Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masa depan Amorim suram di tengah-tengah masalah pasukan

Selain masalah kecederaan, barisan serangan United juga tumpul
Feb 24, 2025 | 5:30 AM
Prestasi menghampakan dan skuad yang dibelenggu kecederaan menjadi antara sebab kemunduran Manchester United dalam Liga Perdana England musim ini.
Prestasi menghampakan dan skuad yang dibelenggu kecederaan menjadi antara sebab kemunduran Manchester United dalam Liga Perdana England musim ini. - Foto REUTERS

Apabila Manchester United memecat pengurusnya, Erik ten Hag, pada Oktober 2024, pasukan itu berada di tangga ke-14 dalam Liga Perdana England (EPL) dan tujuh mata daripada empat tempat teratas dan tiga tempat terbawah.

Selepas tiga setengah bulan, kelab itu kini berada di tangga ke-15, 15 mata daripada empat pasukan teratas dan 12 mata di atas zon penyingkiran selepas ditewaskan 1-0 oleh Tottenham – kekalahan kelapan dalam EPL di bawah pengurus baru, Ruben Amorim, lapor laman BBC Sports.

Sayangnya, Amorim, 40 tahun, pengurus dan bekas pemain bola sepak kelahiran Lisbon, Portugal, tidak melihat peningkatan pada prestasi Manchester United.

Sebaliknya, beliau mengakui dirinya mempunyai banyak masalah dan tugasannya sangat sukar.

Bukan rahsia lagi bahawa United sedang mengharungi kempen EPL yang hambar, dari segi sejarah tetapi soalnya, sebesar manakah masalah Amorim?

Kempen paling buruk dalam sejarah?

Ruben Amorim merupakan pengurus tetap keenam Manchester United sejak Sir Alex Ferguson bersara, menggantikan Erik ten Hag selepas pemecatannya.
Ruben Amorim merupakan pengurus tetap keenam Manchester United sejak Sir Alex Ferguson bersara, menggantikan Erik ten Hag selepas pemecatannya. - Foto REUTERS

Pada Januari, Amorim mungkin bertindak terburu-buru ketika mengulas bahawa United buat masa ini “mungkin pasukan terburuk dalam sejarah Manchester United”.

Kelab itu pernah tersingkir daripada divisyen pertama pada 1974.

Namun, dalam era EPL, mereka mencatat prestasi paling teruk, jika ditinjau rekod musim ini.

Kutipan mata United iaitu 29 mata menerusi 25 perlawanan adalah yang terendah, buat masa ini, dalam EPL.

United tewas 12 kali dalam 25 perlawanan, dengan kadar kekalahan sebanyak 48 peratus.

Hanya Tottenham, Wolves, Ipswich, Leicester dan Southampton yang mengumpul mata lebih sedikit berbanding United, yang hanya mengumpul 14 mata dalam 14 perlawanan EPL di bawah Amorim.

Amorim mengurus 21 perlawanan sejak menyertai United, dengan sembilan kemenangan, tiga keputusan seri dan kekalahan sebanyak sembilan kali.

Justeru, kadar kemenangan di bawah pimpinannya mencecah 43 peratus.

Ia merupakan kadar kemenangan terendah bagi mana-mana pengurus tetap Manchester United sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013.

Dalam 21 perlawanan pertama di bawah pimpinannya, pengurus Belanda, Louis van Gaal (48 peratus), mencatat prestasi kedua terendah selepas Amorim.

Rekod pengurus United lain bagi 21 perlawanan pertama adalah seperti berikut – Jose Mourinho dari Portugal (52 peratus); David Moyes dari Scotland (57 peratus); ten Hag (67 peratus); dan Ole Gunnar Solskjaer dari Norway (71 peratus).

Bahagian pemain penyerang pincang

Masalah utama United di bawah Amorim adalah kegagalan mereka menjaringkan gol secukupnya.

Mereka hanya menjaringkan 28 gol dalam 25 perlawanan EPL, dengan purata 1.12 gol setiap permainan.

Hanya empat pasukan lain menjaringkan lebih banyak gol.

Penjaring terbanyak, Amad Diallo (enam gol), kini cedera, dan penyerang Rasmus Højlund (dua gol) dan Joshua Zirzkee (tiga gol), kededuanya hanya menjaringkan lima gol dalam 45 penampilan.

Kecederaan Amad Diallo sepanjang musim menyebabkan kepincangan bahagian pemain penyerang Manchester United.
Kecederaan Amad Diallo sepanjang musim menyebabkan kepincangan bahagian pemain penyerang Manchester United. - Foto REUTERS

Kurang pemain gantian

Pada awal tempoh pengurusan Amorim, bekas pengurus pasukan Sporting Clube de Portugal itu, mengeluh tentang kurangnya masa berlatih dengan pemain.

Namun, selepas kelayakan peringkat kalah mati Liga Europa terjamin dan kekalahan di Piala Carabao, Amorim lebih memberi tumpuan pada latihan.

Malangnya, minggu sebelum perlawanan dengan Spurs, enam pemain mengalami kecederaan atau sakit, termasuk Diallo, Kobbie Mainoo, Manuel Ugarte, Toby Collyer, Leny Yoro, dan Christian Eriksen.

Ini menyebabkan Amorim terpaksa menggunakan pemain yang kurang berpengalaman di bangku simpanan, dengan Victor Lindelof satu-satunya pemain yang pernah bermain untuk pasukan utama.

Pemain muda lain seperti Elyh Harrison, Harry Amass, dan Tyler Fredricson terpaksa dikerahkan.

Pada Januari, United hanya membawa masuk Patrick Dorgu dari kelab bola sepak Italy, Lecce dan Ayden Heaven dari Arsenal.

Namun, selepas Marcus Rashford, Antony, dan Tyrell Malacia keluar dan dipinjamkan ke pasukan lain, United kian lemah.

Keputusan membenarkan Rashford dan Antony pergi tanpa pengganti kini terbukti berisiko, meninggalkan United kekurangan pilihan penyerang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg