LONDON – Tottenham Hotspur meningkatkan tekanan ke atas pengurus Crystal Palace, Pierre Sage, selepas memanfaatkan kad merah awal penyerang lawan bagi melakar kemenangan ketiga berturut-turut dalam Liga Perdana England (EPL).

Palace kini terperosok dalam kelompok tiga pasukan terbawah liga dengan hanya mencatat dua kemenangan daripada sembilan perlawanan di bawah kendalian pengurus dari Perancis itu.

Nasib Sage bertambah malang apabila penyerang berbisa pasukannya, Jean-Philippe Mateta, diperintah keluar padang seawal minit ke-13 menyusuli terjahan keras ke atas pemain pertahanan Spurs, Micky van de Ven.

Pengadil perlawanan, Michael Oliver, melayangkan kad merah tersebut sejurus menjalankan semakan menerusi pembantu pengadil video (VAR).

Tugas Palace menjadi bertambah sukar apabila Archie Gray menanduk masuk gol pembukaan Spurs pada minit ke-25, memanfaatkan kealpaan benteng pertahanan lawan mengawal sepakan sudut Mohammed Kudus.

Meskipun Palace mempamerkan keazaman tinggi, kekurangan seorang pemain jelas menjejaskan rentak mereka tatkala Spurs menguasai sebahagian besar perlawanan.

Palace hampir menyamakan kedudukan selepas waktu rehat menerusi peluang keemasan Dwight McNeil, namun percubaan itu berjaya dihalang kemas penyerang Spurs, Dominic Solanke.

Skuad kendalian Roberto de Zerbi itu mengesahkan kemenangan pada minit ke-73 apabila pemain pertahanan, Jan Paul van Hecke, pantas menyambar bola di hadapan gawang selepas tandukan awalnya ditepis penjaga gol Palace, Dean Henderson, ke palang gol.

Keputusan itu membolehkan Spurs melangkah ke kelompok separuh teratas liga dengan keyakinan yang kian pulih selepas melalui tempoh hambar sebelum ini.

Kemenangan ini meneruskan rentak cemerlang De Zerbi bersama Spurs selepas meraih kemenangan bermakna di gelanggang sendiri menentang Coventry City serta kejayaan menewaskan Chelsea di tempat lawan.

Selain kelebihan beraksi menentang 10 pemain, Spurs memperlihatkan corak permainan lebih mantap, di samping pemain yang baru ditandatangani pada musim panas mula mempamerkan impak sebenar.

Pemain tengah, Sandro Tonali, yang dibeli pada nilai £100 juta (kira-kira $170 juta), kini melonjak ke tahap prestasi lebih baik dengan menampilkan gabungan kelincahan larian, kekuatan fizikal serta daya cipta peluang.

Seorang lagi pemain yang bergelut pada peringkat awal, Mateus Fernandes, turut beraksi penuh yakin sekali gus menyuntik semula semangat juang yang sekian lama pudar di kelab London utara itu.

Sementara itu kededua Manchester City dan Manchester United mengalami kekalahan dalam perlawanan masing-masing pada 31 Oktober.

City tewas dalam perlawanan kedua EPL mereka, kali ini kepada Brighton and Hove Albion dengan jaringan 1-0.

Kekalahan kepada Brighton itu merupakan yang pertama buat City di padang sendiri dalam EPL.

Dalam satu lagi perlawanan, nasib United terus melang apabila tewas 2-0 kepada kepada Chelsea di Stamford Bridge. – Agensi berita.