Penganjur Maraton Standard Chartered Singapura 2024 telah mengesahkan bahawa seorang peserta meninggal dunia.
Menurut kenyataan di laman media sosial Facebook, kejadian itu berlaku pada acara larian 1 Disember.
Selepas selesai perlumbaan, peserta itu memerlukan bantuan dan menerima rawatan perubatan di tempat acara sebelum dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH).
“Kami ucapkan takziah kepada keluarga dan rakan peserta itu dan kami akan terus menghulurkan sokongan kepada mereka.
“Kami berterima kasih kepada pegawai perubatan yang bertindak memberi penjagaan segera kepada peserta itu,” katanya dalam kenyataan itu.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka menerima panggilan meminta bantuan berhampiran 1 Marina Boulevard sekitar 7.15 pagi pada 1 Disember, namun menambah bahawa bantuan SCDF tidak diperlukan.
Ini merupakan kali ketiga kematian berlaku dalam sejarah Maraton Standard Chartered Singapura, yang diadakan buat kali pertama pada 2002.
Pada 2011, Malcolm Sng, 22 tahun, rebah di garisan penamat perlumbaan separuh maraton. Kematiannya disebabkan masalah jantung.
Lima tahun kemudian pada 2016, John Gibson, warga Britain berusia 28 tahun yang menetap di Hong Kong, rebah sekitar satu kilometer dari garisan penamat semasa berlari dalam acara separuh maraton, juga ekoran masalah jantung.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg