan, sukarelawan, anggota keluarga atlet, rakan dan segelintir sahaja penduduk Thailand yang teruja ingin tahu tentang temasya sukan gemilang itu.
Stadium yang menganjurkan perlawanan bola sepak turut menjadi ‘mangsa’ suasana suram yang mengecewakan kerana tidak ramai yang datang bertandang seperti yang dijangla meskipun ia sukan yang digemari warga Thailand.
Pemain pasukan bola sepak Thailand bawah 22 tahun disambut dengan hanya 7,741 peminat di Stadium Negara Rajamangala, yang mampu menampung 51,560 penonton, apabila ia menumpaskan Timor-Leste 6-1 pada 3 Disember.
Kehadiran itu tidak meningkat pada 11 Disember, dengan hanya 7,896 peminat hadir untuk menyaksikan pasukan Thailand menewaskan Singapura, 3-0.
Di lokasi sukan lain sepanjang Sukan SEA yang berlangsung antara 9 dengan 20 Disember, cukup ketara suasana haru-biru, dengan tidak ramai yang berbondong-bondong menyaksikan temasya sukan serantau ini.
Bilangan peminat yang hadir di Stadium Negara Supachalasai, yang menganjurkan acara olahraga, juga amat merisaukan.
Media tempatan melaporkan hanya beberapa ratus penonton hadir ketika pasukan bola sepak wanita Thailand menewaskan Indonesia 8-0 di Stadium Chonburi, yang boleh menampung 8,680 penonton.
Sedang sokongan padu diberikan bagi perlawanan badminton, khususnya yang melibatkan atlet kegemaran Thailand, Kunlavut Vitidsarn dan Ratchanok Intanon, serta tenis meja di Universiti Thammasat, dan sukan renang di Pusat Akuatik Huamark, sukan lain tidak menikmati kemeriahan serupa.
Warga Thailand yang ditemui The Straits Times (ST) kelihatan tidak mengendahkan temasya dwitahunan itu.
Menurut usahawan, Encik Teeradej Asavawatcharin, acara dwitahunan yang kembali ke Thailand selepas 18 tahun itu diadakan pada “masa dan lokasi yang kurang sesuai”.
Encik Teeredej, 43 tahun, dan rakan-rakannya, belum menghadiri satu acara Sukan SEA sejak temasya itu bermula pada 9 Disember.
Beliau akur trafik sesak di Bangkok serta acara yang terletak “jauh daripada bandar”, telah menyumbang kepada kehadiran penonton yang mengecewakan.
Beliau menambah: “Warga Thai lebih mementingkan isu ekonomi, pemergian ‘Queen Mother’ (mantan permaisuri Thailand, Sirikit) pada 24 Oktober lalu (2025), iklim politik serta isu berterusan dengan Kemboja. Ada banyak perkara lain yang lebih penting yang warga Thai pentingkan.”
Sementara itu, Encik Chatchai Udomlertpreecha, 50 tahun, jurutera elektrik pula mengharapkan lebih promosi sepatutnya dilakukan menjelang temasya Sukan SEA 2025.
Dalam pada itu, walaupun minat terhadap Sukan SEA dipersoalkan, bakat yang muncul dari rantau ini serta pencapaian yang membanggakan mampu menghidupkan semula kepentingan temasya itu.
Encik Chatchai membandingkan promosi temasya tahun ini (2025) dengan edisi temasya 2007 di Korat yang lebih baik.
Walaupun begitu, beberapa atlet menegaskan temasya itu tetap bermakna dan berharap kehadiran penonton lebih memberangsangkan pada hari-hari mendatang.
Dalam pertemuan sebelum Sukan SEA 2025 sehingga ia dipertandingkan, pesilat Singapura, termasuk juara dunia, Sheik Ferdous Sheik Ala’uddin dan Muhammad Iqbal Abdul Rahman, serta jurulatih pasukan mereka, menegaskan pesilat terbaik dunia berasal dari rantau ini dan bertanding di Sukan SEA.
Peter Gilchrist dari Singapura, yang merampas kembali gelaran acara billiard Inggeris individu lelaki pada 12 Disember, merupakan antara atlet yang menghargai temasya serantau ini, terutamanya kerana billiard tidak dipertandingkan dalam acara sukan utama lain.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg