PARIS: Kylian Mbappe sedang disiasat polis Sweden atas tuduhan rogol, menurut satu laporan berita di Sweden, menyusuli lawatan bintang Real Madrid itu ke Stockholm.
Mbappe mengecam laporan tersebut, dengan menyifatkannya sebagai “berita palsu”.
“Menurut maklumat yang didapati Expressen, polis sedang menyiasat pemain bola sepak itu, yang disyaki melakukan kesalahan rogol dan serangan seks,” tulis akhbar Sweden, Expressen.
Rombongan Mbappe, apabila dihubungi agensi berita AFP, berkata mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai aduan undang-undang terhadapnya.
Pemain kebangsaan Perancis itu tidak dipilih bagi perlawanan Liga Negara-Negara agar beliau boleh mendapatkan kecergasannya semula.
Ini membolehkan beliau pergi ke ibu kota Sweden itu dengan sekumpulan orang pada 10 Oktober.
Mereka dilaporkan makan di sebuah restoran sebelum pergi ke kelab malam.
Mbappe dan kumpulan itu meninggalkan Sweden esoknya.
Sebuah lagi akhbar Sweden, Aftonbladet, berkata kejadian rogol itu terjadi “di pusat bandar Stockholm”, memetik aduan rasmi kepada polis pada 12 Oktober.
Ia menambah bahawa aduan itu difailkan selepas mangsa mendapatkan rawatan perubatan tetapi tidak menyatakan siapa yang dinamakan dalam pertuduhan itu.
Expressen melaporkan bahawa Mbappe ialah suspek dalam kes itu.
Mbappe sendiri mendakwa ada kaitan antara laporan Aftonbladet itu dengan perbicaraannya di hadapan jawatankuasa liga Perancis pada 15 Oktober berhubung pertikaian dengan bekas kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG), mengenai apa yang dikatakannya sebagai gaji yang tidak dibayar.
Mbappe menyertai Real pada 2024 selepas tujuh tahun di PSG.
Polis Sweden enggan memberikan sebarang butiran lanjut.
Aftonbladet juga menerbitkan gambar di laman webnya pada 14 Oktober yang menunjukkan pegawai polis di hadapan hotel Mbappe menginap.
Rombongan Mbappe memberi satu kenyataan kepada AFP: “Tuduhan itu benar-benar palsu dan tidak bertanggungjawab, dan penyebarannya tidak boleh diterima.”
“Untuk menghentikan kemusnahan imej (Kylian Mbappe), semua tindakan undang-undang yang perlu akan diambil untuk menegakkan semula kebenaran dan mengejar sebarang pihak atau media yang terlibat dalam gangguan moral dan fitnah yang dialami Kylian Mbappe berulang kali,” tambahnya.
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps, berkata pada 14 Oktober bahawa laporan mengenai kaptennya itu disiasat atas tuduhan merogol “bukan perkara yang baik untuk pasukan kebangsaan”.
“Semua orang bebas menulis apa yang mereka mahu tetapi terdapat suasana negatif di sekeliling pasukan Perancis,” katanya selepas kemenangan 2-1 di Belgium dalam Liga Negara-Negara.
“Berhati-hati apabila anda membaca sesuatu. Lebih baik anda fikir dahulu sebelum menerbitkan apa-apa dan segala-galanya, tetapi perkara ini berlaku begitu kerap,” tambahnya, yang kelihatan menimbulkan keraguan terhadap laporan itu.
“Dalam apa jua keadaan saya tidak akan bercakap dengan Mbappe mengenainya. Beliau cukup dewasa untuk tahu cara berkomunikasi,” tambahnya. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg