Sempena ulang tahun ke-43 Mark Chay pada 18 Februari, bekas perenang negara itu akan menantikan cabaran baru.
Difahamkan bahawa beliau akan mengambil alih jawatan setiausaha agung Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) daripada pentadbir veteran, Chris Chan, pada 1 April, lapor The Straits Times.
Chan, 74 tahun, yang merupakan mantan pegawai komando dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) liga bola sepak S-League, yang kini dikenali sebagai Liga Perdana Singapura, telah memegang jawatan tersebut sejak 2002.
Chay, yang akan meletakkan jawatan sebagai naib presiden SNOC, sebelum ini telah mewakili Singapura di Sukan Olimpik, Komanwel, Asia dan Sukan SEA.
Beliau juga merupakan seorang pentadbir sukan berpengalaman.
Beliau memegang jawatan sebagai presiden Akuatik Singapura (SAQ) sehingga tamat tempoh perkhidmatannya selama dua tahun pada Ogos 2024.
Chay melepaskan jawatannya untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga semasa menjalani rawatan untuk leukemia mieloid kronik, iaitu sejenis barah sel darah putih.
Chay juga pernah memegang jawatan sebagai pengerusi suruhanjaya atlet SNOC, ahli jawatankuasa atlet Majlis Olimpik Asia (OCA) dan keanggotaannya dalam biro Akuatik Sedunia akan tamat selepas Kejohanan Dunia 2025 di Singapura.
Beliau juga merupakan jurulatih juara renang Paralimpik, Yip Pin Xiu, dan mantan Anggota Parlimen Dilantik.
Chay dipercayai sedang menjalani notis sebagai Ketua Pegawai Pembangunan di Persekutuan Esports Global dan bakal mengekalkan peranannya sebagai pengerusi bersama jawatankuasa penganjur Kejohanan Akuatik Sedunia 2025 Singapura.
Dalam temu bual terdahulu dengan ST, beliau berkata ingin terus memberi sumbangan kepada masyarakat sukan setelah keadaan kesihatannya stabil.
Difahamkan bahawa SNOC telah melantik firma perunding untuk mencari calon yang sesuai sebelum memutuskan untuk memilih Chay.
Setiausaha agung SNOC memainkan peranan utama dalam memastikan organisasi beroperasi mengikut perlembagaannya, Piagam Olimpik, dan peraturan daripada badan seperti Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan OCA.
Melaporkan diri kepada jawatankuasa eksekutif SNOC, majlis umum dan presiden Cik Grace Fu, beliau bakal mengawasi tadbir urus, pentadbiran dan strategi.
Ini termasuk menyediakan pasukan untuk sukan besar, menganjurkan acara seperti Anugerah Sukan Singapura, mengekalkan hubungan dengan persatuan sukan negara dan mewakili Singapura di peringkat antarabangsa.
Pemegang jawatan ini juga bertanggungjawab untuk memupuk kerjasama, menegakkan standard etika dan memastikan penggunaan sumber yang berkesan untuk memajukan kecemerlangan sukan Singapura.
Presiden SAQ, Kenneth Goh, berasa teruja dengan kesediaan Chay untuk berkhidmat dan memberi sumbangan kepada sukan Singapura.
“Walaupun setelah meletak jawatan sebagai presiden SAQ, beliau terus terlibat aktif sebagai pengerusi bersama Kejohanan Akuatik Sedunia dan sebagai penasihat kepada SAQ, serta menyokong bengkel kejurulatihan.
“Dedikasinya terhadap masyarakat sukan sangat dihargai.
“Pengetahuan mendalam beliau dengan SNOC akan memberikan kestabilan dan kesinambungan, manakala pengalaman pelbagai beliau sebagai atlet dan pentadbir membawa perspektif berharga untuk terus membangunkan ekosistem sukan Singapura.” ujar Goh.
“
Dedikasinya terhadap masyarakat sukan sangat dihargai... Pengetahuan mendalam beliau dengan SNOC akan memberikan kestabilan dan kesinambungan, manakala pengalaman pelbagai beliau sebagai atlet dan pentadbir membawa perspektif berharga untuk terus membangunkan ekosistem sukan Singapura.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg