Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

McLaren sasar tamatkan kemarau kejuaraan F1

McLaren mula kempen sebagai juara bertahan kategori ‘konstruktor’ buat pertama kali dalam 26 tahun
Apr 18, 2025 | 5:30 AM
Pemandu McLaren, Lando Norris (kanan), berkata para pemandu dan pasukan McLaren bersedia membantu mereka mendapatkan kejuaraan dunia F1 bagi musim ini. Mereka berada di kedudukan yang baik dengan Norris di tangga pertama, dan pemandu sepasukannya Oscar Piastri (kiri), hanya tiga mata di belakangnya menjelang perlumbaan di Arab Saudi.
Pemandu McLaren, Lando Norris (kanan), berkata para pemandu dan pasukan McLaren bersedia membantu mereka mendapatkan kejuaraan dunia F1 bagi musim ini. Mereka berada di kedudukan yang baik dengan Norris di tangga pertama, dan pemandu sepasukannya Oscar Piastri (kiri), hanya tiga mata di belakangnya menjelang perlumbaan di Arab Saudi. - Foto EPA-EFE

UNITED KINGDOM: Pada awal musim Grand Prix Formula Satu (F1), pemandu McLaren, Lando Norris, mengakui kini tiada lagi alasan bagi para pemandu McLaren dan meletakkan sasaran untuk mencabar kejuaraan dunia F1 bagi pemandu musim ini.

McLaren memulakan kempen sebagai juara bertahan kategori ‘konstruktor’ buat pertama kali dalam 26 tahun. Selain mempertahankan gelaran berprestij itu, mereka mahu menamatkan kemarau kejuaraan pemandu yang telah berlarutan sejak 2008 bersama Lewis Hamilton.

Selepas menamatkan musim lalu di tempat kedua di belakang Max Verstappen – dalam musim dengan beliau meraih empat kemenangan perlumbaan pertama dalam kerjayanya – Norris kini dianggap sebagai pilihan utama untuk mendapatkan kejuaraan tersebut.

Menjelang perlumbaan di Grand Prix Arab Saudi, beliau kini berada di kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran tersebut, di tempat teratas dengan 77 mata.

Norris memulakan kempen F1 dengan cemerlang. Beliau memenangi perlumbaan pembukaan F1 di Grand Prix Australia.

Kemudian beliau mendapatkan tempat kedua di Grand Prix China, tempat kedua di Grand Prix Jepun dan tempat ketiga di Grand Prix Bahrain.

Pemandu sepasukannya, Oscar Piastri, juga tidak jauh ketinggalan – hanya tiga mata di belakang Norris.

Walaupun tidak memulakan kempen dengan baik dengan mengakhiri Grand Prix Austraila di tangga kesembilan, beliau berjaya bangkit untuk mendapatkan tempat pertama di China, tempat ketiga di Jepun dan tempat pertama sekali lagi di Bahrain.

Kemenangan di Bahrain pada 13 April menandakan kemenangan pertama McLaren di litar lumba Bahrain dan juga kemenangan kedua berturut-turut Piastri, menjadikannya pemandu pertama yang meraih dua kemenangan musim ini.

Dalam perlumbaan tersebut, Piastri bermula dari petak pertama dan mengekalkan kedudukan tersebut selepas permulaan yang baik, mengatasi cabaran dari pemandu Mercedes, George Russell.

Norris, yang bermula di petak keenam, dikenakan penalti lima saat kerana kesalahan di grid permulaan, namun berjaya bangkit untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Kejayaan yang diraih McLaren sejauh ini bukan perkara yang mengejutkan.

“Sejak musim lalu berakhir, kami sudah pun mulakan persiapan untuk musim baru. Semua jurutera dan staf di kilang telah berusaha keras untuk menyediakan kami kereta yang kompetitif,” kata Norris kepada media menjelang permulaan kempen F1 2025.

“Formula 1 banyak bergantung pada sejauh mana kereta itu mampu bersaing. Saya rasa kami berdua sebagai pemandu telah membuktikan apa yang kami mampu lakukan, dan bila kami ada kereta yang boleh menang dan bersaing untuk kejuaraan, kami mampu memaksimumkan prestasi tersebut.”

Dengan kejayaan besar McLaren dalam menjuarai gelaran ‘konstruktor’ pada 2024, Norris berkata mereka kini “yakin secara senyap” bahawa mereka akan memulakan musim baru dalam keadaan yang lebih kukuh.

“Saya rasa kami berdua akan katakan kami sudah bersedia dan tidak sabar untuk cabaran ini, tapi kami juga ada seluruh pasukan di belakang kami yang turut berkongsi semangat itu,” tambahnya.

Beliau berkata, mereka mungkin terlalu yakin pada musim-musim lepas, dan mahu lebih berhati-hati untuk musim ini.

Bagi Piastri pula, musim ini merupakan musim ketiganya di peringkat tertinggi sukan permotoran.

Namun beliau telah membuktikan kebolehannya dengan dua kemenangan pada 2024 di Hungary dan Azerbaijan.

Ia menunjukkan beliau juga mampu menjadi pencabar utama, sekiranya diberikan kereta yang kompetitif.

Pemandu Australia berusia 23 tahun itu berkata pasukannya sudah pun menanam mentaliti sebagai pencabar kejuaraan sejak awal musim.

“Saya pasti persiapan kami adalah untuk bertarung dalam kejuaraan dunia, dan saya rasa adalah naif jika kami bersedia untuk menerima kurang daripada itu,” kata Piastri.

“Itulah cara terbaik untuk membuat persiapan... seperti yang Lando katakan, kami datang dengan keyakinan berdasarkan keputusan dan kejuaraan ‘konstruktor’ yang kami capai musim lalu, jadi itu jelas menjadi sasaran kami.”

“Kami telah buktikan dalam dua tahun kebelakangan ini, terutama 18 bulan terakhir, bahawa kami boleh mengubah kereta kami menjadi antara yang terkuat di petak.”

“Kami sangat yakin kami boleh terus membawa momentum itu ke hadapan. Sama ada kami benar-benar bertarung untuk kejuaraan atau tidak, ia juga bergantung pada apa yang dibawa oleh pasukan lain. Tapi sudah pasti, dari segi persediaan oleh semua pihak, termasuk kami sebagai pemandu. Sasaran kami adalah kejuaraan dunia sekali lagi,” kata Piastri.– Agensi berita.

“Sejak musim lalu berakhir, kami sudah pun mulakan persiapan untuk musim baru. Semua jurutera dan staf di kilang telah berusaha keras untuk menyediakan kami kereta yang kompetitif.”
Lando Norris, pemandu McLaren 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg