Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Max Maeder mahu simpan, labur habuan $250,000 dari anugerah SNOC

Tampil terima Anugerah Sukan Utama SNOC di atas kejayaan menang pingat gangsa Sukan Olimpik
Oct 24, 2024 | 2:06 PM
Maximilian Maeder (dua dari kiri), yang dikelilingi anggota keluarganya, menerima $250,000 bagi pingat gangsa Olimpiknya daripada Presiden SNOC, Cik Grace Fu (tiga dari kiri), dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (tiga dari kanan).
Maximilian Maeder (dua dari kiri), yang dikelilingi anggota keluarganya, menerima $250,000 bagi pingat gangsa Olimpiknya daripada Presiden SNOC, Cik Grace Fu (tiga dari kiri), dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (tiga dari kanan). - Foto ST

Selepas menerima cek bernilai $250,000 di Swissotel The Stamford’s Skai Suites yang dikelilingi keluarga dan rakan-rakan atlet Pasukan Singapura, atlet luncur lelayang negara, Maximilian Maeder, berasa dirinya berada di puncak dunia.

Beliau berharap dapat terbang lebih tinggi kerana wang itu akan digunakan bagi meningkatkan kerjayanya, lapor The Straits Times (ST).

Bercakap di luar majlis penyampaian Program Anugerah Sukan Utama (MAP) Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dan makan malam penghargaan pada 23 Oktober, atlet berusia 18 tahun itu berkata “pilihannya adalah untuk menyimpan dan melabur, ia pasti akan digunakan dengan baik”.

“Saya tidak perlu risau untuk membeli lebih banyak peralatan luncur lelayang, dan saya juga boleh membantu adik saya (Karl) dengan peralatannya juga. Saya sudah membawa keluarga saya makan, tetapi saya akan membawa mereka lagi.

“Malam seperti ini istimewa kerana kami dapat meraikannya bersama. Ia mendorong saya untuk terus bersukan dan menghargai betapa berbaloinya perjuangan dalam sukan,” tambah remaja itu.

Ia jelas merupakan suasana ceria bagi Maeder, yang dilihat mengangkat adik bongsunya, Valentin Jr, di atas bahunya sementara datuk nenek, ibu bapa, adik lelaki dan sepupunya menaiki pentas untuk bergambar selepas menerima cek daripada Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, dan presiden SNOC, Cik Grace Fu.

Dilancarkan pada 1990-an, Anugerah MAP ialah sebuah program yang direka untuk memberi ganjaran kepada atlet Singapura yang membawa pulang pingat daripada acara utama seperti Sukan SEA, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Penerima perlu menyumbang sekurang-kurangnya 20 peratus daripada wang hadiah mereka kepada persatuan sukan nasional masing-masing yang akan digunakan untuk pembangunan atlet remaja.

Maeder merupakan atlet Singapura kelima yang menerima wang tunai di Anugerah MAP, tajaan Tote Board, selepas memenangi pingat gangsa di temasya Sukan Olimpik Paris.

Pemain tenis meja – Feng Tianwei, Wang Yuegu dan Li Jiawei – menerima $750,000 di atas kejayaan menang pingat perak berpasukan di Olimpik Beijing 2008; dan diikuti dengan ganjaran $375,000 bagi pingat gangsa berpasukan mereka di London 2012, dengan Feng turut memenangi pingat gangsa perseorangan wanita dengan habuan $250,000.

Perenang Joseph Schooling, satu-satunya juara Olimpik negara, menerima $1 juta bagi pingat emas kuak kupu-kupu 100 meter lelaki di Rio 2016.

Cik Fu, yang turut menyerahkan pin penyertaan Olimpik kepada 14 daripada 23 atlet Paris 2024 yang hadir pada majlis itu, berkata dalam ucapannya: “Dalam kita meraikan detik ini, marilah kita juga melihat masa depan.

“Perjalanan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 sedang berlangsung, dan pengalaman yang diperoleh di Paris akan memacu cita-cita kita untuk terus menyokong atlet kita dalam perjalanan hadapan mereka.”

Walaupun Maeder menamatkan musim 2024 dengan sembilan kemenangan dan pingat gangsa Olimpik daripada 10 acara, daya saingnya kekal kuat.

Apabila ditanya mengenai permulaan kitaran Olimpik yang baru dan musim 2025, beliau hanya menjawab: “Berlatih, bersaing dan terus perbaiki diri.”

Beliau mempunyai sebuah lagi misi sebelum berangkat ke Perth untuk kem latihan pada pertengahan November.

Maeder telah menawarkan dirinya untuk bekerja di sebuah gerai karipap selama sehari jika beliau memenangi anugerah Pelayar Lelaki Terbaik anjuran Kapal Layar Dunia yang akan diumumkan di sebuah majlis di Dewan Chijmes di Singapura pada 5 November.

Undian awam di https://4wbapryf7or.typeform.com/WSAwards2024 menyumbang 50 peratus daripada jumlah skor keseluruhan, manakala baki diberikan oleh panel Kapal Layar Dunia.

Mengulas mengenai peluang untuk menjadi pemenang pertama warga Singapura bagi anugerah itu, beliau berkata: “Ia akan menjadi satu inspirasi (bagi saya) untuk mengatakan bahawa pelayaran adalah sesuatu yang hebat untuk dikejar, dan Singapura adalah sebuah negara pelayaran.

“Dan siapa yang tidak suka dikelilingi karipap sepanjang hari? Kami akan aturkan butiran seperti jenama apa, di mana dan bila. Itu adalah satu kejutan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg