LEIPZIG (Germany): Semua mata tertumpu kepada Cristiano Ronaldo, kini 39 tahun, ketika Portugal bersiap sedia membuka tirai kejohanan Euro 2024 mereka menentang Republik Czech.
Baju ‘Ronaldo 7’ kelihatan dipakai ramai penyokong di serata bandar Leipzig sebelum perlawanan itu bermula, dan peminat bersedia mengalu-alukan penyerang veteran itu, yang kini telah mencipta sejarah dengan menjadi pemain pertama beraksi dalam enam kejohanan Eropah.
Namun, ia bukan kali pertama bakat muda tertentu menjadi perhatian ramai di kejohanan Eropah itu.
Sedang penyokong berharap Ronaldo akan menjaringkan gol, pemain sayap Francisco Conceicao – 18 tahun lebih muda daripadanya – pula yang menjaringkan gol pada minit-minit terakhir perlawanan itu, lantas membantu Portugal memulakan kempen Kumpulan F mereka dengan kemenangan 2-1.
Jaringan Conceicao merupakan kemunculan pertamanya selepas beliau menggantikan Vitinha pada minit ke-90, dan bekas penyerang England, Alan Shearer gembira dengan sumbangan bakat muda itu.
“Anda dimasukkan untuk membuat perubahan kepada perlawanan dan melakukan sesuatu. Anda perlu membuat kesan sebagai pemain pengganti,” kata Shearer kepada saluran media Britain, BBC One.
Manakala, bekas pemain tengah Liverpool, Danny Murphy, berkata:
“Saya kata tadi ‘Apa yang boleh anda lakukan dalam masa tiga minit sebagai pemain gantian?’ Beliau (Conceicao) bernasib baik dengan golnya tetapi beliau tidak akan melepaskan peluang itu.”
Ia adalah detik yang tidak dapat dilupakan bagi Conceicao, anak kepada bekas pemain Portugal, Sergio Conceicao.
Pengurus Portugal, Roberto Martinez, berkata bahawa pemain muda itu berhak meraikan detik kemenangannya.
“Francisco adalah contoh terbaik bagi seorang pemain yang layak meraikan detik itu. Beliau layak berada di sini dan menunjukkan beliau bersedia untuk membantu pasukannya. Beliau menunjukkan watak sebenar dan nilainya kerana beliau dibenarkan berada di sini,” ujar Martinez.
Mencecah usia 39 tahun, Ronaldo telah memasuki tahun-tahun terakhirnya beraksi di peringkat tertinggi.
Namun, penampilan rakan sepasukannya Pepe pada usia 41 di Euro 2024 akan memberinya kepercayaan bahawa beliau masih lagi boleh beraksi dalam beberapa kejohanan dalam masa terdekat.
Pengkritik Ronaldo berpendapat bahawa beliau tidak membenarkan pasukannya untuk bermain dengan sepenuh potensi mereka, dan percaya beliau mempunyai kesan negatif terhadap pergerakan barisan serangan.
Namun, adalah jelas kebanyakan penyokong Portugal di Leipzig berpendapat sebaliknya.
Seorang penyokong menyifatkan Ronaldo sebagai pemain yang masih “terbaik di dunia”, manakala seorang lagi, Marta, berkata sumbangan Ronaldo kepada pasukan tidak terhad kepada apa dilakukannya di atas padang sahaja.
“Beliau masih penting kerana beliau bermotivasi dan bersemangat, dan beliau menyatukan pasukan.
“Malah, beliau juga penting jika beliau tidak dalam pasukan. Beliau seperti simbol yang menyatukan semua,” kata Marta.
Walaupun gagal menjaringkan gol menentang Republik Czech, Ronaldo mempunyai beberapa peluang.
Beliau dinafikan gol dua kali pada separuh masa pertama oleh penjaga gawang Czech, Jindrich Stanek, sebelum tandukannya pada separuh masa kedua melencong jauh. – Agensi berita.
“
“Francisco adalah contoh terbaik bagi seorang pemain yang layak meraikan detik itu. Beliau layak berada di sini dan menunjukkan beliau bersedia untuk membantu pasukannya. Beliau menunjukkan watak sebenar dan nilainya kerana beliau dibenarkan berada di sini.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg