Topik diikuti
Pergi ke BHkuMcLaren bakal tampil dengan kereta serba baru di GP Miami
McLaren bakal tampil dengan kereta serba baru di GP Miami
Tiada perlumbaan dijalankan sepanjang April selepas GP Bahrain, Arab Saudi dibatalkan susulan perang di Iran
McLaren bakal tampil dengan kereta serba baru di GP Miami
LONDON: Pasukan juara McLaren bakal menampilkan ‘kereta serba baru’ di atas litar apabila saingan Formula Satu (F1) kembali di Grand Prix (GP) Miami pada Mei, selepas rehat selama lima minggu, demikian menurut ketua pasukan Andrea Stella.
Mercedes, selaku pembekal enjin McLaren, telah memenangi ketiga-tiga perlumbaan setakat musim ini, namun perlumbaan terakhir di Jepun menyaksikan persaingan lebih sengit antara dua pasukan tersebut.
Pelumba Australia, Oscar Piastri, menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang pelumba muda Italy daripada pasukan Mercedes, Kimi Antonelli, di Litar Suzuka, Jepun.
Piastri mungkin memenangi perlumbaan tersebut jika bukan kerana kehadiran kereta keselamatan yang memihak kepada pesaingnya.
“Memang sudah menjadi perancangan kami untuk menyediakan kereta yang benar-benar baru, terutama daripada aspek naik taraf aerodinamik bagi siri perlumbaan di Amerika Utara,” kata Stella kepada pihak media di kilang McLaren.
“Kami berjaya mengikut perancangan tersebut. Jelas sekali, perubahan kalendar perlumbaan sedikit sebanyak membantu kami, saya pasti ia turut membantu pasukan lain yang kini boleh bekerja dengan lebih lancar dalam menaik taraf kereta berbanding sibuk dengan perlumbaan.”
Tiada perlumbaan dijalankan sepanjang April selepas GP Bahrain dan Arab Saudi dibatalkan susulan peperangan di Iran yang menjejas rantau Teluk.
Ini bermakna GP Miami, yang sepatutnya merupakan perlumbaan keenam musim ini, kini menjadi perlumbaan keempat.
“Menjelang saingan di Miami dan Canada, kita akan melihat (kereta) MCL40 yang serba baru... saya menjangkakan perkara yang sama daripada kebanyakan pesaing kami.
“Oleh itu, ia tidak semestinya akan mengubah kedudukan pasukan secara mendadak, sebaliknya ia adalah ujian untuk melihat siapa yang mampu meningkatkan prestasi dalam tempoh masa yang sama,” tambah Stella.
McLaren kini berada di kedudukan ketiga keseluruhan, ketinggalan 89 mata di belakang Mercedes yang berjaya meraih tempat pertama dan kedua dalam dua perlumbaan pertama.
McLaren, yang merupakan juara kategori pengeluar bagi dua tahun berturut-turut dan juara kategori pelumba musim 2025 menerusi Lando Norris, kini mempunyai had penggunaan terowong angin serta perkomputeran dinamik bendalir (CFD) lebih terhad berbanding pasukan lain.
Ini kerana peruntukan setiap pasukan ditentukan menerusi kedudukan mereka pada penghujung musim lalu.
Namun, ketua pereka, Rob Marshall, memberitahu media bahawa kekangan tersebut bukanlah satu kerugian besar seperti yang disangka.
“Hakikatnya, terdapat banyak potensi pembangunan yang ingin diuji melalui CFD atau terowong angin; ada yang membuahkan hasil dan ada yang tidak,” kata Marshall.
“Jadi, jika anda bijak dan menggunakan pendekatan yang betul serta berfikir secara sistematik... anda akan meletak tepi perkara yang tidak berbaloi untuk dilakukan dan terus beri tumpuan kepada perkara yang menjadi keutamaan.”
Sementara itu, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) pada 23 April memaklumkan bahawa pelumba akan mendapat tambahan masa setengah jam bagi sesi latihan di Miami minggu depan, susulan pembatalan perlumbaan di Timur Tengah dan perubahan peraturan baru-baru ini.
Beberapa pindaan terhadap peraturan teknikal telah dibuat sepanjang tempoh rehat bagi menangani kebimbangan mengenai keselamatan pelumba dan mutu perlumbaan yang timbul dalam tiga perlumbaan pertama.
Menurut FIA, setelah rundingan dengan semua pihak berkepentingan dijalankan, sesi latihan Jumaat yang biasanya berlangsung selama satu jam akan dilanjutkan kepada 90 minit, bermula 12 tengah hari hingga 1.30 petang waktu tempatan. – Reuters.
