Seramai 38,720 peminat menyaksikan pertarungan menarik antara dua kelab Liga Perdana (EPL) England, Arsenal dan Newcastle United, di Stadium Nasional pada 27 Julai, yang menyaksikan bintang muda berusia 15 tahun, Max Dowman, menyerlah ketika The Gunners menang 3-2.
Perlawanan itu menutup tirai Festival Bola Sepak Singapura 2025, yang turut menampilkan aksi antara Arsenal dan kelab gergasi Italy, AC Milan, pada 23 Julai, dengan pasukan dari London itu menang 1-0.
Kehadiran penonton pada 27 Julai menunjukkan peningkatan ketara berbanding 22,813 orang yang hadir pada perlawanan pertama, walaupun masih terdapat banyak tempat duduk kosong yang kelihatan.
Mereka yang hadir turut disajikan dengan kemunculan penyerang baru Arsenal, Viktor Gyokeres.
Pemain Sweden itu, yang menandatangani kontrak bernilai 55 juta paun ($94 juta) pada 26 Julai, menerima sorakan gemuruh daripada penyokong Arsenal apabila beliau melangkah ke padang Kallang dengan memakai jersi Arsenal bernombor 14.
Aksi di atas padang juga lebih rancak berbanding perlawanan antara Arsenal dan Milan, yang kadangkala tampak perlahan.
Pemain baru Newcastle yang juga bernilai 55 juta paun, Anthony Elanga, membuka tirai jaringan pada minit keenam, tetapi Arsenal membalas dengan dua gol pantas pada minit ke-33 dan ke-35 menerusi Mikel Merino dan satu gol sendiri oleh pemain muda Newcastle, Alex Murphy.
Penyerang Arsenal, Kai Havertz, yang mungkin mahu membuktikan sesuatu, mencipta kedua-dua gol itu.
Jacob Murphy menyamakan kedudukan untuk Newcastle pada separuh masa kedua menerusi rembatan rendah dari luar kotak penalti, sebelum Dowman – yang menjadi pemain paling menyerlah Arsenal selepas masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-60 – memperoleh sepakan penalti setelah dijatuhkan Joelinton, susulan larian mengagumkan ke dalam kotak penalti.
Kapten Arsenal, Martin Odegaard, menyempurnakan sepakan penalti itu dengan tenang pada minit ke-84, yang merupakan gol kemenangan.
Selepas perlawanan, pengurus Arsenal, Mikel Arteta, memuji bakat Dowman yang disifatkannya sebagai “istimewa”.
“Untuk bermain seperti itu menentang pasukan ini, dalam masa yang singkat di atas padang – ia sememangnya sesuatu yang jarang dilihat,” kata beliau.
Arteta juga gembira dengan kehadiran Gyokeres ke dalam pasukannya, dan berkata kelab kini mempunyai “rancangan (dan) banyak pilihan” dengan kedalaman barisan serangan mereka.
“Kami sangat gembira Viktor kini bersama kami… Ia satu perjalanan panjang untuk mendapatkannya ke sini, tetapi beliau sangat hebat sepanjang proses itu… Anda boleh lihat pemain lain dan suasana pasukan juga sangat teruja dengan kehadirannya.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg