Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasih menanti kerakyatan, Perry Ng sudah anggap S’pura sebagai rumahnya
Masih menanti kerakyatan, Perry Ng sudah anggap S’pura sebagai rumahnya
Masih menanti kerakyatan, Perry Ng sudah anggap S’pura sebagai rumahnya
Walaupun masih menantikan proses permohonan kerakyatan Singapura dimuktamadkan, pemain pertahanan Cardiff City, Perry Ng, tidak pernah menyembunyikan betapa istimewanya Singapura di hatinya.
Bagi pemain berusia 30 tahun itu, impian untuk menyarung jersi kebangsaan Singapura bukan sekadar cita-cita beraksi dalam padang, sebaliknya lahir daripada ikatan yang lebih mendalam membabitkan keluarga, warisan serta rasa kekitaan yang semakin utuh setiap kali beliau pulang ke Singapura.
Lebih sedekad selepas pertama kali meluahkan hasrat untuk mewakili Singapura, Ng berkata setiap kunjungan ke Singapura itu hanya mengukuhkan lagi keyakinannya bahawa suatu hari nanti, beliau mampu gelarkan Singapura sebagai rumahnya.
“Saya rasa semakin lama saya berada di sini, semakin saya sedar betapa saya sukakan Singapura dan tidak sabar untuk memanggil Singapura rumah saya,” katanya kepada Berita Harian (BH).
“Ia sebuah negara yang sangat aman. Ramai orang mungkin menganggap Singapura sibuk dan pantas, tetapi bagi saya ia sangat tenang.
“Saya juga sukakan makanannya dan budayanya. Saya sukakan semuanya,” tambahnya sambil tersenyum lebar.
Sepanjang berada di Singapura semasa tempoh cutinya kini, Ng bukan sekadar menjalani latihan bersama skuad Singa.
Beliau turut mengambil peluang meneroka lebih banyak tempat seperti Haji Lane dan Chinatown, bergaul dengan masyarakat setempat serta menyertai beberapa aktiviti kemasyarakatan.
Menurut Ng, yang menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pendiam, pengalaman berinteraksi dengan rakyat Singapura cukup meninggalkan kesan.
“Semua orang sangat mesra. Saya rasa mereka mempunyai banyak persamaan dengan masyarakat di Liverpool – ramah, lucu dan mudah bergaul. Saya sangat menikmati pengalaman mengenali budaya yang pelbagai di sini,” katanya.
Pemain itu juga katakan beliau semakin serasi dengan gaya hidup tempatan.
Nasi ayam kini menjadi makanan kegemarannya kerana dianggap ringkas dan sesuai dengan rutin sebagai atlet, selain roti prata dan sambal ikan pari yang pertama kali dinikmatinya bersama keluarganya di Bedok.
Beliau turut mengakui sudah mula menggunakan beberapa ungkapan Singlish seperti “walao eh” dan “lah”, malah terkejut apabila mengetahui sebutan “la” juga biasa digunakan di Liverpool.
Hubungan Ng dengan Singapura sebenarnya bermula jauh lebih awal daripada perjalanan bola sepaknya.
Datuknya, James Ng, berasal dari Singapura sebelum berhijrah ke Liverpool.
Selepas pemergian datuknya, hasrat untuk mewakili Singapura menjadi semakin kuat.
Malah, beliau mengakui salah satu sebab utama beliau terus bersabar menunggu proses itu selesai ialah kerana mahu ahli keluarganya di Singapura akhirnya dapat menyaksikan beliau beraksi secara langsung.
“Keluarga saya di Bedok tidak pernah melihat saya bermain bola sepak secara langsung. Saya akan benar-benar menyesal jika bersara nanti tanpa sempat mereka melihat saya bermain. Itulah yang terus memberi saya semangat jadi rakyat Singapura,” katanya.
