Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puluhan ribu peminat sambut Real Madrid

Jun 3, 2024 | 12:41 PM
(Dari kiri) Toni Kroos, Luka Modric, Nacho Fernandez, dan Dani Carvajal meraikan kemenangan Liga Juara-Juara dengan peminat.
(Dari kiri) Toni Kroos, Luka Modric, Nacho Fernandez, dan Dani Carvajal meraikan kemenangan Liga Juara-Juara dengan peminat. - Foto AFP

MADRID: Ribuan peminat Real Madrid meraikan piala Eropah ke-15 kelab itu pada 2 Jun di kawasan pusat ibu kota Sepanyol, mengiringi bas atas terbuka pasukan mereka dan membanjiri tanda mercu bandar untuk mendekati para pemain.

Real Madrid menewaskan Borussia Dortmund 2-0 di Stadium Wembley, London dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 1 Jun lalu selepas kebangkitan pada separuh masa kedua setelah banyak menyerap serangan dari kelab Jerman itu pada awal perlawanan.

“Jika anda tidak mengalahkan (Real) Madrid, ia akan mengalahkan anda,” penyokong Real Madrid, Diego de la Cruz, memberitahu agensi berita Reuters.

Sejak Sabtu tengah hari, baju putih boleh dilihat di setiap penjuru kota Madrid.

Selepas tiupan wisel menamatkan perlawanan, orang ramai bersorak dan bernyanyi sehingga ke air pancutan Cibeles, tempat pemain secara tradisional akan meraikan kejayaan bersama peminat.

Selepas perayaan sepanjang malam, pasukan Real Madrid kembali ke Madrid awal pagi 2 Jun dan mulakan lawatan berpesta pada 6 petang.

Mereka disambut di Katedral Almudena dan kerusi pemerintah wilayah Madrid.

Presiden kelab itu, Florentino Perez, mengucapkan terima kasih kepada pemain tengah Toni Kroos, yang melahirkan hasrat bersara selepas Euros 2024, “untuk segalanya yang beliau telah wakili, dalam dan di luar padang bola.”

“Terima kasih untuk 10 tahun yang tidak dapat dilupakan,” kata pemain negara Jerman itu kepada peminat yang gembira di tengah Dataran Sol yang berulang-ulang bersorak supaya beliau tidak ke mana-mana.

Ramai anggota polis mengiringi bas pasukan Real Madrid itu ke air pancutan Cibeles yang sesak itu. Kapten kelab itu, Nacho Fernandez, membalut selendang kelab di patung serupa dewi Phrygian, Cybele.

Pesta itu berakhir di Stadium Santiago Bernabeu dengan persembahan cahaya. Di atas pentas istimewa yang dibina untuk perayaan itu, pemain tengah, Luka Modric, 38 tahun, memastikan beliau akan kekal dengan kelab itu.

“Jumpa lagi musim depan,” kata beliau, melegakan peminat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg