Apabila pelari pecut Singapura, Marc Louis, menamatkan perlumbaan 60 meter tertutup di Oskemen, Kazakhstan pada 1 Mac, beliau merasakan larian itu kurang memuaskan.
Namun, kejutan manis menantinya – catatan 6.68 saat bukan sahaja membolehkannya meraih pingat perak di Kejohanan Antarabangsa bagi Hadiah Olga Rypakova, tetapi juga memecah rekod nasional miliknya dengan kelebihan 0.01 saat.
Atlet berusia 22 tahun itu berkongsi tempat kedua dengan Hristo Iliev dari Bulgaria, di belakang Ali Anwar Ali Al Balushi dari Oman (6.63 saat), dalam kejohanan yang berlangsung di Pusat Olahraga Olga Rypakova, Kazakhstan.
Keputusan ini menjadi dorongan buat Louis, yang mengimpikan untuk mengikut jejak langkah ratu pecut Singapura, Shanti Pereira.
Louis telah menamatkan Perkhidmatan Negara (NS) pada 2024 dan memulakan kerjaya sebagai atlet sepenuh masa pada awal 2025, lapor The Straits Times (ST).
Louis mencatat rekod sebelum ini di Kejohanan Olahraga Dunia Tertutup 2024 di Glasgow, di mana beliau memecahkan rekod 6.71 saat yang dipegang Gary Yeo sejak 2012.
Pada 2 Mac, Louis berkata: “Ini permulaan yang baik untuk tahun ini (2025). Walaupun hanya sedikit, ia tetap catatan terbaik peribadi saya.”
“Saya rasa permulaan (larian) tidak begitu baik, tetapi selepas 20 meter, saya menamatkan perlumbaan dengan lebih baik berbanding tahun lalu (2024).
“Sebenarnya, saya rasa larian ini tidak begitu baik, tetapi apabila melihat catatan masa, saya berjaya memperbaharui rekod nasional. Namun... masih banyak ruang untuk diperbaiki.”
Bagi jurulatihnya, Benber Yu, rekod nasional itu tiba dua minggu lewat – beliau menjangkakan Louis akan memecahkan rekod di Keely Klassic di Birmingham, namun anak didiknya mencatatkan larian 6.79 saat pada 15 Februari.
Yu berkata: “Kami menjangka rekod itu akan dipecahkan di Birmingham, tetapi saya tidak pasti, mungkin keadaan di sana kurang baik, tetapi di (Kazakhstan) kami benar-benar bersedia untuk memecahkannya.
“Kami membuat persiapan dan mendapat pendedahan baik di Birmingham. Jika dilihat kembali pada kejohanan 60 meter tertutup dua minggu lalu, itu adalah perlumbaan pertamanya bagi musim ini.
“Perlumbaan di Kazakhstan ini adalah sesuatu yang baik. Jika kami tidak menyertai Birmingham, perlumbaan ini akan menjadi yang pertama buat Marc, dan mungkin dia tidak akan begitu yakin.”
Dengan suntikan semangat ini, Louis menyasar untuk memecahkan rekod nasional 100 meter miliknya dengan menurunkan masa sebanyak 0.08 saat kepada 10.19 saat dan memecahkan rekod 200 meter dengan masa 20.8 saat.
Perlawanan utama Louis bagi 2025 adalah di Sukan SEA Thailand yang berlangsung dari 9 hingga 20 Disember, di mana beliau akan mengejar pingat emas untuk acara pecut 100 meter.
Bagi membantunya mencapai sasaran itu, Louis akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Asia di Gumi, Korea Selatan dari 27 hingga 31 Mei, serta Kejohanan Dunia di Tokyo dari 13 hingga 21 September.
Louis dan Yu akan pulang ke Singapura untuk membuat persiapan bagi Kejohanan Olahraga Dunia Tertutup dari 21 hingga 23 Mac di Nanjing, China.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg