Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemergian ikon England Kevin Keegan tinggalkan impak besar buat bola sepak dunia
Pemergian ikon England Kevin Keegan tinggalkan impak besar buat bola sepak dunia
Keegan, 75 tahun, menghidap barah tahap empat
Pemergian ikon England Kevin Keegan tinggalkan impak besar buat bola sepak dunia
LONDON: Bekas kapten dan jurulatih England, Kevin Keegan, meninggal dunia pada usia 75 tahun, kata bekas kelabnya, Newcastle United, pada 20 Julai.
Keluarga Keegan dan Newcastle mengumumkan pada Januari bahawa pemenang gelaran Pemain Terbaik Eropah dua kali itu sedang menjalani rawatan barah, tanpa mendedahkan butir-butir mengenai penyakitnya.
Pada Jun, Keegan mendedahkan beliau menghidap barah tahap empat.
“Kami amat sedih apabila mendapat tahu tentang pemergian Kevin Keegan, salah seorang tokoh paling ikonik, berpengaruh dan disayangi dalam sejarah kelab kami,” kata kelab Liga Perdana itu dalam satu kenyataan.
“Sebagai pemain, beliau membawa bakat bertaraf dunia, cita-cita dan keyakinan ke St. James’ Park, membantu mengubah persepsi mengenai apa yang mampu dicapai oleh Newcastle United.
“Sebagai jurulatih, beliau membakar semangat seluruh bandar kami. Kevin memberikan harapan dan kebanggaan kepada penyokong, serta mengetuai sebuah pasukan yang gaya, semangat dan keghairahannya berjaya memikat hati peminat bola sepak di seluruh dunia. Beliau jauh lebih daripada sekadar seorang penghibur.”
Sebagai salah seorang tokoh paling berkarisma dalam bola sepak England, Keegan menikmati kerjaya bermain yang gemilang sebagai penyerang, memenangi pelbagai trofi bersama Liverpool sebelum bersinar di Jerman bersama Hamburg.
Pencapaiannya membolehkan beliau meraih Bola Emas (Ballon d’Or) pada 1978 dan 1979.
Beliau menjaringkan 21 gol dalam 63 penampilan untuk England antara 1972 dengan 1982, mengetuai pasukan sebagai kapten sebanyak 31 kali.
Keegan kemudiannya beralih ke bidang kejurulatihan, menghidupkan semula Newcastle dan membawa kelab itu hampir meraih gelaran juara Liga Perdana pada pertengahan 1990-an, sebelum melalui tempoh yang lebih mencabar sebagai jurulatih England.
“Dengan penuh kesedihan, kami mengumumkan bahawa Kevin Keegan telah meninggal dunia pada usia 75 tahun,” kata keluarga Keegan dalam satu kenyataan, seperti dipetik oleh Sky Sports.
“Bekas pemain dan jurulatih England itu telah lama berjuang melawan barah, dan dikelilingi oleh isteri serta anak-anak perempuannya pada saat-saat terakhirnya.”
Pemergiannya menandakan kehilangan salah seorang tokoh paling berpengaruh dalam bola sepak England pada generasinya. – Reuters.
