Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mbappe sertai Real Madrid

Jun 4, 2024 | 2:29 PM
Penyerang Perancis, Kylian Mbappe (jersi biru), memberi autograf kepada peminat dengan jersi Real Madrid sebelum latihan pasukan kebangsaan Perancis menjelang saingan Euro 2024.
Penyerang Perancis, Kylian Mbappe (jersi biru), memberi autograf kepada peminat dengan jersi Real Madrid sebelum latihan pasukan kebangsaan Perancis menjelang saingan Euro 2024. - Foto AFP

MADRID: Penyerang Perancis, Kylian Mbappe, menyertai Real Madrid sebagai ejen bebas dengan kontrak lima tahun, kata kelab La Liga itu pada 3 Jun.

Ini sekali gus menamatkan saga perpindahan yang berlangsung bertahun-tahun sebelum juara Eropah itu akhirnya berjaya menawan ‘Galactico’ terbaru mereka.

“Real Madrid C. F. dan Kylian Mbappe telah mencapai persetujuan dengan beliau akan menjadi pemain Real Madrid buat lima musim akan datang,” kata juara Sepanyol itu yang baru sahaja menjuarai Piala Eropah ke-15 mereka dalam satu kenyataan.

Sejurus selepas kenyataan kelab itu, Mbappe mengongsi beberapa keping gambar di media sosialnya yang menunjukkan dirinya semasa kanak-kanak memakai jersi Real Madrid serta bertemu dengan Cristiano Ronaldo.

“Impian menjadi kenyataan,” tulisnya.

“Saya sangat gembira dan bangga dapat menyertai kelab impian saya @realmadrid.”

“Tiada yang dapat memahami betapa teruja saya sekarang. Saya tidak sabar untuk bertemu anda, Madridistas dan terima kasih atas sokongan anda yang luar biasa. Hala Madrid!”

Kapten pasukan kebangsaan Perancis berusia 25 tahun itu telah mengumumkan akan meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam video yang dimuat naik ke platform media sosial X pada 10 Mei.

Mbappe akan berpindah ke Real Madrid pada Julai apabila kontraknya di PSG tamat pada 30 Jun.

Namun, ia hanya akan diumumkan sebelum penyerang itu menyertai skuad Perancis untuk Kejohanan Eropah di Jerman.

Mbappe menyertai pasukan Madrid yang penuh dengan pemain bintang seperti Vinicius Jr. dan Jude Bellingham, yang merupakan favorit untuk memenangi Ballon d’Or.

Madrid diterajui oleh Carlo Ancelotti dari Italy – jurulatih paling berjaya dalam sejarah Liga Juara-Juara dengan lima kejuaraan.

Walaupun Mbappe telah memenangi beberapa trofi domestik di PSG, beliau hanya berbaki kejuaraan Liga Juara-Juara untuk melengkapkan resume cemerlangnya.

Mbappe meninggalkan PSG selepas tujuh tahun bersama kelab itu dengan beliau memenangi enam kejuaraan Ligue 1 dan empat Piala Perancis, dan menamatkan kerjaya di ibu negaranya sebagai penjaring terbanyak kelab itu dengan 256 gol.

Pada 2023, pemenang Piala Dunia 2018 itu mengejutkan PSG apabila beliau menghantar surat menyatakan beliau tidak akan melanjutkan kontrak buat setahun lagi apabila ia tamat pada Jun.

Surat itu membawa kepada pertikaian antara kelab dengan Mbappe, yang mengakibatkan beliau dipinggirkan daripada skuad pasukan utama sebelum disertakan semula.

Membenarkan Mbappe menghabiskan tahun terakhir kontraknya bermakna PSG tidak dapat meraih balik bayaran perpindahan 180 juta euro ($264.01 juta) yang mereka bayar pada 2017 untuk mendapatkannya daripada AS Monaco.

Selepas perpindahan tersebut, Mbappe menjadi pemain kedua termahal sepanjang zaman selepas bekas rakan sepasukannya di PSG, Neymar, yang menyertai PSG dari Barcelona dengan harga 222 juta euro ($356 juta) pada 2017.

Sebelum ini, Real Madrid pernah cuba mendapatkan Mbappe tetapi gagal selepas beliau menyambung kontrak dengan PSG pada Mei 2022 apabila tawaran kelab Sepanyol itu ditolak PSG.

Dengan Mbappe akhirnya bersama skuad mereka, kelab Sepanyol itu boleh menjangka mengukuhkan penguasaan mereka dalam La Liga, selepas tewas hanya sekali pada musim lalu untuk memenangi kejuaraan melebihi 10 mata.

Musim lalu, mereka juga tidak pernah tewas dalam saingan Liga Juara-Juara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg