Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Max Maeder buat penampilan sulung di Sukan SEA pada Dis

Jan 15, 2025 | 4:08 PM
Pemenang pingat gangsa luncur lelayang di Olimpik Paris, Max Maeder, akan buat penampilan sulung di Sukan SEA pada Disember.
Pemenang pingat gangsa luncur lelayang di Olimpik Paris, Max Maeder, akan buat penampilan sulung di Sukan SEA pada Disember. - Foto ST

Pemenang pingat gangsa Olimpik, Maximilian Maeder, bersedia membuat penampilan sulungnya di Sukan SEA di Thailand pada Disember, dengan luncur lelayang disertakan dalam acara temasya dwitahunan itu.

Persekutuan Sukan SEA telah mengesahkan senarai 56 sukan dan 569 acara untuk temasya yang akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember.

Thailand akan menjadi tuan rumah untuk Sukan SEA edisi ke-33, yang akan diadakan di Bangkok, Chonburi dan Songkhla, lapor The Straits Times.

Ini merupakan kali pertama luncur lelayang disertakan dalam program tersebut, manakala sukan seperti menembak, besbol, bola lisut, bola jaring, boling dan sukan memanjat akan disertakan semula.

Format baru sukan tradisional seperti hoki dan besbol juga disertakan – versi lima pemain (hoki 5s dan besbol 5s) – manakala sukan seperti teqball dan woodball akan membuat penampilan sulung.

Teqball merupakan sukan demonstrasi pada edisi 2023, adalah sukan bola yang dimainkan di atas meja melengkung, menggabungkan elemen sepak takraw dan pingpong.

Manakala woodball dimainkan dengan kayu pemukul dan bola kayu, seperti bermain golf.

Tiga sukan demonstrasi tambahan – sukan udara (luncur udara dan paramotor), cakera terbang (golf cakera dan ultimate frisbee) dan tarik tali – juga akan dipertandingkan.

Keputusan daripada sukan ini tidak akan dikira dalam jumlah pingat keseluruhan.

Sebanyak 569 pingat emas ditawarkan di Thailand, 39 pingat lebih banyak daripada 530 pada temasya 2019 di Filipina, yang menampilkan 56 sukan.

Maeder akan berusaha meneruskan momentum kemenangan dari musim 2024, di mana beliau memenangi kejuaraan dunia, Asia dan Eropah serta pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris.

“Sudah tentu ia adalah (berita) baik apabila sukan kapal layar disertakan dalam lebih banyak kejohanan, seperti Sukan SEA.

“Saya gembira melihat sukan ini semakin mendapat sambutan di mana-mana, dan ini membuatkan saya tersenyum.

“Memang menarik menyertai Sukan SEA buat kali pertama dan saya juga menantikannya selepas mendengar pengalaman daripada rakan-rakan sebaya,” kongsi atlet berusia 18 tahun itu.

Atlet pasukan Singapura juga menerima berita baik apabila sukan boling, menembak (yang terakhir dipertandingkan pada 2021), serta sukan memanjat (yang kali terakhir dipertandingkan pada 2011), dipertandingkan.

Penembak negara, Teh Xiu Hong, yang memenangi emas dalam acara pistol 25 meter dan pistol udara berpasukan wanita 10 meter pada edisi 2021 di Vietnam, teruja sukan ini kembali dipertandingkan dalam Sukan SEA.

Seperti menembak, boling juga kerap meraih pingat untuk Singapura di acara serantau itu.

Pada Sukan Hanoi, pemain boling Singapura mendahului senarai pingat dengan tiga emas, satu perak dan tiga gangsa, sebelum sukan itu digugurkan daripada acara Phnom Penh pada 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg