Danisha Mathialagan mencuri tumpuan orang ramai pada 2023 apabila beliau menjadi petinju pertama Singapura yang layak ke Sukan Asia sejak 1976.
Namun, atlet berusia 27 tahun itu kini mengidamkan pencapaian lebih besar.
Pada 2025, Danisha menyasarkan untuk mencatatkan detik penting dalam kerjayanya, iaitu merangkul pingat di Sukan SEA di Thailand pada Disember.
Untuk meningkatkan peluangnya, Danisha membuat keputusan yang sukar di luar gelanggang.
Beliau sepatutnya memulakan ikatan bon selama empat tahun dengan hospital tempatan selepas menamatkan pengajian dalam bidang radiografi diagnostik daripada Institut Teknologi Singapura (SIT) pada Oktober 2024.
Namun, Danisha mengambil keputusan untuk membatalkan ikatan bon tersebut, lapor The Straits Times.
Ini bermakna beliau perlu membayar semula kira-kira $130,000 yang diberikan sebagai yuran pengajian dan elaun sepanjang empat tahun lalu.
Danisha, yang kini bekerja sebagai pengawet jenazah yang bergerak secara bebas, pekerjaan yang memberinya fleksibiliti untuk menjalani latihan dua kali sehari, berkata:
“Jika saya bekerja di hospital, saya tidak akan dapat bertinju.
“Ini kerana saya perlu bekerja syif malam dan ia akan menjadi sangat sukar untuk meneruskan sukan ini.
“Akhirnya, saya membuat keputusan ini setelah menyimpan sebahagian elaun yang diterima agar dapat membayar balik jumlah ikatan tersebut.
“Saya kini berada pada kemuncak kerjaya tinju dan tidak akan dapat bertinju pada usia 40-an tahun. Jadi, jika saya tidak teruskan sekarang, bila lagi?
“Orang mungkin mempersoalkan keputusan ini, tetapi saya tidak boleh melakukan ini selama-lamanya, dan saya lebih rela mencuba dan gagal daripada hidup dengan penyesalan dan persoalan, ‘jika sahaja saya...’,” katanya.
Memenangi pingat Sukan SEA akan menjadi sangat bermakna bagi Danisha, yang sebelum ini terlepas peluang untuk bertanding dalam dua edisi terakhir.
Pandemik Covid-19 menghalangnya daripada mencapai jumlah perlawanan minimum untuk layak ke Sukan SEA Hanoi 2022, sementara kategori (kelas layang ringan wanita, 50 kilogram) tidak dipertandingkan dalam edisi 2023 di Kemboja.
Namun, dengan lebih banyak kategori dimasukkan dalam Sukan SEA 2025, Danisha bersedia untuk bertanding bagi edisi kali ini, sejak penampilan sulungnya pada 2019.
“Banyak air mata tumpah dalam dua edisi terakhir apabila saya tidak dapat bertanding.
“Setiap atlet Singapura ingin pergi dan berjaya di Sukan SEA dan sangat sukar untuk tidak mendapat peluang itu.
“Ia telah memusnahkan semangat saya.
“Namun apabila menantikan edisi tahun ini (2025), ia membuatkan saya lebih bermotivasi untuk memastikan penantian ini berbaloi,” katanya.
Untuk meningkatkan peluang memenangi pingat, Danisha akan bertanding dalam kategori berat minimum (48 kilogram).
Walaupun Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (Snoc) akan memberikan kata putus mengenai atlet yang akan mewakili Singapura di Thailand, Danisha berharap dapat mengukuhkan lagi kedudukannya melalui prestasinya dalam pertandingan tempatan dan antarabangsa.
Pada Kejohanan Tinju Kebangsaan tahunan yang berlangsung di Dewan Sukan Bedok pada 12 Januari, beliau meraih kemenangan meyakinkan ke atas Nur Eiffah Samat dalam pertandingan akhir kategori 48 kilogram, apabila pengadil menghentikan perlawanan pada pusingan kedua.
Sejak penampilan sulungnya di Sukan Asia di Hangzhou, Danisha terus menunjukkan prestasi cemerlang.
Pada Piala Tinju Dunia: Ulaanbaatar 2024 di Mongolia pada September, beliau telah mencipta sejarah sebagai rakyat Singapura pertama yang berjaya meraih tempat di podium acara itu dengan memenangi pingat perak dalam kategori 50 kilogram, selepas tewas kepada, Rinka Kinoshita, dari Jepun dalam pertandingan akhir.
“
Saya kini berada pada kemuncak kerjaya tinju dan tidak akan dapat bertinju pada usia 40-an tahun. Jadi, jika saya tidak teruskan sekarang, bila lagi? Orang mungkin mempersoalkan keputusan ini, tetapi saya tidak boleh melakukan ini selama-lamanya, dan saya lebih rela mencuba dan gagal daripada hidup dengan penyesalan dan persoalan, ‘jika sahaja saya...’Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg