WARSAW (Poland): Baru sahaja menyertai Real Madrid musim panas ini, Kylian Mbappe sudah menjulang Piala Super Uefa keenam kelab itu selepas memukau dalam penampilan sulungnya.
Kelab Sepanyol itu menewaskan Atalanta 2-0 pada 14 Ogos di Warsaw, dengan bintang asal Perancis itu menjaringkan satu gol.
Mbappe sudah lama menantikan untuk bermain bagi kelab idamannya itu dan akhirnya menandatangani kontrak bersama Los Blancos selepas menamatkan perjalanan bola sepaknya bersama Paris Saint-Germain.
Fede Valverde memecah kebuntuan dari jarak dekat untuk kelab Liga Juara-Juara itu pada minit ke-59, selepas pemenang Liga Europa dari Italy itu bertahan pada separuh masa pertama.
Real mula mengumpul peluang dan Mbappe menyumbatkan gol pada minit ke-68 selepas Jude Bellingham menyasarkan tendangannya kepada beliau dalam kotak penalti untuk menjamin kemenangan.
“Ia adalah malam yang hebat, saya sudah lama menunggu detik ini,” Mbappe memberitahu saluran televisyen, Movistar, dalam bahasa Sepanyol dengan fasih.
“Bermain dengan memakai baju ini, dengan memakai lencana ini, untuk peminat di sini, ia adalah satu hadiah untuk saya.
“Kami memenangi trofi juga, itu sangat penting, kami tahu di sini kami sentiasa perlu menang dan saya sangat gembira.”
Kejayaan Real memastikan jurulatih, Carlo Ancelotti, menyamai rekod bekas jurulatih Los Blancos, Miguel Munoz, memenangi 14 gelaran semasa menerajui kelab itu.
Tugas pertama jurulatih Italy itu musim ini adalah menyusun strategi bagi mendapatkan yang terbaik daripada barisan bintang penyerangnya.
Mbappe bermula melalui bahagian tengah barisan hadapan Real, diapit oleh Vinicius Junior di sebelah kiri dan Rodrygo Goes di sebelah kanan.
Ia membayangkan bagaimana Mbappe akan digabungkan dalam rancangan Ancelotti musim ini.
Hasilnya, pemain antarabangsa England, Bellingham, bermain sebagai sebahagian daripada trio bahagian tengah dan bukan di bahagian depan yang beliau mulakan musim lalu dengan kesan menjaringkan gol yang begitu dahsyat.
“(Mbappe) mempunyai mutu untuk menjaringkan banyak gol,” kata Ancelotti kepada Movistar.
“Yang kita perlu cari adalah keseimbangan dalam pasukan – hari ini kita tidak mempunyai keseimbangan itu.”
Satu-satunya peluang Mbappe pada separuh masa pertama tiba pada minit ke-15, namun rembatannya dari tengah kotak dihalang dengan baik oleh Isak Hien.
Atalanta kendalian Gian Piero Gasperini, yang muncul dalam Piala Super pertama mereka selepas mengejutkan Bayer Leverkusen dalam perlawanan akhir Liga Europa musim lalu, hampir mendahului apabila Eder Militao menanduk hantaran lintang Marten de Roon di depan palangnya sendiri.
Bellingham dilayangkan kad kuning kerana cabaran lewat ke atas penjaga gol Atalanta, Juan Musso, ketika melakukan serangan dari bahagian tengah selepas mengawal bola hantaran Vinicius.
Rodrygo memotong bahagian atas palang Atalanta sejurus sebelum rehat selepas ia dijaringkan oleh Vinicius.
Penjaga gol Real, Thibaut Courtois, yang terlepas sebahagian besar musim lalu dek kecederaan, menyelamatkan tandukan Mario Pasalic dengan menakjubkan, menggunakan satu tangan menolak keluar bola ke atas palang pada awal babak kedua.
Real memecah kebuntuan sebelum satu jam perlawanan apabila Valverde menjaringkan gol dari jarak dekat sedang pertahanan Atalanta bimbang tentang Mbappe, yang bergerak dengan lebih bebas.
Bellingham, yang semakin berpengaruh, menghantar bola kepada Vinicius, yang membuat hantaran tinggi ke arah gawang Atalanta bagi pemain tengah Uruguay itu menjaringkan gol.
Vinicius sepatutnya menggandakan gol Real tetapi percubaannya digagalkan oleh Musso.
Pemain pertahanan asal Sweden, Hien, menyekat Bellingham ketika Real mencari gol kedua dan percubaan bekas pemain Borussia Dortmund itu dihampakan oleh Musso.
Mbappe akhirnya menjaring gol kedua Real selepas Bellingham meneruskan serangan dan mengamati pergerakan bijak pemain Perancis itu.
Penyerang itu diberi tepukan – mungkin yang pertama daripada banyak lagi yang akan menyusul – oleh penyokong Real selepas Ancelotti mengeluarkannya pada minit ke-83.
Mbappe berkata beliau menjangka peningkatan dalam minggu-minggu mendatang, dengan kempen La Liga Real bermula pada 17 Ogos dengan menentang Real Mallorca.
“Saya yakin kami akan menjadi lebih baik dan bagi saya khususnya – tetapi hari ini adalah suatu langkah positif,” tambah penyerang itu. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg