Atlet luncur lelayang Singapura, Maximilian Maeder, mencipta satu lagi kejayaan apabila beliau dicalonkan bagi anugerah Pelayar Muda Lelaki Terbaik Dunia yang disenaraikan pada 21 Oktober.
Atlet berusia 18 tahun itu telah menikmati tahun yang cemerlang selepas mengakhiri musim kali ini dengan meraih gelaran remaja bagi Eropah Formula Kite pada 13 Oktober.
Remaja itu memulakan musimnya pada Februari dengan meraih emas di Piala Terbuka Antarabangsa Luncur Lelayang Fuerteventura di Kepulauan Canary, dan telah memenangi hampir setiap trofi yang ditawarkan musim ini, termasuk mengekalkan kejuaraan dunia dan kejuaraan Eropah.
Beliau juga merangkul pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris di mana sukan luncur lelayang membuat penampilan sulungnya.
Pencapaian Maeder di Perancis menjadikannya pemenang pingat keenam dan termuda Singapura di Sukan Olimpik, lapor The Straits Times.
Pemenang anugerah Kapal Layar Dunia akan diumumkan pada sebuah majlis di Dewan Chijmes di Singapura pada 5 November.
Presiden Kapal Layar Singapura, Encik Lincoln Chee berkata:
“Untuk dicalonkan bagi Pelayar Muda Terbaik adalah satu pencapaian yang tidak ramai boleh mencapainya.
“Max sudah tentu peroleh pengiktirafan ini bersama keluarga dan pasukannya.”
Beliau percaya bahawa pencapaian Maeder telah memberi impak yang luas kepada arena kapal layar tempatan, menggalakkan dan memberi inspirasi kepada pelayar negara.
Chee menambah: “Impak untuk luncur lelayang di Singapura mungkin terhad kerana kekangan akses dalam sukan ini.
“Namun, impak kepada ekosistem kapal layar Singapura dan pihak berkepentingan adalah baik kerana kami mempunyai apa yang diperlukan, dari segi teknikal dan kewangan, untuk membantu bakat kapal layar Singapura bertaraf dunia berjaya di pentas dunia.”
Turut dicalonkan untuk anugerah Pelayar Muda Lelaki Terbaik, yang mengiktiraf pencapaian pelayar bawah 21 tahun, ialah Vittorio Bonifacio dari Italy, Grae Morris dari Australia dan Magnus Overbeck dari Denmark.
Bonifacio, bersama rakan sepasukan dinginya Lisa Vucetti, memenangi kedua-dua kejuaraan dunia remaja dan Eropah pada 2024.
Grae meraih pingat perak dalam iQFoil di Sukan Olimpik Paris, menjadi pemenang pingat luncur angin pertama Australia sejak Sukan Atlanta 1996.
Overbeck memenangi SailGP Inspire musim 2023-2024, serta kejuaraan remaja dan dunia pada Sukan WASZP 2024.
Pencalonan bagi kategori wanita ialah Eve McMahon dari Ireland, Ewa Lewandowska dari Poland, pasangan Greece, Iakovina Kerkezou dan Danai Giannouli, serta Maria Catalina Turienzo dari Argentina.
Pada 2023, Maeder menjadi warga Singapura pertama yang dicalonkan untuk anugerah Pelayar Lelaki Terbaik di anugerah tahunan badan dunia itu selepas tahun yang cemerlang yang menyaksikannya menjadi juara dunia termuda dalam pertandingan kelas pelayaran Olimpik.
Anugerah itu kemudian diberikan kepada Tom Slingsby, yang untuk kali ketiga membawa Australia merangkul kejuaraan SailGP ketiga berturut-turut.
Anugerah Pelayaran Dunia telah dilancarkan pada 1994 untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang pelayar individu dan pasukan.
“
“Untuk dicalonkan bagi Pelayar Muda Terbaik adalah satu pencapaian yang tidak ramai boleh mencapainya. Max sudah tentunya peroleh pengiktirafan ini bersama keluarga dan pasukannya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg