Topik diikuti
Pergi ke BHkuRice: Ini skuad England terbaik sejak sekian lama
Rice: Ini skuad England terbaik sejak sekian lama
Rice: Ini skuad England terbaik sejak sekian lama
MIAMI: Kemenangan dramatik 6-4 England menentang Perancis bukan sahaja memastikan skuad Three Lions itu meraih pingat gangsa Piala Dunia, malah membuatkan pemangku kapten, Declan Rice, optimis bahawa kejayaan dalam kejohanan utama itu kini “semakin hampir”.
Pencapaian itu merupakan prestasi Piala Dunia terbaik bagi negara itu sejak mereka menjulang trofi berkenaan pada 1966.
Meskipun pengurus pasukan Thomas Tuchel dihujani kritikan hebat susulan kekalahan perit pada aksi separuh akhir menentang Argentina sebelum ini, Rice pantas mempertahankan dan memuji kesungguhan yang dipamerkan oleh barisan pemain England sepanjang kejohanan itu.
“Ini adalah skuad England yang terbaik sejak sekian lama. Itu adalah satu fakta. Tiada sesiapa boleh mempertikaikannya.
“Saya rasa kami boleh berbangga sebagai sebuah pasukan – kami cuma terkilan kerana tewas dalam perlawanan separuh akhir itu.
“Kami sudah bosan untuk terus mengatakan kami berbangga sekadar melangkah ke separuh akhir dan suku akhir – matlamat utama kami adalah untuk menjulang kejuaraan bersama England.
“Namun, menduduki tempat ketiga dalam kejohanan ini merupakan satu pencapaian yang nyata,” kata Rice.
Katanya lagi, kemenangan Piala Dunia semakin hampir bagi pasukan England.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat banyak perbincangan mengenai kegagalan skuad ini dalam kejohanan besar. Kami pernah tersingkir di peringkat separuh akhir, suku akhir, dan juga pentas final.
“Saya fikir kami perlu terus melangkah ke hadapan. Saya yakin kejayaan itu sudah hampir. Ia adalah permainan yang ditentukan oleh margin yang kecil. Inilah bola sepak, dan pada malam perlawanan itu, kami tewas disebabkan perbezaan margin yang tipis serta aksi di dalam kotak penalti,” kata Rice.
Namun, apakah yang diperlukan untuk meletakkan England di podium teratas dalam kejohanan utama selepas ini?
Tohmahan lapuk yang sering mendakwa barisan pemain England kurang bersemangat, atau tidak mempunyai rasa bangga dan keazaman yang tinggi, jelas tidak terpakai dalam situasi kali ini.
Kesemua pemain kelihatan begitu gembira ketika menerima pingat gangsa di atas podium di Miami, sebelum menjulangnya dengan penuh bangga di hadapan para penyokong setia yang sanggup mengembara jauh untuk memberikan sokongan.
Di sebalik kebanggaan yang dipamerkan barisan skuad berkenaan, tersimpul emosi yang mendalam. Perkara itu jelas terpancar melalui penolong pengurus, Anthony Barry, semasa sesi temu bual separuh masa bersama stesen penyiaran BBC One pada malam Sabtu – ketika England sedang mendahului selesa 4-0.
“Tiada sebarang kekecewaan. Saya cuma agak beremosi,” kata Barry dengan mata yang berkaca-kaca serta suara yang tergetar-getar.
“Saya kehilangan kata-kata untuk menggambarkan betapa bangganya saya terhadap semua pemain ini. Mereka turun beraksi dengan hati yang lara. Saya melihat 11 pemain di atas padang berjuang dengan kekecewaan yang mendalam.
“Saya melihat mereka di hotel sejak beberapa hari lalu dalam keadaan yang amat kecewa. Namun, mereka masih mampu bangkit mempamerkan aksi yang luar biasa demi maruah menyarung jersi England,” kata Barry.
“Semangat berpasukan yang ditunjukkan sepanjang tujuh minggu lalu amat mengagumkan untuk disaksikan. Saya tahu apa yang akan diperkatakan oleh golongan sinis – ‘semuanya sudah terlambat’ – tetapi kami tetap bertanding menentang lawan yang bertaraf dunia. Dan untuk aksi 45 minit pertama itu, saya amat bangga dengan barisan pemain saya,” kata Barry lagi. – Agensi berita.

