Perbualan mengenai masa depan pemandu semakin hangat sedang musim Formula Satu (F1) menuju ke penghujungnya, dengan hanya tujuh pusingan lagi.
Antara mereka yang masa depannya masih menjadi tanda tanya ialah pemandu Red Bull, Yuki Tsunoda, 25 tahun, yang kontraknya tamat selepas 2025.
Pemandu Jepun itu, yang kini berada di tangga ke-17 dalam kedudukan pemandu dengan 20 mata, telah melalui kempen yang bercampur-campur sejak dinaikkan daripada pasukan pembangunan Red Bull, Racing Bulls, pada Mac lalu.
Justeru, ia mencetuskan khabar angin mengenai siapa yang akan mengisi kerusi kedua Red Bull musim depan, lapor The Straits Times (ST).
Bekas rakan sepasukan Tsunoda di Racing Bulls, Isack Hadjar, yang kini menduduki tangga kesembilan dalam kedudukan pemandu selepas musim sulungnya yang mengagumkan, merupakan calon kuat.
Namun, Tsunoda hanya ingin mengabaikan segala gangguan dan menumpukan perhatian pada dirinya sendiri.
“Ini adalah sesuatu yang dialami oleh setiap pemandu, setiap pasukan, dan ia sentiasa wujud dalam persekitaran F1.
“Saya sudah mengalaminya sejak tahun pertama dan telah terbiasa dengannya.
“Bagi saya, selagi sasaran saya jelas dan saya tahu apa yang perlu dilakukan dalam setiap perlumbaan, perkara itu akan hilang sebaik sahaja saya memakai topi keledar.
“Jadi, saya tidak terlalu risau bahawa perkara itu akan menjejaskan prestasi saya,” kongsi beliau ketika diwawancara ST menjelang Grand Prix (GP) Singapura yang berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober.
Sementara beliau menjadikan impiannya berlumba untuk Red Bull satu kenyataan, peralihan itu merupakan satu proses pembelajaran yang mencabar bagi Tsunoda, yang dinaikkan daripada Racing Bulls selepas GP China pada Mac, menggantikan Liam Lawson.
Pelumba Kiwi itu pula beralih ke Racing Bulls selepas menghadapi permulaan musim yang sukar.
Sejak menyertai Red Bull, Tsunoda telah menamatkan perlumbaan dalam kedudukan mata sebanyak lima kali dan merangkul 17 mata.
Ini di samping pencapaian terbaiknya dalam GP Azerbaijan, di mana beliau menduduki tempat keenam.
Mengenang kembali musim ini, Tsunoda berkata:
“Ia sememangnya salah satu musim paling mencabar, tetapi ia banyak membantu saya meningkatkan diri sebagai seorang pemandu dan sebagai insan, selain memahami betapa saya menyukai cabaran ini.”
Kini, tumpuan Tsunoda beralih kepada GP Singapura.
“Apa yang saya fikirkan sekarang hanyalah untuk memaksimumkan prestasi, mengumpul mata dan memberikan yang terbaik.
“Itulah satu-satunya tumpuan saya – semuanya tertumpu pada Singapura.
“Saya yakin jika saya memberikan yang terbaik, hasilnya akan datang secara semula jadi,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg