LONDON: Matheus Cunha yakin Wolverhampton Wanderers mempunyai pelbagai kelebihan dalam skuad mereka dan mampu membuat kejutan dalam perlawanan pembukaan musim 2023/2004 Liga Perdana England (EPL) ini semasa menentang Manchester United di Old Trafford.
Pemain asal Brazil itu merupakan kunci utama semasa perlawanan pramusim semasa di bawah pengurusan Julen Lopetegui, namun Wolves sekarang di bawah kepimpinan Gary O’Neil.
Meskipun begitu, Cunha menekankan para pemain dalam pasukan itu mampu berusaha sepenuh tenaga semasa di padang demi mencapai kejayaan dalam perlawanan pembukaan itu.
“Saya mempunyai banyak tekanan. Semasa kali pertama saya ke mari dan kami berada dalam kedudukan tercorot liga, kami perlu maju dengan pantas.
“Tapi saya fikir kini tekanan sudah reda dan saya kenali kelab ini dan saya tahu segalanya.
“Kini saya sedar yang saya perlu lakukan segalanya buat pasukan ini, buat diri saya sendiri dan saya gembira dapat lakukan semua itu,” katanya.
Menyentuh tentang peralihan jurulatih, Cunha berkata apa yang berlaku di luar padang bukan halnya dan sebaliknya beliau hanya perlu tumpukan di padang.
Menurutnya lagi selaku anggota pasukan, mereka semua gembira dapat lakukan segalanya buat kelab.
“Apabila kami gembira bersama, anda akan sokong satu sama lain,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg