Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sailors seru AFC kekalkan final Liga Juara-Juara Asia 2 di S’pura

Ini berikutan kebimbangan kelab UAE, Sharjah FC, mengenai kesesuaian Stadium Jalan Besar
Apr 19, 2025 | 5:49 PM
Pemain Sydney FC, Alexandar Popovic (kanan), cuba menyekat tendangan pemain tengah Lion City Sailors, Lennart Thy, semasa perlawanan pertama peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Asia 2, di Stadium Jalan Besar, pada 9 April.
Pemain Sydney FC, Alexandar Popovic (kanan), cuba menyekat tendangan pemain tengah Lion City Sailors, Lennart Thy, semasa perlawanan pertama peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Asia 2, di Stadium Jalan Besar, pada 9 April. - Foto ST

Kelab Lion City Sailors telah menyeru Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) supaya mengekalkan perlawanan akhir Liga Juara-Juara Asia 2 di Singapura, ketika perbincangan diteruskan mengenai tempat untuk menentang Sharjah FC pada 18 Mei.

Ini berikutan kebimbangan yang dibangkitkan oleh kelab Amiriah Arab Bersatu (UAE) itu mengenai kesesuaian Stadium Jalan Besar, memetik padang rumput tiruan dan kapasiti 6,000 tempat duduk sebagai isu utama, lapor The Straits Times.

Dalam kenyataan pada 19 April, Sailors berkata: “Kami mahu menyatakan pendirian kami dengan jelas: Peringkat akhir ini mesti berlangsung di Singapura.

“Ini adalah rumah kami, dan sebagai kelab yang telah mendapat hak untuk menjadi tuan rumah perlawanan akhir, kami percaya ia adalah adil dan wajar untuk ia berlangsung di bumi Singapura.”

Selaras dengan peraturan pertandingan, tempat untuk perlawanan akhir Liga Juara-Juara Asia 2 bergilir-gilir setiap tahun antara bahagian Timur dengan Barat di Asia.

Untuk edisi 2024 hingga 2025, tempat sepatutnya di bahagian timur.

Perbincangan mengenai isu tempat itu melibatkan pegawai AFC dengan wakil Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah diadakan pada pertengahan April.

Meskipun Jalan Besar masih kekal sebagai tempat perlawanan, Stadium Bishan, yang juga boleh memuatkan kira-kira 6,000, dilihat sebagai lokasi alternatif kerana padang rumput semula jadinya.

Tetapi Stadium Negara dengan 55,000 tempat duduk tidak akan tersedia, kerana persembahan pertama daripada empat konsert penyanyi dari Amerika Syarikat, Lady Gaga, akan berlangsung di sana pada hari perlawanan akhir.

Sailors selanjutnya berkata mereka bekerjasama rapat dengan AFC, Majlis Sukan Singapura dan FAS mengenai pengaturan tempat untuk perlawanan akhir itu.

Mereka menambah bahawa Jalan Besar telah menjadi tempat Liga Juara-Juara Asia 2 yang diperakui memenuhi peraturan dan keperluan AFC sepanjang pertandingan, menganjurkan semua enam perlawanan di tempat sendiri dalam kejohanan ini.

“Ia mempunyai sejarah yang membanggakan dalam mengadakan perlawanan bola sepak utama dan telah membuktikan ia tempat yang sesuai dan boleh dipercayai,” tambah kenyataan itu.

Perlawanan akhir yang akan datang menandakan satu peristiwa penting bagi kedua-dua pasukan, yang membuat penampilan sulung mereka pada peringkat kejohanan Asia ini.

Sailors mencipta sejarah pada 16 April dengan menjadi kelab bola sepak Singapura pertama mara ke peringkat final kejohanan benua, mengetepikan Sydney FC 2-1 secara agregat.

Mereka mengejutkan pasukan Liga-A dengan kemenangan 2-0 pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar, dan walaupun tewas 1-0 dalam perlawanan di tempat lawan, kelebihan keseluruhan sudah cukup untuk membolehkan mereka mara.

Sharjah memastikan tempat mereka ke final apabila bangkit untuk menewaskan Al-Taawoun dari Arab Saudi.

Selepas kalah 1-0 pada perlawanan pertama, kelab UAE itu bangkit dengan kemenangan 2-0 pada 15 April, untuk mara dengan agregat 2-1.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg