Dengan hasrat membina masa depan lebih cerah, atlet ‘kitefoiler’ (luncur lelayang menggunakan hidrofoil) Singapura, Maximilian Maeder, memilih mengikuti program bimbingan baru, dan kini menjalani latihan bersama pasukan Switzerland.
Dengan langkah tersebut, beliau kini berlatih di bawah bimbingan jurulatih Switzerland, Matthieu Girolet, dengan kem latihan tidak rasmi pertama mereka diadakan sekitar empat minggu lalu.
Maeder, yang mewakili Singapura, juga akan berlatih bersama adik lelakinya, Karl, 16 tahun, yang merupakan anggota pasukan Switzerland.
Dalam acara pertama sejak beralih kepada program bimbingan baru itu, Maeder, 18 tahun, berjaya merangkul pingat perak kategori lelaki dalam Kejohanan Belia Eropah Persatuan Luncur Lelayang Antarabangsa (IKA) di Gizzeria, Italy, pada 6 Julai.
Atlet Italy, Riccardo Pianosi, meraih pingat emas, manakala pingat gangsa dimenangi Gian Stragiotti dari Switzerland, lapor The Straits Times (ST).
“Saya kini bersama pasukan baru. Ini bermakna saya ada jurulatih baru, rakan latihan baru... rasanya latihan ini sangat produktif untuk saya,” kata Maeder, yang bapanya, Valentin, seorang warga Switzerland, manakala ibunya, Hwee Keng, warga Singapura.
“Ini satu persekitaran baru, saya perlu sesuaikan diri dalam beberapa perkara. Namun, saya rasa usaha ini sangat baik dan saya yakin ia mempunyai potensi besar untuk masa depan,” tambahnya.
Di Pantai Hang Loose, Maeder mendahului siri pembukaan dengan meraih 17 mata bersih untuk melayakkan diri secara langsung ke pusingan akhir, dengan kelebihan satu mata kemenangan.
Ini bermakna Maeder hanya perlu menang satu perlumbaan sahaja untuk menjuarai kejohanan tersebut, manakala Pianosi, yang menduduki tempat kedua dengan 25 mata, perlu menang dua kali.
Namun pada 6 Julai, Pianosi yang sedang dalam prestasi hebat, dan berada di tempat keempat pada Sukan Olimpik Paris 2024, memaksa perlumbaan itu ke pusingan penentuan, selepas menewaskan Maeder dalam perlumbaan pertama pusingan akhir.
Beliau kemudian meneruskan momentum yang baik dalam perlumbaan kedua, mengalahkan Gian Stragiotti dari Switzerland dan Vojtech Koska dari Poland.
Maeder menduduki tempat keempat, meraih pingat perak.
Maeder sebelum ini dilatih oleh Ivica Dolenc, yang telah membimbingnya sejak beliau berusia 14 tahun.
Di bawah bimbingan Dolenc, Maeder berjaya menjadi juara dunia dua kali dan turut memenangi pingat gangsa dalam Sukan Olimpik Paris 2024, menjadikannya pemenang pingat termuda Singapura dalam temasya empat tahun sekali itu.
Mengulas mengenai perubahan dalam program bimbingannya, Maeder berkata:
“Program (bimbingan) sebelum ini berfungsi dengan baik untuk satu tempoh.
“Cuma, saya rasa masih ada potensi yang belum dibangunkan sepenuhnya, dan saya rasa pasukan yang bersama saya selama ini telah berjaya membawa saya sejauh ini.
“Tetapi untuk masa depan, jika saya ingin menyertai lebih banyak temasya sukan, mungkin pasukan saya sebelum ini bukanlah pilihan terbaik.
“Semuanya baik-baik sahaja, tetapi apabila saya melihat struktur latihan yang digunakan pasukan Switzerland, dan bagaimana adik saya berlatih, saya fikir itulah hala tuju jangka panjang yang lebih baik.”
Mengulas lanjut, beliau berkata beliau tertarik dengan pendekatan pasukan Switzerland dalam meningkatkan prestasi atlet.
“Saya rasa gabungan lebih banyak minda dalam taklimat, ulasan, analisis, dan semangat pasukan (memberikan pasukan ini satu kelebihan nyata). Saya rasa itulah perkara yang betul untuk dilakukan,” tambah beliau.
Dalam jadual perlumbaan seterusnya, Maeder akan menyertai Kejohanan Dunia Formula Kite pada 27 September hingga 5 Oktober di Sardinia, Italy, di mana juara bertahan dua kali itu akan cuba mencatat kejuaraan ‘hat trick’.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg