Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maraton, separuh maraton Standard Chartered diadakan pada hari berasingan

Apr 16, 2025 | 2:19 PM
Para pelari memulakan perlumbaan dalam acara Maraton Standard Chartered Singapura (SCSM) pada 1 Disember 2024.
Para pelari memulakan perlumbaan dalam acara Maraton Standard Chartered Singapura (SCSM) pada 1 Disember 2024. - Foto ST

Buat pertama kali dalam Maraton Standard Chartered Singapura (SCSM), acara separuh maraton dan maraton akan diadakan pada hari berasingan untuk memberikan pengalaman perlumbaan yang lebih lancar dan menyeronokkan kepada para pelari, menurut pihak penganjur pada 15 April.

Berbeza daripada jadual tiga hari seperti sebelum ini, edisi 2025 akan memperkenalkan format dua hari – separuh maraton, larian 5 kilometer (km) dan kategori Kids Dash akan diadakan pada 6 Disember; manakala maraton, larian 10 km dan kategori Ekiden pula akan berlangsung pada 7 Disember.

Acara tahunan tersebut menarik lebih 55,000 peserta pada 2024. Format baru itu dijangka menarik lebih ramai peserta, iaitu sekitar 60,000 peserta, dalam acara kali ini, menurut penganjur Ironman Group.

Penyertaan dalam maraton dan separuh maraton masing-masing meningkat sebanyak 31 dan 46 peratus dalam tiga edisi lalu, yang mendorong keputusan mengadakan perlumbaan bagi dua acara itu pada hari berasingan, tambahnya.

Pengarah urusan Ironman Group bagi Asia, Encik Jeff Edwards, berkata dalam satu kenyataan media:

“Sebagai penganjur, kami berhasrat berkembang seiring dengan pertumbuhan ini, memastikan kami terus meneroka cara menambah baik pengalaman perlumbaan secara keseluruhan, di samping mewujudkan suasana di mana para pelari dapat memberikan prestasi terbaik – sesuatu yang menjadi identiti utama SCSM.

“Penambahbaikan ini, yang dirancang dengan teliti, bertujuan mewujudkan aliran yang lancar sepanjang acara untuk memberi pengalaman perlumbaan terbaik bagi para pelari, dan membolehkan lebih ramai pelari menyertai acara ini berbanding sebelum ini.”

Para pelari yang menyertai kategori 5 km akan memulakan larian pada 6.30 pagi, iaitu dua jam lebih awal berbanding edisi sebelum ini, lapor The Straits Times.

Para pelari maraton juga dijangka mendapat sedikit kelegaan, selepas sebilangan peserta meluahkan rasa kurang senang di media sosial selepas acara maraton 2024, mengenai bahagian terakhir laluan sejauh 42.195km itu, iaitu di West Coast Highway.

Sebilangan mereka menyatakan bahagian sejauh 10 km itu tidak terlindung daripada cuaca dan terlalu panas untuk pelari pada tengah pagi.

Menjawab pertanyaan, jurucakap Ironman Group berkata: “Kami sentiasa mencari cara memperbaiki pengalaman perlumbaan untuk semua pelari, termasuk meneliti kemungkinan mengubah laluannya.”

Tiket: Pembelian awal atau ‘early-bird’ bagi maraton, separuh maraton, 10 km, 5 km, Ekiden dan Kids Dash masing-masing berharga $137, $115, $93, $71, $545 (setiap pasukan) dan $44.

Pelari boleh mendaftar bagi perlumbaan mulai 16 April. Layari singaporemarathon.com untuk maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg